Memegang watak sebagai Hariz, Aaron dilihat mudah mengalirkan air mata jantannya di saat mendampingi watak Izzah yang dilakonkan oleh Maya Karin, walaupun pada hakikatnya Hariz adalah seorang lelaki panas baran.
"Inilah filem pertama yang berjaya membuatkan saya menangis. Saya akui ia sangat menyentuh hati saya setiap kali menjayakan adegan sedih. Mungkin saya terlalu taksub dengan watak Hariz telah menyebabkan saya mengalirkan air mata," ujar Aaron ketika ditemui di majlis pra-tonton filem "Ombak Rindu" yang diadakan di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ayah kepada dua anak ini turut memberitahu ini merupakan hasil kerja kelimanya melakonkan watak yang diadaptasi daripada novel selepas "Stanza Cinta" dan "Badai Semalam".
Walaubagaimanapun aktor berusia 35 tahun ini akan mengelak daripada membaca novel yang diadaptasi supaya tidak terikut-ikut atau keliru dengan jalan cerita oleh penulisnya.
Apabila ditanya tentang adegan intim bersama Maya Karin, Aaron memberitahu ia perlu dilakukan bagi memastikan perjalanan ceritanya tidak lari daripada novel.
"Kami semua profesional dan berjaya melakonkan adegan itu tanpa sebarang masalah. Pengarah juga bijak bermain dengan teknik kamera sehinggakan adegan tersebut nampak realistik.
"Isteri saya sudah membaca skrip tersebut terlebih dahulu dan ketika sesi latihan antara saya dan Maya berlangsung, dia turut berada di set penggambaran," akhirinya.
Selain daripada Aaron dan Maya, "Ombak Rindu" yang bakal menemui penonton di pawagam pada 1 Disember akan datang turut dilakonkan oleh Lisa Surihani, Bront Palarae, Azizah Mahzan dan juga Nadiya Nissa.

