Ulasan kedua: ... DALAM BOTOL

Posted by TUPAI

Tanpa disangka, ulasan jujur "... Dalam Botol" yang ditulis oleh salah seorang penulis kami telah mendapat perhatian ramai termasuklah penerbit filem sendiri iaitu Raja Azmi dan ramai lagi.

Mungkin ulasan kami berdasarkan 'mata dan pemikiran' penonton filem komersial, namun apa yang ditulis dalam ulasan tersebut hanyalah pendapat kami. Mungkin penonton di luar sana akan mempunyai pendapat atau persepsi tersendiri apabila menonton filem sulung arahan Khir Rahman ini yang bakal ditayangkan di pawagam pada 24 Mac akan datang.

Kami telah meminta penulis blog dan pengkritik filem Ajami Hashim untuk memberi ulasannya pula tentang filem kontroversi ini agar mempunyai dua pandangan atau ulasan yang berbeza. Kepada yang masih belum membaca ulasan yang ditulis oleh penulis kami, sila klik SINI.

Ulasan di bawah adalah buah fikiran Ajami sendiri yang nyata mempunyai pendapat cukup berbeza dengan kami. Walau apa pun, ia terpulang kepada penonton di luar sana untuk menilai sendiri filem lakonan Arja Lee, Wan Raja, Diana Danielle dan ramai lagi ini. Terima kasih atas ulasan anda, Ajami!


BINTANG
Keseluruhan: 4
Plot: 4
Lakonan: 4
Efek Khas: 2
Sinematografi: 4

Tonton filem ini jika anda suka: "Bukak Api", "Brokeback Mountain",  "The Adventures of Priscilla", "Queen of the Desert", "Transamerica"

"Sungguh, sejak saat itu setiap pagi nafasku berlagu kesal, penglihatanku berdindingkan kesal, wangian yang kuhidu berbau kesal, kini hanya penyesalan yang tak berkesudahan menjadi teman hidupku". Itulah catatan oleh watak sebenar di akhir filem "…Dalam Botol".

Ia sebuah kisah realisme kekesalan hidup yang tak pernah berakhir selagi hayat dikandung badan. Secara ringkasnya filem ini memaparkan kronologi momen-momen kesilapan, teladan dan kenikmatan sebagai seorang lelaki sejati yang terlepas atau digadaikan sendiri oleh watak Ruby/Rubidin (Arja Lee). Jalan pulang ke pangkal jalan memang ada tetapi sesuatu yang sejak azali dimiliki, kemudiannya dibuang tiada pengganti lagi.

Sungguhpun filem ini asasnya mengenai hubungan sejenis homoseksual di awal-awal babak di antara Ruby dan Ghaus (Wan Raja) tetapi sebahagian besarnya ialah amaran paling keras kepada individu yang bercadang untuk mengamalkannya. Namun begitu ia juga tidak mahu menghukum sesiapa yang sudah melakukannya kerana pilihan bebas kehendak seksualiti tubuh masing-masing. Filem ini cuba mengingatkan bahawa seandainya itu pilihan mutlak seseorang transeksual untuk melakukan penukaran jantina, nah! inilah akibat dan konflik yang bakal dihadapi selepasnya.

Babak-babak memarahi Rubidin di kampung semasa ibunya, Makcik Sal (Normah Damanhuri) di dapur dan ayahnya, Pak Mus (Jalil Hamid) yang terlantar sakit di kerusi itu berkesan dan dramatik. Setiap butiran dialog oleh Pak Mus dan Makcik Sal jelas sekali meluahkan kekecewaan mereka tetapi pada waktu yang sama tidak sekali-kali membuang Rubidin sebagai seorang anak. Pak Mus masih menganggap Rubidin sebagai anak lelakinya kerana mewasiatkan dia untuk memandikan jenazahnya apabila meninggal dunia.

"…Dalam Botol" juga memperlihatkan peluang terbaik yang terlepas oleh Rubidin melalui hubungannya dengan Dina (Diana Danielle). Walaupun Dina juga tidak sesempurna luarannya kerana mempunyai rahsia lampau yang kotor tetapi sekurang-kurangnya dia mempunyai peluang kedua dalam hidupnya. Makcik Sherry (Fauziah Ahmad Daud), ibu Dina pula kelihatan sebagai seorang wanita kental tetapi masih rapuh dalamannya kerana pernah ditinggalkan suami. Mereka ialah watak-watak feminin yang memerlukan sokongan seorang lelaki seperti Rubidin tetapi harapan mereka dijahanamkan oleh dirinya sendiri.

Kekuatan utama filem ini ialah kualiti lakonan oleh kesemua pelakonnya yang berjaya menjiwai watak dan kelihatan jujur. Ia kurang menjuruskan halatuju sebagai sebuah filem komersial tetapi sebagai sebuah karya yang dibikin dengan berhati-hati dan teliti oleh arahan sulung Khir Rahman.

Filem ini secara sengaja disunting dengan babak-babak pendek kehidupan urban Ruby yang melompat-lompat, ambilan gambar yang dekat, lokasi yang sempit dan kelam di awal cerita untuk menimbulkan rasa kecelaruan dalam hidup Ruby. Seterusnya bila cerita berpindah ke kampung, ia dipaparkan dengan suntingan babak panjang serta ambilan gambar bukaan yang lebih luas dan cerah.

Runut bunyi oleh Saidah Rastam dan Khir Rahman yang kedengaran bukan konvensional sangat sesuai melatari di sepanjang filem ini. Dua buah lagu tema yang digunakan iaitu ‘Mana Ku Tahu’ nyanyian L-Vynn Mohsin di awal filem dan ‘Buka Pintu’ nyanyian Anneke Gronloh di akhir filem juga sangat tepat. Muzik latarnya hanya disunting untuk momen tertentu sahaja di mana kebanyakan babak hanya menggunakan bunyi latar di lokasi sebenar untuk menimbulkan rasa kekosongan dan kerungsingan dalam jiwa Rubidin. Khir Rahman juga memilih lokasi yang kadangkala kelihatan mendesak dan menekan khalayak tetapi mempunyai makna yang tersirat.

"…Dalam Botol" sebagai sebuah filem arahan sulung oleh Khir Rahman ini sangat cemerlang dan beliau berpotensi untuk membikin filem-filem seterusnya yang berkualiti. Manakala keberanian dan keikhlasan Raja Azmi, Pengedaran J.A.S. Sdn Bhd yang sudi untuk menerbitkan sebuah filem berdasarkan kisah hidup sebenar seorang sahabat karib beliau untuk menginsafkan khalayak adalah sesuatu yang wajar dipuji. 


Saksikan "... Dalam Botol" di pawagam 24 Mac 2011!

, , , , , , , | edit post

CARIAN

Memuatkan ...

SELAMAT DATANG KE TUPAI

Jika ada sebarang pendapat atau cadangan mengenai artikel atau apa saja, sila hantar kepada tupaimy@gmail.com / editor@cinema.com.my

Sebarang pertanyaan mengenai peraduan yang dijalankan di TUPAI, email-kan saja kepada peraduan@tupai.com.my

VIDEO

Tupai @ Twitter

Tupai @ Facebook