GSC Lite dilaporkan akan lebih sederhana jika dibandingkan dengan pawagam GSC yang lain agar bersesuaian dengan pasaran di sana tanpa menjejaskan skrin besar dan bunyi digital yang biasa digunakan.
Dijangka buka pada pertengahan tahun 2012, pawagam GSC Lite Bintang Megamall dianggarkan akan mempunyai 1,000 tempat duduk dan lapan buah skrin ini terletak di Miri Central Business District.
Sebanyak tiga panggung digital yang boleh menayang filem digital 2D dan 3D, selain daripada format filem 35mm akan turut disediakan di GSC Lite Bintang Megamall.
Kemudahan seperti GSC E-Payment (pembelian tiket melalui talian) dan SelfPrint (cetak sendiri) akan disediakan di pawagam baru ini. Menerusi kemudahan SelfPrint ini, pelanggan boleh mencetak tiket mereka sendiri selepas membeli tiket secara talian.
Aplikasi telefon untuk pengguna iPhone dan Android juga turut menawarkan pilihan 'tanpa tiket' di mana penggemar filem boleh memilih tempat duduk dan membeli tiket secara talian melalui akaun Maybank atau PayPal.
Pawagam GSC Lite pertama bakal dibuka di Mentakab Star Mall, Pahang pada November akan datang. Pada awal Julai tahun ini, GSC turut mengumumkan rancangan mereka untuk GSC CityONE Mall di Kuching yang akan mempunyai 10 skrin, bakal dibuka pada tahun 2012 juga.


