Popular Post

Posted by : TUPAI 31 Julai 2012


Sebelum kehadiran penyanyi-penyanyi kontemporari lagu-lagu spiritual atau keagamaan seperti Maher Zain dan Zain Bikha, industri nasyid sememangnya telah lama wujud.

Berikut kami senaraikan antara lapan buah lagu nasyid yang perlu anda tahu. Ya, sememangnya ada banyak lagu-lagu nasyid popular di luar sana. Namun senarai yang kami pilih ini berdasarkan beberapa perkara iaitu kesannya terhadap industri muzik, budaya pop dan masyarakat serta keupayaannya mencapai status malar segar.

1. "Selimut Putih" - Orkes El-Suraya



Ya, sekalipun "Selimut Putih" dendangan oleh Orkes El-Suraya (pimpinan Ahmad Baqi) ini berasal dari Medan, Indonesia, lagu ini menjadi sangat popular di Malaysia kerana ia pernah diharamkan di RTM pada tahun 70-an kerana dikatakan "menyeramkan pendengar". Ia masih didebatkan sehingga kini, kerana begitu banyak perkara yang lebih patut diharamkan di kaca televisyen berbanding lagu yang mengingatkan anda kepada kematian.

2. "Pergi Tak Kembali" - Rabbani 



Sebelum kewujudan lagu ini, Rabbani sudah cukup terkenal dan Allahyarham Ustaz Asri sudah pun dikenali dalam dunia nasyid tempatan melalui kumpulan Nada Murni. Namun lagu ini menggegarkan industri apabila KRU tampil menggubah sebuah nasyid dengan genre pop. Ia menarik perhatian kerana ada banyak pendapat yang tercetus akibat "Pergi Tak Kembali". Ada yang menganggap ia satu pencemaran pada genre nasyid yang bertujuan untuk dakwah, manakala ada pula yang berpendapat muzik sedemikian boleh menarik lebih ramai peminat muzik untuk mendengar lagu-lagu ketuhanan. Ia juga menjadi pencetus trend nasyid berirama pop.

3. "Puji-Pujian" - Rabbani 



Sebelum kewujudan Raihan, ahli-ahlinya sudah pun dikenali melalui kumpulan nasyid The Zikr, yang diasaskan oleh unit hiburan Al-Arqam. Selepas pengharaman Al-Arqam, The Zikr telah dibubarkan dan disatukan semula sebagai Raihan. Lagu "Puji-Pujian" memasuki senarai ini bukan sahaja kerana popularitinya ketika ia kali pertama dimainkan pada tahun 1997, tapi juga kerana ia mengangkat nasyid dari hanya menjadi pilihan satu golongan kepada muzik kontemporari yang dimainkan di corong radio, sekaligus mengangkat nama Raihan ke peringkat antarabangsa dan mencetuskan kegilaan terhadap nasyid pada era akhir 90-an.

4. "Sepohon Kayu" - Nada Murni 



Tanyalah setiap orang yang pernah melalui era 80-an dan 90-an, mereka pastinya pernah mendengar lagu ini, sekalipun mungkin ada sesetengahnya tak mahu menyanyikannya semula kerana rasa diperli. Ya, walaupun hidup seribu tahun, kalau tak sembahyang apa gunanya, kan? Namun begitu, ia juga menaikkan lagi populariti kumpulan Nada Murni yang akhirnya berpecah dan membentuk dua kumpulan nasyid yang paling banyak mempengaruhi dunia nasyid kontemporari (selain Raihan), iaitu kumpulan Hijjaz dan Rabbani.

5. "Kembara Di Tanah Gersang" - Al-Jawaher



Lagu "Kembara Di Tanah Gersang" bukan sahaja popular kerana menjadi lagu yang menaikkan nama kumpulan nasyid wanita pertama di Singapura ini, malah kerana ia dicipta oleh komposer yang tidak asing lagi, M.Nasir pada tahun 80-an, selepas kumpulan tersebut diperkenalkan kepada M.Nasir oleh guru berzanji mereka, Ustaz Amir. Seperti mana lagu-lagu M.Nasir yang lain, “Kembara Di Tanah Gersang” menjadi satu daripada lagu malar segar yang masih dinyanyikan semula oleh kebanyakan penyanyi baru era ini.

6. "Kasih Kekasih" - InTeam 



Dalam banyak-banyak lagu nasyid, mengapakah "Kasih Kekasih" menjadi pilihan? Ada yang membenci lagu ini dan ada yang sangat menyukainya. Namun satu perkara yang jelas, ia merupakan lagu cinta pertama dalam genre ini. Ya, nasyid sememangnya ada banyak lagu cinta kepada Tuhan, alam sekitar dan sesama manusia. Namun "Kasih Kekasih" merupakan lagu pertama yang menyanyikan tentang dua pasangan yang menantikan saat mereka dinikahkan. Ia menjadi pilihan utama bagi kebanyakan pelajar fakulti agama yang sedang dilamun cinta, itu sudah pasti.

7. "Ya Rabb" - Imad Munaya



Sebelum kehadiran Maher Zain dan senyumannya yang menawan, Zain Bikha dan suaranya yang menusuk kalbu atau Sami Yusuf yang kacak, Malaysia pernah jatuh cinta pada seorang lelaki Lubnan bernama Imad Munaya yang juga memiliki bakat untuk melukis khat. Albumnya mendapat sambutan ramai sekalipun kebanyakan lagunya dalam bahasa arab dan dia juga berkolaborasi dengan kumpulan D'Riyadh dari Indonesia. Jadi ingatlah, sebelum Maher Zain, Imad merupakan lelaki Lubnan pertama yang menggamit hati peminat Malaysia.

8. "Teman Sejati" - Brothers



"Teman Sejati" memasuki senarai ini kerana ia menjadi lagu nasyid pertama yang menggunakan muzik, sedangkan pada ketika itu kebanyakan lagu nasyid - sekalipun kontemporari, masih lagi menggunakan nyanyian acapella, kompang dan rebab sebagai alat muzik pilihan. Brothers juga ditubuhkan oleh bekas ahli kumpulan nasyid Mirwana yang diasaskan oleh SMKA Maahad Hamidiah, Kajang - yang mana menghasilkan komposer dan penyanyi seperti Yassin dan juga Faizal Tahir.

- Copyright © Tupai - Ada Hiburan, Ada Stail! -