Tampil menafikan dakwaan tersebut, Mamat menjelaskan yang dia tidak ada kena mengena mahupun bukan penyebab transisi imej bertudung yang digayakan Fida sebelum ini.
“Bagi saya kalau Fida bertudung atau tak, saya tak pernah cuit kerana itu adalah fesyen dia yang tak dipaksa oleh mana-mana pihak dan terlalu pirivasi. Bagi saya, apa yang Fida pakai tidak ada sebarang kaitan dengan saya. Jadi kalau Fida nak bertudung atau bertopi, itu adalah hak Fida.”
“Cuma sebagai kawan, saya ada memberi teguran. Saya minta dia fikir yang terbaik untuk dirinya. Fikir kalau peminat boleh terima fesyen tersebut saya tidak ada masalah. Jangan sampai peminat komplen, kerana karekter kami berbeza. Saya pakai seluar pendek pun tak apa, tapi dia dilahirkan dalam industri ini dengan bertudung. Saya tidak tahu sejauhmana dia terima teguran saya. Tapi setakat ini saya tak berani nak sentuh banyak soal pemakaian dia,” jelas Mamat yang turut kesal bila ada yang mengatakan imej Fida berubah selepas dia memuat turun foto Fida tanpa memakai tudung baru-baru ini.
Ketika ditanya tentang status hubungan mereka yang dikatakan rengang selepas isu foto tersebut tersebar, Mamat mengakui isu tersebut sedikit menjejaskan hubungan mereka dan setakat ini mereka hanya menanti isu ini reda barulah berbincang. Namun hubungan ‘persahabatan’ mereka masih diteruskan.
Menurutnya lagi, apa yang berlaku bukan atas kerelaan atau kehendak masing-masing, dan tidak boleh juga menuding jari menyalahkan mana-mana pihak.
“Saya berani bersumpah, insiden tersebut memang tak disengajakan. Saya seorang yang rabun dan tak perasan langsung gambar tersebut sehinggalah kakak saya meminta saya periksa Facebook semula kerana ada sesuatu yang tak elok dalam album tersebut. Bila dah sedar, saya terus padam, tapi sayangnya beberapa blog terlebih dahulu telah memuat turun gambar tersebut,” ujar Mamat lagi yang bakal menjalankan penggambaran drama 13 episod, “Superlawak FC” untuk Astro Warna tidak lama lagi selain penggambaran “Sepah The Movie” pertengahan Oktober nanti di Johor Bahru.

