Popular Post

Posted by : TUPAI 11 Januari 2012

Sebelum ini pengarah filem, Prof. Madya A.Razak Mohaideen pernah menegaskan bahawa filem terbaru arahannya, "Bujang Telajak" bukan bertujuan mempersendakan orang kelainan upaya (OKU) gara-gara ketiga-tiga watak utama dalam filem tersebut menyamar sebagai buta, pekak dan bisu.

Terbaru, pengarah berprolifik ini turut menafikan filem arahannya yang ke-33 ini bukanlah meniru karya filem arahan seniman agung, Tan Sri P. Ramlee iaitu "Pendekar Bujang Lapok" memandangkan filem ini turut menampilkan tiga watak lelaki bujang cuba memiliki hati gadis pujaan mereka yang jika diamati karekter dan jalan cerita "Bujang Terlajak" ini seakan menyamai trio 'bujang lapok' dalam filem klasik 50-an tersebut.

"Filem ini tidak ada kena-mengena langsung dengan filem karya seniman agung P.Ramlee dan sama sekali tidak meniru filem popular tersebut.

"Sebaliknya, ia idea asal saya yang cuba mencari dan menonjolkan sesuatu yang tidak klise dalam memaparkan ketiga-tiga watak lelaki dalam filem ini yang sanggup melakukan apa sahaja cara hingga terpaksa membuat perkara negatif demi menambat hati watak Puteri, lakonan Fazura," jelas A. Razak yang ditemui ketika tayangan media filem "Bujang Terlajak" di GSC Signature, The Gardens semalam.

A. Razak Mohaideen (tiga dari kanan) bersama barisan pelakon "Bujang Telajak" ketika tayangan media.

Menampilkan gandingan pertama kali aktres jelita Fazura bersama pelawak terkenal tanah air iaitu Saiful Apek, Johan Raja Lawak dan Nabil Raja Lawak dalam filem bergenre komedi ringan sarat dengan keletah lucu serta mesej, pengarah filem ini turut menjelaskan pemilihan ketiga-tiga pelakon, Saiful Apek, Johan dan Nabil adalah satu pilihan yang tepat dan berjaya memvisualkan karakter yang diinginkannya.

"Saya pernah bekerjasama dengan ketiga-tiga mereka sebelum ini dan bagi saya mereka punya kekuatan komedi dan gestur lakonan yang berbeza. Berasaskan pada stail lakonan mereka inilah yang dapat membentuk karakter tiga orang jejaka yang terdesak mencuri hati Puteri (Fazura) sehingga sanggup menyamar sebagai buta, pekak dan bisu dengan penuh berkesan.

"Berdasarkan dari pemerhatian dan sambutan memberangsangkan diterima daripada penonton yang menonton filem ini tadi yang rata-ratanya tersenyum puas, ini bermakna Saiful Apek, Johan dan Nabil berjaya menyampaikan komedi dan mesej yang ingin disampaikan dalam filem ini," jelasnya lagi yang turut bercadang membuat sekuel untuk filem ini sekiranya ia melepasi kutipan RM3 juta.

Sarat dengan aksi dan telatah penuh lucu yang mencuit hati, filem taruhan A. Razak Mohaideen yang merupakan filem tempatan ketiga yang ditayangkan di pawagam bagi tahun 2012 ini bakal ditayangkan di hampir 75 buah pawagam seluruh Malaysia termasuk Singapura dan Brunei pada 19 Januari ini.

Selain dibarisi Saiful Apek, Johan, Nabil serta Fazura sebagai teraju utama, "Bujang Terlajak" turut dibarisi barisan pelakon hebat seperti Mustapha Kamal, Susan Menon, Eby Yus serta ramai lagi.

- Copyright © Tupai - Ada Hiburan, Ada Stail! -