Selepas kejayaan drama bersiri "Hotel Mania" dan "Arjuna", TV3 bakal mempersembahkan sebuah lagi drama bersiri yang menyelami kehidupan pesalah juvana. Buat mereka yang tidak tahu, pesalah juvana adalah remaja yag berusia lingkungan 10-18 tahun yang membuat jenayah atau sesuatu yang menyalahi undang-undang.
Menurut Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama, TV3 & TV9, Nurul Aini Abu Bakar, "Juvana" yang diterbitkan oleh Kabir Bhatia ini akan menyelami dunia dan perasaan hati seorang pesalah juvana, sekaligus mendidik para penonton agar mengambil iktibar yang dipaparkan.
"Kami ingin memberi inspirasi kepada para penonton supaya sentiasa mengambil jalan ke arah positif. Kejayaan akademik serta pengetahuan moral yang tinggi mampu memberi jaminan kepada masa depan anda. Itulah yang kami cuba sampaikan menerusi drama bersiri ini," kata Nurul Aini.
Diarahkan oleh Faisal Ishak, "Juvana" mengisahkan remaja pendiam berusia 17 tahun, Daim (Zahiril Adzim) telah dituduh membunuh ibunya dan kekasih ibunya. Akibat tidak berupaya membela diri, mahkamah telah menjatuhkan hukuman agar dia dihantar ke sekolah pemulihan. Di sana, Daim menjadi mangsa buli oleh sekumpulan pelajar yang diketuai oleh Botak (Johan Ariff).
"Juvana" dibarisi pelakon Zahiril Adzim, Bront Palarae, Izreen Azminda, Beto Khusairy, Hariry, Irfan Roslan dan ramai lagi.
Jangan lupa saksikan "Juvana" pada setiap hari Isnin bermula 25 April 2011, jam 9.00 malam di TV3!
| Dari kiri: Zahiril Adzim, Faisal Ishak, Kuswadinata, Izreen Azminda dan Bront Palarae. |
| Guru-guru dalam "Juvana" - Bront Palarae (kiri) dan Beto Khusairy. |

