Pasangan pelakon Indonesia, Deswita Maharani dan Ferry Maryadi dilaporkan sudah pun bernikah sehari sebelum ibu Deswita menghembuskan nafas terakhir pada 15 Januari lalu.
Dipetik daripada laman sesawang Wow Keren, bekas kekasih pemain badminton Taufik Hidayat ini telah selamat menjadi isteri kepada Ferry, 37, dengan disaksikan oleh ibu Deswita, Hajjah Kusyeti Harun Imam.
Sebelum itu seorang jurukamera stesen Trans TV pernah merakamkan secara tidak sengaja perbualan Deswita dengan rakannya, Anya Dwinov yang cuba mendapatkan kepastian status hubungannya dengan Ferry ketika masih menjaga ibunya di hospital.
"Sudah bernikah? Sudah berkahwin?" soal Anya sebelum Deswita mengiyakan soalan tersebut dengan ringkas.
Walaubagaimanapun Ferry ketika dihubungi oleh Kapan Lagi melalui pesanan ringkas enggan memberi komen tentang khabar tersebut sebaliknya memberitahu akan menjelaskannya satu hari nanti.
"Maaf kerana tidak boleh memberitahu khabar berita tersebut buat masa sekarang. Jika ada yang memberitahu kami sudah bernikah, amin kita doakan saja. Namun minta maaf, bila tiba masanya akan dijelaskan. Terima kasih kerana memahami," ujar duda anak satu ini.
Deswita dan Ferry yang pernah bekerjasama dalam program komedi "Ngelenong Yuk" menjalinkan hubungan cinta selepas Ferry sah bercerai dengan isterinya pada tahun 2009.


