Popular Post

Posted by : TUPAI 13 November 2012

Mereka mungkin bintang yang terkenal dan memiliki aset dan harta bernilai jutaan dolar. Namun tidak semua artis bermula sebagai orang kaya.

Seperti orang lain, ada di antara mereka yang memulakan hidup mereka dengan pekerjaan yang tidak membanggakan, malah ada yang lebih teruk teruk daripada itu.

Kami senaraikan pekerjaan pra-glamor selebriti ini sebelum bergelar bintang dalam industry sehingga dikenali ramai.

JON HAMM, Pelakon, Penerbit…
...dan bekas PEREKA SET FILEM LUCAH


Dia mungkin eksekutif pengiklanan yang kacak menawan Don Draper dalam “Mad Men”, namun sebelum dia menjadi idaman setiap wanita, dia pernah bekerja dikelilingi ‘wanita idaman’.

Sekalipun Jon Hamm cuba mempertahankan kerja lamanya dengan mengatakan ia tidak seteruk itu dan masih dianggap ‘jenis halus’ genre itu, yang jelasnya dia adalah bekas pereka set filem lucah.

Namun begitu, Hamm masih menganggap kerjayanya itu satu pekerjaan yang sangat menyedihkan. Dia menerimanya kerana ketika itu dia masih lagi pelakon yang sedang merangkak dalam industri dan hidup susah.

Jelas Hamm, “Tugas asas saya ialah untuk mereka set dan membetulkan kedudukan perabot di keliling pelakon-pelakon yang sedang berbogel. Bukan kerja yang bermakna tetapi saya perlukan duit.”

FLO RIDA, Penyanyi Rap, Pencipta Lagu, Pelakon...
...dan bekas PENGUTIP SAMPAH


Ketika dia masih lagi seorang pemuzik rap yang tidak dikenali dan menghasilkan muziknya secara amatur, Flo Rida menyara kehidupannya dengan bekerja syif malam di Hotel MGM Grand Casino di Las Vegas.

Sementara orang lain sibuk menghabiskan wang di mesin dan kaunter perjudian, penyanyi lagu "Wild Ones" ini pula menghabiskan masanya mengutip semua sampah-sarap orang lain. Jelasnya, adakalanya dia akan menemui barangan berharga dalam sampah orang lain.

Ironik kerana kini peminat pula sanggup menyelongkar sampahnya untuk mencari sesuatu yang berharga untuk dijadikan kenangan!

KELLY CLARKSON, Penyanyi, Penulis Lirik, Penerbit…
...dan bekas PENJUAL PENYEDUT HAMPAGAS


Hampir kebanyakan mereka yang menyertai ‘American Idol’ merupakan orang biasa yang idamkan hidup glamor sebagai seorang artis. Begitu juga dengan pemenang pertama pertandingan tersebut, Kelly Clarkson.

Dia telah melakukan begitu banyak kerja sebelum menjadi penyanyi tetapi kerjayanya yang dianggap paling teruk adalah sebagai penjual dan telefonis pemasaran produk penyedut hampagas di Fort Worth, Texas.

Jelas Clarkson, dia tidak pernah berjaya menjadi penjual terbaik kerana dia terlalu malu untuk menjual dari pintu ke pintu.

P. DIDDY, Penyanyi Rap, Ahli perniagaan, Penerbit…
... dan bekas TUKANG CUCI TANDAS


Sebelum dia menempa namanya sebagai satu daripada pemuzik rap yang terhormat di Amerika Syarikat, anak kepada rakan gangster Frank Lucas, Melvin Combs ini pernah membuat pelbagai kerja sambilan ketika sedang meningkat dewasa, termasuk pekerjaan di restoran makanan Mexico, El Torito di mana P. Diddy diberikan tugas yang paling ‘disukai’ ramai iaitu mencuci tandas.

Namun, sudah menjadi sifat Diddy yang sangat yakin dengan semua perkara yang dilakukannya, dia mengakui bahawa dia merupakan tukang cuci yang terbaik yang pernah wujud!

FAITH HILL, Penyanyi, Penulis Lirik, Pemuzik, Penerbit, Pelakon...
...dan bekas TUKANG MASAK DI MCDONALD'S


Seperti remaja lain, Faith Hill mencari wang tambahan dengan bekerja di McDonald’s.

Namun seperti remaja lain, dia juga membenci kerjayanya terutama sekali dalam bab memasak daging burger.

Hill kemudiannya berpindah ke Nashville dan bekerja di pejabat sebuah syarikat penerbitan muzik sebelum syarikat itu sendiri menyedari bakat yang dimilikinya. Kini Hill adalah salah seorang penyanyi wanita country terkenal di seluruh dunia.

TINA FEY, Pelakon, Pelawak, Penulis, Produser, Pemuzik...
...dan bekas PEMBANTU GIMNASIUM


Liz Lemon, watak Tina Fey dalam “30 Rock” sangat benci untuk bersenam. Tetapi Fey yang sebenar pernah menyara hidupnya ketika baru tamat belajar dengan bekerja di gimnasium.

Bintang komedi terkenal ini pernah menjadi penyambut tetamu di sebuah gimnasium YMCA di Evanston, Illinois.

Namun begitu, tugasnya bukan sekadar menyambut tetamu. Dia juga perlu menyediakan dan melipat tuala, membetulkan lampu dan melayan kerenah pengguna gimnasium.

Semuanya dilakukan dengan penuh sabar sementara dia menimba ilmu dalam bidang improvisasi dan membolehkan dia menjadi wanita pertama yang dinaikkan ke jawatan ketua penulis untuk rancangan komedi terkenal Amerika Syarikat, “Saturday Night Live”.

STING, Pemuzik, Penyanyi, Penerbit...
...dan bekas KERANI CUKAI


Mungkin kerjaya tersebut merupakan pekerjaan yang normal bagi orang lain. Namun bagi Sting (atau nama sebenarnya Gordon Matthew Thomas Sumner) yang lebih menyukai muzik dan kebebasan berkarya, pekerjaannya sebagai kerani cukai di Manchester dianggapkan sebagai satu pekerjaan yang membunuh jiwanya.

Namun begitu, sekalipun kerja tersebut dianggap yang paling dibencinya, Sting juga pernah bekerja sebagai konduktor bas, buruh binaan dan guru sebelum dia menempa namanya dalam bidang muzik bersama The Police.

OZZY OSBOURNE, Pemuzik, Penulis Lirik, Vokalis Black Sabbath...
...dan bekas TUKANG SEMBELIH


Ya, sebelum dia menggegarkan dunia dengan kontroversi kerana memakan kepala kelawar hidup di atas pentas konsertnya, Ozzy Osbourne telah pun menggegarkan dunia haiwan ternakan dengan kerjayanya sebagai penyembelih di sebuah rumah penyembelihan di United Kingdom.

Tugas Osbourne? Menyembelih lembu dan dia melakukannya selama dua tahun. Mungkin itu yang menyebabkan Osbourne kini memilih gaya hidup seorang vegetarian?

Oh, jangan lupa. Dia juga pernah secara tidak sengaja terpotong ibu jarinya ketika bekerja sebagai pembantu tukang paip.

Ozzy Osbourne sememangnya tidak boleh hidup tanpa menumpahkan darah.

WHOOPI GOLDBERG, Pelakon, Pelawak, DJ, Personaliti TV, Penulis, Produser, Bintang Broadway, Penyanyi, Aktivis...
...dan bekas JURUSOLEK/PENDANDAN MAYAT


Kini dia seorang bintang EGOT (selebriti yang pernah memenangi Anugerah Emmy, Grammy, Academy dan Tony) yang memiliki rombongan jurugaya, jurusolek dan pegawai publisiti sendiri.

Namun suatu masa dahulu, Whoopi Goldberg perlu melakukan solekannya sendiri dan juga menyara hidupnya dengan menyolek orang lain... yang sudah mati.

Ya, beliau merupakan seorang jurusolek mayat dan dia memilih bidang tersebut sebagai kerjaya sambilan sementara dia cuba mendapatkan banyak tawaran persembahan komedi sebanyak yang dia mampu.

KURT COBAIN, Pemuzik, Penulis Lirik, Vokalis Nirvana...
...dan bekas PENJAGA BANGUNAN



Pemuzik paling ikonik 90-an ini mungkin terkenal sebagai satu daripada pelopor muzik grunge ketika masih hidup.

Namun begitu, tidak sukar untuk membayangkan Cobain memiliki kerjaya yang lebih sederhana daripada bidang muzik, apatah lagi kesetiaannya pada gaya selekeh itu tidak menyukarkan anda membayangkan dirinya sebagai penjaga bangunan.

Jelas pemain bass Nirvana, Krist Novoselic, Cobain mengambil keputusan untuk bekerja sebagai penjaga bangunan melalui Syarikat Penjagaan Lemon demi mencari wang untuk menghasilkan demo.

Jadi kesimpulannya, upahnya sebagai penjaga bangunanlah yang membolehkan anda menikmati muzik grunge dan menyanyikan lagu “Smell Like Teen Spirit” di pusat karaoke sekarang.

Advertisement
Advertisement

- Copyright © Tupai - Ada Hiburan, Ada Stail! -