Gara-gara mengadu sakit kepala dan mengalami muntah-muntah di lokasi penggambaran drama terbarunya yang berjudul “Mr. Labuci”, pengarah drama terkenal Murali Abdullah telah dikejarkan ke Hospital Selayang jam empat petang semalam.
Memetik laporan dari mStar Online, pengarah yang pernah memenangi anugerah ‘Pengarah Terbaik’ untuk drama ‘Sebelum Akhirat’ di Anugerah Skrin 2010 ini masih ditahan di wad kecemasan.
Menurut Penerbit Ekskutif Zeel Production, Muhamad Norazhar Baharuddin, doktor telah melakukan x-ray ke atasnya bagi mencari punca penyakit tersebut dan masih menunggu laporan daripada pihak hospital.
Tambah Muhamad Norazhar lagi, mengikut pemeriksaan awal, doktor memberitahu pengarah tersebut mengalami sedikit pendarahan pada otak tetapi keadaannya terkawal. Doktor juga masih tidak dapat mengesahkan sama ada Murali diserang penyakit angin ahmar kerana simptom yang ditunjukkan tidak ke arah itu.
Murali yang berada dalam keadaan sedar ketika di bawa ke hospital, sebelum ini tidak pernah jatuh sakit dan mengadu mengalami sebarang kesakitan kecuali pada tengah hari semalam, dia mengadu pening kepala.


