Persembahan terbaik sepanjang Grammy Awards

Posted by TUPAI


Tahukah anda Grammy Awards adalah singkatan bagi Gramophone Awards"? Mestilah anda tahu. Pialanya pun berbentuk gramofon! Namun berbeza dengan anugerah lain, anugerah Grammy ditonton bukan hanya untuk mengetahui siapakah yang terbaik dalam industri muzik tetapi juga kerana persembahan artis terbaik. Bersempena dengan anugerah Grammy yang ke-54 akan menjelang kurang daripada dua minggu lagi iaitu 12 Februari 2012, kami senaraikan sepuluh persembahan terbaik di pentas Grammy sejak 1959.

Eric Clapton - "Tears In Heaven" (1993)


"Tears In Heaven" merupakan lagu Eric Clapton yang dicipta demi mengenang kematian anak lelakinya yang berusia empat tahun, Conor yang terjatuh dari pangsapuri 53 tingkat rakan isterinya pada tahun 1991. Lagu ini satu kepahitan dalam kemanisan apabila ia memenangi tiga anugerah Grammy termasuk Lagu Tahunan. Clapton menyanyikan "Tears In Heaven" pada majlis anugerah tersebut dan telah menyentuh perasaan ramai.

Whitney Houston - "One Moment In Time" (1989)


Lagu Whitney Houston ini direkodkan sebagai lagu Olimpik Musim Panas 1988. Dalam masa yang sama ia menjadi lagu Houston yang kesepuluh memasuki carta Top 10 Singles di AS. Ketika persembahannya di Grammy pada awal tahun 1989, Houston memberikan persembahan terbaik diiringi rakaman daripada sukan Olimpik tahun sebelumnya untuk pembukaan majlis anugerah. Persembahan ini menjadi pilihan ramai kerana persembahan vokal Houston yang amat hebat.

Barbra Streisand and Neil Diamond - "You Don't Bring Me Flowers" (1980)


Tiada siapa yang menyangka Barbra Streisand akan membuat persembahan lagu duet nombor satunya dengan Neil Diamond di Grammy Awards 1980 kerana Streisand memang seorang yang pemalu. Namun gabungan Streisand dan Diamond merupakan antara persembahan yang paling diingati dalam sejarah Grammy.

Christina Aguilera, Pink, Lil Kim, Mya, Patti Labelle - "Lady Marmalade" (2002)


Sebelum persembahan mereka di Grammy pun, lagu "Lady Marmalade" dari runut bunyi filem “Moulin Rouge” ini memang amat popular. Jadi persembahan Christina Aguilera, Pink, Lil' Kim, dan Mya ini memang satu kolaborasi yang ditunggu-tunggu. Penerbit Missy Elliott menyertai empat wanita ini di pentas dan diikuti diva legenda Patti Labelle, yang menyanyikan versi asal lagu ini.

Michael Jackson - "Man In the Mirror" (1988)


Tidak lengkap senarai ini tanpa adanya nama legenda raja pop dunia, Michael Jackson. Sekalipun diserikan lagi dengan persembahan gospel di pertengahan lagu, para penonton paling sukakan persembahan solonya pada bahagian awal lagu yang lebih kemas dan dekat dengan peminat.

Beyonce & Tina Turner - Proud Mary" (2008)


Nama Beyonce Knowles dan Tina Turner seolah-olah sudah menjelaskan kehebatan persembahan tersebut. Ia merupakan persembahan pertama buat lagenda soul tersebut selepas tidak muncul di pentas selama lebih tujuh tahun ketika. Ketika persembahan ini berakhir, Beyonce dilihat sudah kepenatan, walaubagaimanapun Turner masih lagi bersemangat!

Bruce Springsteen, Elvis Costello, D. Grohl, L. Steven - "London Calling" (2003)


Pada Disember 2002, vokalis The Clash, Joe Strummer meninggal dunia akibat masalah jantung. Di tahun berikutnya, Grammy menggabungkan legenda rock Bruce Springsteen, Elvis Costello, Dave Grohl dari Foo Fighters dan Van Zandt untuk menyanyikan lagu “London Calling” dari album The Clash yang paling sukses. Persembahan tersebut menjadi pengubat buat para peminat Strummer.


Usher and James Brown - "Caught Up, Sex Machine" (2005)


Pada tahun 2005, James "The Godfather of Soul" Brown dan Raja R&B Usher bertemu di pentas Grammy. Bermula dengan persembahan lagu “Caught Up” dari album Usher, dan diikuti dengan persembahan “Sex Machine” oleh James Brown yang berpakaian serba merah. Kedua-dua lagenda soul dan raja R&B itu kemudiannya menari dengan gaya trademark James Brown mengikuti irama "Sex Machine".

Eminem and Elton John - "Stan" (2001)


Persembahan Eminem dan Elton John ini merupakan antara persembahan yang paling diingati. Kenapa? Persembahan dengan Elton - aktivis gay yang paling dikenali ini mematikan tuduhan yang mengatakan Eminem seorang yang anti-homoseksual. Ia juga merupakan antara gabungan yang paling tidak disangka. Siapa sangka Elton John akan bersetuju untuk menyanyikan lagu yang bukan diciptanya sendiri?


Mary J. Blige - "No More Drama" (2002)


Menurut media, persembahan Blige dalam Grammy ini merupakan satu bukti kehadiran seorang legenda baru dalam bidang seni muzik. Lagu "No More Drama" merupakan kisah kehidupan Blige dan dihasilkan ketika penyanyi tersebut sedang memulihkan dirinya dari ketagihan dan perhubungan yang tidak sihat. Persembahan yang emosional dan vokal yang hebat begitu berkesan di hati penonton ketika itu dan meletakkan persembahan ini sebagai persembahan yang terbaik dalam sejarah Grammy.

, , , | edit post

CARIAN

Memuatkan ...

SELAMAT DATANG KE TUPAI

Jika ada sebarang pendapat atau cadangan mengenai artikel atau apa saja, sila hantar kepada tupaimy@gmail.com / editor@cinema.com.my

Sebarang pertanyaan mengenai peraduan yang dijalankan di TUPAI, email-kan saja kepada peraduan@tupai.com.my

VIDEO

Tupai @ Twitter

Tupai @ Facebook