Taylor Swift sangat berjaya dalam kerjaya tapi sentiasa bernasib malang dalam cinta. Baru-baru ini dikatakan Swift telah putus hubungan dengan pelakon "My Week With Marilyn", Eddie Redmayne kerana sukar menjalani hubungan jarak jauh. Namun ini bukanlah kali pertama atau kali kedua Swift dikaitkan dengan seorang selebriti. Kami senaraikan tujuh gosip cinta Taylor Swift dengan tujuh lelaki terkenal Hollywood sejak 2008 hingga sekarang.
JOE JONAS & PANGGILAN 27 SAAT
(2008)
Pada permulaan kerjayanya sebagai penyanyi pada tahun 2008, Taylor digosipkan bercinta dengan penyanyi kumpulan Jonas Brothers, Joe Jonas. Sekalipun tidak pernah benar-benar mengumumkan hubungan mereka, lewat tahun itu, mereka dikatakan telah berpisah. Taylor dikatakan telah ditinggalkan Jonas melalui panggilan telefon selama 27 saat untuk bersama aktres dan bintang muzik video "Lovebug", Camilla Belle.
Dalam satu temuramah di "Ellen DeGeneres Show", Swift menyatakan, "Bila saya jumpa cinta sebenar saya, saya tak akan ingat pun pada lelaki yang telah memutuskan hubungan dengan saya melalui panggilan telefon 27 saat ketika saya berusia 18 tahun." Jonas menjelaskan hal itu melalui blog Myspace-nya, "Saya menghubungi seseorang untuk membincangkan perasaan saya tetapi ia tidak disambut dengan baik. Saya tidak menamatkan panggilan itu. Dia yang enggan bercakap." Swift telah mencipta lagu "Forever & Always" dan "Better Than Revenge" mengenainya.
CINTA SEMENTARA LUCAS TILL
(Awal 2009 - Pertengahan 2009)
Pada awal tahun 2009, Swift bertemujanji dengan bintang muzik video "You Belong With Me" yang dinyanyikannya, yang juga bintang "X-Men: First Class", Lucas Till. Perhubungan itu tidak banyak dilaporkan di media disebabkan banyak peristiwa besar lain yang berlaku pada tahun tersebut.
Namun Till telah mengakui pernah berhubungan dengan Swift dan mengatakan, "Kami saling menyukai. Tapi setiap hubungan menjadi kerana anda bercinta, bergaduh, dan berbaik semula. Itu yang mencantikkan sesebuah hubungan. Saya cuma sukakannya sebagai kawan dan kerana itu ia tidak berhasil." Mereka masih lagi berkawan baik.
CINTA DUA TAYLOR
(Jun 2009 - Disember 2009)
Ketika media mula memberikan perhatian terhadap hubungan Swift dan Till, Swift telah pun beralih arah kepada heronya dalam filem "Valentine’s Day", Taylor Lautner. Mereka bertemu pada musim panas 2009 dan sekalipun tidak pernah mengakui yang mereka bercinta, dua Taylor ini seringkali dilihat keluar bersama sehingga mereka memutuskan hubungan pada akhir 2009.
Swift mengakui dia sentiasa menyukai bintang "Twilight" tersebut sekalipun mereka telah berpisah. Swift berkata, "Taylor Lautner. Saya akan sentiasa memilih Taylor."
LAGU BUAT JOHN MAYER?
(Awal 2010)
Pada awal tahun 2010, desas-desus mengatakan Taylor dan penyanyi John Mayer bercinta. Taylor dikatakan mula bertemujanji dengan artis yang terkenal sebagai kaki perempuan ini selepas sering membuat persembahan bersama.
Lagu "Dear John" yang dicipta Swift dikatakan lagu yang ditujukan khas kepada penyanyi tersebut dan antara liriknya menyebut:
“Dear John, I see it all now that you're gone /Don't you think I was too young / To be messed with /The girl in the dress /Cried the whole way home, I should've known.”
(Buat John, selepas kau pergi aku mengerti/ Tidakkah kau rasa aku terlalu muda untuk dipermainkan/Si gadis bergaun/Menangis pulang, aku sepatutnya dah tahu)
Apabila ditanya mengenai lagu tersebut, Swift mengatakan, "Saya selalu mencipta lagu tentang kisah peribadi saya. Tapi saya tak bincangkannya."
GWYNETH PERKENALKAN JAKE
(September 2010 - Disember 2010)
Pada musim luruh 2010, pelakon terkenal Gwyneth Paltrow memperkenalkan Jake Gyllenhaal kepada Swift. Seperti biasa, Swift tidak mengumumkan hubungan mereka tetapi ia tetap menjadi berita terhangat tahun itu. Swift dan Gyllenhaal seringkali dilihat bersama-sama dan berpegangan tangan. Namun berita tentang perpisahan mereka lewat 2010 hanya diketahui pada awal 2011.
Apabila diminta menjelaskan tentang status hubungannya itu, Swift dilaporkan berkata, "Tiada hubungan. Saya tak rasa macam nak bertemujanji. Hidup saya bahagia sekarang dan saya tak nak menangis Krismas ni jadi saya sangat teruja. Saya tak nak bercakap tentang hal itu. Ia kisah yang menyedihkan.”
KEHILANGAN REDMAYNE DAN FILEM
(Oktober 2011 - Januari 2012)
Taylor Swift dan bintang "My Week with Marilyn" itu dikatakan bertemu ketika Swift menjalani uji bakat untuk watak Eponine dalam filem adaptasi "Les Miserables" pada Oktober tahun lalu. Mereka telah menghabiskan masa bersama di bandar New York bersama eksekutif filem tersebut dan telah keluar bertemujanji secara rahsia.
Sumber mengatakan pasangan ini masih berhubung antara satu sama lain selepas aktor tersebut pulang ke United Kingdom. Mereka bertemu di London pada 24 Januari lalu dan memutuskan hubungan mereka apabila menyedari mereka tidak mampu menjalani hubungan jarak jauh. Swift juga kehilangan watak Eponine, apabila ia telah diberikan kepada aktres British, Samantha Barks.
ZAC EFRON CUMA TEMAN?
(Januari 2012)
Pada awal tahun ini, Taylor Swift ditemui sedang makan malam berdua-duaan bersama bintang “High School musical" dan bekas teman lelaki Vanessa Hudgens, Zac Efron di Restoran Pace di Los Angeles, lokasi yang sama mereka dilihat makan malam bersama Justin Bieber beberapa hari sebelumya. Swift juga dikatakan ke sana dengan menaiki Audi milik Efron.
Ia menjadi berita hangat kerana pada tahun 2009, (sebelum Efron berpisah dengan Hudgens), dia mengakui bahawa Swift adalah seorang gadis yang sangat cantik. Swift membalas dengan memberitahu media bahawa dia merasakan Efron seorang lelaki yang hebat.
Efron dan Hudgens berpisah pada bulan Disember 2010, waktu yang sama Taylor Swift dan Jake Gyllenhaal berpisah. Ramai yang mengatakan Efron dan Swift hanya teman tetapi para peminat mereka mahukan lebih dari itu.
Jadi, mungkinkah ini kisah cinta Swift yang seterusnya?








