Pembaca majalah Parade telah sebulat suara memilih bintang program televisyen realiti "Keeping Up With The Kardashians", Kim Kardashian sebagai selebriti paling menjengkelkan menerusi undian Pop Culture 2011.
Mencipta populariti melalui video seks bersama penyanyi Ray J yang tersebar sekitar Febuari 2007 diikuti dengan program televisyen realiti tersebut beberapa bulan selepas itu, Kardashian yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan mewah bersama pemain NBA Kris Humphries 20 Ogos lalu telah mendapat undian sebanyak 29 peratus.
Menurut majalah Parade, "Sememangnya tidak dapat dielakkan Kim mencipta populariti kerana menjadi seorang yang terkenal. Berita perkahwinan dan bulan madu baru-baru ini dilaporkan di mana-mana sahaja. Mungkin disebabkan segala pendedahan yang diberikan telah memberinya gelaran Selebriti Paling Menjengkelkan."
Bekas aktor "Two And A Half Men" Charlie Sheen pula berada di kedudukan kedua dengan 27 peratus, diikuti dengan bintang televisyen realiti "Jersey Shore" Snooki, Lindsay Lohan dan Donald Trump.


