“Saya pasti kembali!”, begitulah janji anak muda kelahiran Utah, 21 tahun ini kala pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia lewat sebuah showcase dua tahun lalu. Semalam bersaksikan lebih 5,000 orang peminat, DAVID ARCHULETA aka Archie mengotakan janjinya kembali menghiburkan para peminat menerusi “The Other Side of Down Asian Tour 2011 Live In Malaysia” anjuran Sony Music Malaysia.
Membanjiri perkarangan stadium seawal jam 5.30 petang, rata – rata peminat yang datang menyaksikan konsert ini terbang jauh dari Singapura, Johor, Sabah dan Sarawak selain kehadiran peminat Kuala Lumpur sendiri. Ramai yang menyatakan rasa terima kasih tidak terhingga kepada penaja kerana siapa sangka atas permintaan lewat laman social Facebook, meminta mantan naib juara pertandingan realiti, Amerian Idol musim ketujuh kembali, direalisasikan juga.
Jam 8.00 pm sorakan histeria sekalian ArcAngels (gelaran untuk peminatnya) bergema saat gambar idola pujaan terpampang di skrin besar diikuti runut – runut lagu Archie. Namun sehingga jam 8.30 kelibat penyanyi ‘baby face’ itu masih belum kelihatan. Keresahan peminat menunggu idola mereka dipujuk dulu dengan persembahan mantap opening act Hao Ren diiringi lima orang penari latar.
Hao Ren
20 minit selepas Hao Ren selesai membuat persembahan suasana stadium gelap seketika dan sorakan peminat kembali menggamakan seisi stadium dan seperti yang dijanjikan, Archie berdesup keluar dari belakang pentas seraya menyanyikan lagu “Stomping The Roses” yang dipetik dari album baru “The Other Side od Down” kemudian diikuti dengan lagu hits, “A Little Too Not Over You”.
Tampil santai dengan T-shirt kelabu dipadankan dengan jaket rona merah, Archie sempat menyuarakan rasa terima kasih dan gembira kerana bertemu semula peminat di Malaysia sebelum meneruskan persembahan malam itu dengan lagu catchy, single pertama dari album barunya, “Something ‘Bout Love”.
Sesekali dia bergurau nakal dengan peminat bertanyakan kemungkinan gadis impiannya ada di Malaysia sebelum berkongsi cerita mengenai ciri – ciri gadis idamannya menerusi lagu balada nan asyik, “My Kind of Perfect” sambil memainkan piano kemudian kembali menggamatkan konsert dengan lagu berkisarkan mimpinya, “Elevator”.
Tidak hanya menyanyikan himpunan lagu hits dari album debut juga dari album barunya, Archie turut menyanyikan beberapa buah lagu cover kegemarannya seperti “Everybody Wants To Rule The World” nyanyian asal Tears For Fears, lagu Gnarls Barkley, “Crazy”, “A Thousand Miles” dendangan Vanessa Carlton ditujukan khas buat ibunya juga lagu ikonik nyanyian Ben E King, “Stand By Me” yang membuatkan peminat sedari usia cilik, remaja sehinggakan ibu bapa mereka turut bernyanyi sama.
Selepas lagu, “Everything and More”, sebuah lagi lagu baru, unrealesed track, “Zero Gravity dinyanyikan sebelum Archie mengucapkan selamat tinggal kepada sekalian peminatnya dan masuk semula ke belakang pentas.
Sungguhpun kelibat idola mereka hilang dari pandangan, sekalian “ArcAngel” masih setia menunggu Archie mengharapkan dia kembali ke pentas semula. Jeritan “We want more! We want more! We want more!” melatari segenap ruang stadium dan Archie kembali semula!
Menghadiahkan sebuah lagu balada indah, cover lagu “Heaven” nyanyian asal Bryan Adam, kemantapan vokal Archie jelas memukau tahap meremang bulu roma. Betapa lagu indah tersebut diadun kemas dengan lontaran merdu suara Archie sebelum mengakhiri konsert malam itu dengan killer hits, “Crush”.
17 buah lagu, 90 minit bersama Archie, apa yang dapat penulis simpulkan, secara jujur Archie kembali bukan dengan janji kosong. Tanpa penari latar mahupun tarian penuh skil, kepuasan jelas terasa dari segi paduan vokal mantap tanpa sikit pun ‘pancit’ dari Archie. Sesosok tubuh genit teruna Utah ini berjaya mengawal keseluruhan konsert dengan hanya bertemankan musisi latar. Dalam pada dihiburkan oleh persembahannya, terdengar cakap – cakap orang belakang mengatakan Archie kini lelaki dewasa. Ya, benar, Archie kini perlahan – lahan meninggalkan bayangan American Idol, terus mengecap kejayaan dengan berdiri di kakinya sendiri simply David Archuleta! Respect!

