Seram percintaan SENJAKALA

Posted by TUPAI

Percaturan pelakon dan pengarah Ahmad Idham dalam industri perfileman tanah air sememangnya membawa perubahan besar bermula dengan filem "Jangan Pandang Belakang" yang mendapat kutipan memberangsangkan. Kemudian salah sebuah filemnya yang bergenre komedi, "Adnan Sempit" pula pernah mencipta rekod apabila mendapat kutipan tertinggi filem tempatan. Malah dilihat hampir kesemua filem arahannya sentiasa mendapat kutipan pecah panggung. Dari situ boleh dilihat kesungguhan anak kelahiran Alor Star, Kedah ini untuk menghasilkan filem yang berkualiti dan memuaskan hati para penonton. 

Setelah sekian lama berkerjasama dengan produksi Metrowealth milik David Teo, Ahmad Idham mengorak langkah dengan menubuhkan sebuah syarikat penerbitan, Excellent Picture Sdn. Bhd. Ditubuhkan pada tahun 2000,  Excellent Picture giat menerbitkan drama berkualiti dan sering menghiasi slot-slot drama di stesen televisyen swasta.

Ahmad Idham adalah seorang pengarah yang sentiasa mencari kelainan dalam setiap filemnya.  Filem terbarunya, "Senjakala" bakal ditayangkan pada 14 April akan datang. Filem bergenre seram ini dibarisi pelakon muda Liyana Jasmay dan Zahiril Adzim.

Ikuti temu bual bersama Ahmad Idham yang berbicara tentang "Senjakala".

Hi! Terima kasih kerana sudi meluangkan masa. Boleh ceritakan tentang "Senjakala"?
Sama-sama. "Senjakala" merupakan sebuah filem seram dimana saya mengetengahkan isu percintaan remaja dalam filem ini. Selalunya cerita seram, kita akan menceritakan tentang pembalasan, rasukan dan gangguan hantu tersebut tapi kita tak pernah terfikir asal usul hantu itu dan bagaimana kehidupan orang yang membelanya. Bayangkan kalau orang yang membela itu adalah pasangan kekasih kita sendiri. Bagaimana dengan kehidupan dan hubungan kita itu? Itulah yang saya cuba ketengahkan.

Zahiril & Liyana
Adakah anda sendiri yang memilih pelakon utama Liyana Jasmay dan Zahiril Adzim?

Ya, saya yang memilih. Liyana Jasmay terpilih kerana sekarang ini susah nak mencari pelakon Melayu yang mempunyai raut wajah kemelayuan. Tambahan pula saya pernah bekerja dengan beliau dalam filem "Niyang Rapik". Jadi saya tahu kemampuan dan bakatnya dalam membawa watak sedemikian dengan baik. Zahiril pula dipilih kerana saya pernah melihat mereka bergandingan bersama dalam filem dan drama "Kami". Malah mereka pernah dicalonkan untuk anugerah 'Best On Screen Chemistry' di Shout! Awards 2009. Kebetulan kedua-dua mereka adalah remaja, jadi memang sesuailah.

Salah satu babak "Senjakala"
Apakah cabaran yang dihadapi sepanjang penggambaran filem "Senjakala"?
Ini merupakan filem seram kelima dan setiap filem seram yang saya buat mempunyai kelainan tersendiri. Cabaran untuk filem "Senjakala" ini, saya berdepan dan berlawan dengan kreativiti  sendiri agar saya boleh berikan kelainan kepada penonton.

Sebagai seorang pengarah, anda pernah mengarah pelbagai genre filem. Genre manakah yang memberikan kepuasan kepada diri anda?
Sudah tentu filem yang mendapat box-office! (ketawa) Gurau saja! Saya tidak boleh mengarah satu genre filem sahaja kerana saya jenis cepat bosan. Setiap kali saya mengarah sesebuah filem, saya akan mendapat kepuasan tersendiri dan setiap filem yang saya arah, saya akan pastikan bahawa saya kena mempunyai satu kepuasaan dan barulah filem itu akan mendapat impak dan memberi kepuasan kepada penonton yang melihatnya.




Ahmad Idham ketika penggambaran filem "Senjakala"

Apakah perkembangan terbaru anda dan Excellent Pictures?
Excellent Pictures mula mengorak langkah lebih besar dengan merancang untuk menerbit lima hingga enam buah filem setahun. Selepas "Senjakala", saya masih ada satu lagi filem yang masih tunggu untuk ditayangkan iaitu "Hantu Bonceng", lakonan Juliana Evan dan Zizan Raja Lawak. Saya juga baru sahaja tamat penggambaran filem "Jangan Pandang-Pandang" yang menampilkan Zizan dan Sara Ali. Sasaran Excellent Pictures adalah untuk menjadi sebuah syarikat penerbitan yang serius dalam industri.

Terima kasih, Ahmad Idham!

Sama-sama.

(Kredit foto "Senjakala": Excellent Pictures)

, , , , , , | edit post

CARIAN

Memuatkan ...

SELAMAT DATANG KE TUPAI

Jika ada sebarang pendapat atau cadangan mengenai artikel atau apa saja, sila hantar kepada tupaimy@gmail.com / editor@cinema.com.my

Sebarang pertanyaan mengenai peraduan yang dijalankan di TUPAI, email-kan saja kepada peraduan@tupai.com.my

VIDEO

Tupai @ Twitter

Tupai @ Facebook