Penyanyi terkenal Katy Perry membuat kemunculan dalam permainan video terbaru francais The Sims iaitu "The Sims 3 Showtime: Katy Perry". Namun Perry bukanlah satu-satunya selebriti yang mendapat tempat dalam permainan video. Kami senaraikan para selebriti yang menjadi inspirasi atau menyerupai beberapa watak permainan video terkenal dunia.
Karakter: Captain John Price ("Call Of Duty")
Selebriti: John Mcaleese
John Mcaleese bukanlah selebriti dalam erti kata pelakon atau penyanyi. Beliau merupakan seorang askar dalam Tentera British yang memimpin pasukan SAS dalam serangan ke atas kedutaan Iran di London pada bulan Mei 1980 yang menamatkan Peristiwa Pengepungan Kedutaan Iran. Dikhabarkan karakter John Price dicipta khusus bagi mengenang jasanya.
Karakter: Samanosuke & Jacques Blanc ("Onimusha 3")
Selebriti: Takeshi Kaneshiro & Jean Reno
Memang tidak syak lagi, francais "Onimusha" telah menggunakan khidmat pelakon Takeshi Kaneshiro dan Jean Reno untuk menghasilkan karakter Samanosuke dan Blanc. Malah, ada khabar angin mengatakan Kaneshiro juga memegang watak utama dalam filem "Onimusha" yang sepatutnya ditayangkan pada tahun 2011 namun sehingga kini tiada sebarang berita mengenai filem tersebut.
Karakter: Genesis ("Dirge of Cerberus: Final Fantasy VII")
Selebriti: Gackt
Selain daripada Genesis, selebriti berasal daripada Jepun, Gackt juga menjadi inspirasi untuk watak Ex dalam "Mobile Suit Gundam: Extreme Vs." dan Belscard dalam "Dragon Nest" selain menghasilkan runut bunyi bagi permainan video tersebut.
Karakter: Leland Monroe ("L.A. Noire")
Selebriti: John Noble
Melihatkan rupa mereka yang sama pun anda boleh tahu karakter ini sememangnya John Noble. Pelakon filem Australia ini muncul sebagai mogul harta tanah bernama Leland Monroe dalam permainan video ini pada tahun 2011.
Karakter: Lucy Stillman ("Assasin's Creed")
Selebriti: Kristen Bell
Dalam siri "Assassin's Creed", Kristen Bell membekalkan suara dan menjadi model bagi karakter Lucy Stillman. Ia turut digunakan untuk "Assassin's Creed", "Assassin's Creed II" dan "Assassin's Creed: Brotherhood".
Karakter: Max Payne ("Max Payne 3")
Selebriti: Jeff Bridges
Dikatakan watak baru Max Payne yang berkepala botak ini diinspirasikan dari lakonan Jeff Bridges sebagai Obadiah Stane atau Iron Monger dalam filem “Iron Man" (2008).
Karakter: Raging Raven ("Metal Gear Solid 4: Guns of the Patriots")
Selebriti: Yumi Kikuchi
Raging Raven diinspirasikan daripada wajah pelakon Jepun Yumi Kikuchi, malah suaranya dijuga digunakan dalam versi Jepun permainan video ini. Dikatakan Kikuchi dijadikan model karakter Raging Raven kerana hubungan rapatnya dengan Hideo Kojima, pencipta permainan ini.
Karakter: Gordon Freeman ("Half Life 2")
Selebriti: Hugh Laurie
Pencipta “Half Life 2” tidak pernah mengesahkan karakter ini diinspirasikan daripada pelakon drama bersiri "House", Hugh Laurie. Namun ramai yang berpendapat bahawa Gordon sememangnya Hugh Laurie kerana rupanya yang begitu serupa. Malah para peminat permainan video ini mahukan Laurie melakonkan watak Freeman sekiranya ia difilemkan.
Karakter: Zoey ("Left 4 Dead")
Selebriti: Sonja Kinski
Zoey merupakan satu daripada watak yang boleh dimainkan dalam "Left 4 Dead". Pada awalnya, rupa parasnya dibuat berdasarkan rupa paras Alesia Glidewell, pelakon suara untuk permainan video. Namun selepas rekaan karakter dikemaskini, watak Zoey diubah supaya lebih menyerupai pelakon dan model Sonja Kinski yang juga merupakan anak perempuan kepada model Nastassja Kinski.











