Bintang Keseluruhan: 4
Pelakon: 3.5
Plot: 3.5
Sinematografi: 3.5
Tonton filem ini jika anda suka: Lagenda Budak Setan
Novel “Ombak Rindu”, pasti ramai yang sudah membacanya. Novel terlaris hasil nukilan Fauziah Ashari ini sememangnya menyentuh hati dan pasti siapa yang membacanya tanpa di sedari akan berlinangan air mata di pipi. Itulah keajaiban terhadap novel yang menceritakan kisah suka duka seorang wanita bernama Izzah melayari bahtera kehidupan hariannya, kemelut dalam diri Hariz yang merasai cinta isterinya itu. Namun tersepit antara permintaan keluarga dan kemahuan diri.
Kalau sebelum ini penerbitnya, Sharad Sharaz berjaya mengangkat novel ‘Lagenda Budak Setan’ ke layar perak. Kali ini pengarah Osman Ali yang baru dinobatkan pengarah terbaik anugerah skrin 2011 melalui filem ‘Cun’ diberi tanggungjawab untuk memvisualkan novel tersebut ke layar perak.
Kekuatan ‘Ombak Rindu’ terletak pada kolaborasi mantap pelakon-pelakonnya, lakonan yang realistik, cerita, visual, sinematografi dan OST nan indah (sebagai pelengkap). Pada mulanya bila penulis dapat tahu pelakon cantik Maya Karin yang memegang watak Izzah, penulis berasa tidak yakin dan terfikir mampukah Maya membawakan watak Izzah. Setelah melihatnya, ternyata sangkaan penulis salah dan kagum dengan Maya yang berjaya menghidupkan karakter Izzah. Seorang gadis kampung yang terpaksa melalui liku-liku kehidupan yang belum tentu masa depannya. Para penonton dapat merasai kesenggaraan yang dilaluinya sama ada derita, sakit, gembira, bahagia serta ketulusan cinta pada suaminya Hariz, dapat kita 'rasa'.
Jarang sekali kita dapat melihat hero filem mengalirkan air mata jantanya. Untuk filem ‘Ombak Rindu’ ini, heronya Aaron Aziz, ternyata senang untuk mengeluarkan air matanya mungkin kerana terlalu taksub dengan watak yang dipegang. Aaron yang dikenali ramai dengan aksi lasak dan ganas dalam setiap filem lakonannya pada kali ini memegang watak Hariz. Seorang usahawan muda yang berjaya, anak kepada Datuk Sufiah dan tunang kepada pelakon popular Mila Emylia. Hariz yang diselubungi dengan perasaan ego lelakinya kadang-kadang membuatkan kita cair dengan sifat romantiknya.
Mila Emylia watak yang dipegang oleh Lisa Surihani sangat berlainan dengan watak yang pernah dipegang oleh pelakon wanita ini. Selalunya Lisa dilihat dengan pndangan yang agak lembut tetapi untuk ‘Ombak Rindu’ ia menampilkan karakter yang antagonis pada luarnya tapi dari dalaman sebenarnya insan yang bernama Mila Emylia ini hanya mahu mempertahankan cintanya terhadap Hariz. Lisa juga boleh dikatakan berjaya dan membuatkan penonton benci dengan dirinya tapi kadang-kadang membuatkan kita rasa kesian dan sayang dengannya.
Watak sampingan Mail yang dipegang oleh Bront Palarae. Walaupun wataknya hanya sampingan tapi ia memberi impak yang besar terhadap jalan cerita dan kehidupan Izzah dan Hariz. Cintanya ditolak mentah-mentah oleh Izzah tapi dia masih setia menunggu walaupun pada akhirnya dia menemui cinta lain.
Keseluruhannya ‘Ombak Rindu’ mempunyai senimatografi yang sangat cantik dengan berlatar belakangkan suasana yang menghidupkan setiap jalan cerita. Walaupun ada babak yang blur tapi latar panorama indah Pulau Langkawi, Kuala Kerpan, Alor Setar dan Tanah Tinggi Cameron Higlands, dapat menutup 'kecacatan' itu.
Dari mula cerita hingga akhir penonton akan terbuai dan merasai setiap karakter – karakter yang ada terutama sekali watak Izzah dan Hariz. Tidak keterlaluan untuk penulis katakan ‘Ombak Rindu’ merupakan filem romantik yang harus ditonton dan yang terbaik setakat ini.
Aaron Aziz
,
Bront Palarae
,
Fauziah Ashari
,
Filem
,
Lisa Surihani
,
Maya Karin
,
Ombak Rindu
,
Osman Ali
,
Sharad Sharan
,
Tempatan
,
Ulasan
|

