Sarah Aqilah permata baru SRC

Posted by Nona Andika



Mungkin ramai yang tidak begitu mengenali Sarah Aqilah, tetapi gadis cantik yang berasal dari Singapura ini mula mencipta nama pada tahun 2009 setelah menjuarai Anugerah, sebuah program realiti TV yang mencari penyanyi terbitan MediaCorp TV Suria. Pada yang tak tahu, Alif Aziz yang popular dengan lagu "Sayang-Sayang" juga pernah menjuarai pertandingan yang sama pada tahun 2007.

Mempertaruhkan nama-nama komposer terkenal dari Malaysia seperti Sharon Paul, Aiman, Pam Yuen dan Mohariz Yaakup dan Nizamulmuluk dari Singapura, album Sarah berjudul "Sarah Aqilah" ini memuatkan lima buah lagu dan bonus minus one. Walaupun masih setahun jagung, lagunya "Biar Hati Mencintai" ciptaan Aiman telah berjaya menduduki carta teratas di stesen radio di Singapura selama 20 minggu.

"Sarah Aqilah" sudah pun berada di pasaran di Malaysia pada 24 Mei lalu dan diterbitkan oleh Suria Records (SRC). Gadis berusia 26 tahun ini dijadualkan akan membuat promosi album di Malaysia sekitar bulan Julain nanti.

Sofea Jane: Mem lebih membara!

Posted by TUPAI

Temu bual ini diadakan di lokasi penggambaran "Hanyut The Movie" pada 23 Jun 2010 di Kuala Lipis, Pahang.

Siapa tak kenal dengan Sofea Jane, pelakon kepada filem yang pernah mencipta kontroversi, "Perempuan, Isteri dan …" yang diarahkan oleh pengarah U-Wei Haji Shaari. Watak Zaleha memberi impak cukup mendalam kepadanya, namun kini Sofea yang bakal menginjak usia ke alam 40-an kembali dengan watak Mem melalui filem "Hanyut The Movie" yang turut diarahkan oleh U-Wei.

Pertama sekali, tahniah di atas filem terbaru ini! Apakah perasaan Sofea apabila diberi peluang bekerja kembali bersama U-Wei?
Teruja! Memang teruja sangat dan tidak sangka dapat bekerjasama dengannya kembali. Sudah hampir 17 tahun semenjak saya bekerja dengannya melalui filem "Perempuan, Isteri dan …". Lama bukan? Saya memang mengetahui mengenai rancangan untuk membikin filem ini, tetapi tidak sangka akan ditawarkan watak Mem. Jadi apabila U-Wei bertanya kepada saya sama ada berminat atau tidak, sudah pasti saya akan berkata ya!

Selain peluang bekerja semula dengan U-Wei, ada sebab lain mengapa Sofea bersetuju untuk terlibat dengan filem ini?
Jalan cerita yang bagus dan watak yang ditawarkan memang menarik. Tambahan pula, suami saya bersetuju dan menyokong sepenuhnya untuk mengambil peluang ini. Alhamdulillah, anak-anak juga sudah besar. Lagi pun agak lama saya tidak diberikan skrip sebagus ini. Jika tidak merebut peluang ini, entah bila lagi akan ditawarkan berlakon. Mungkin saya perlu menunggu lagi 10 tahun untuk mendapatkan watak dan skrip yang bagus.

Ada membaca novel ini atau membuat 'ulang kaji' tentang watak Mem?
Saya memang pernah membaca novel ini. Bukanlah mengulang kaji, tetapi saya akan membuat 'big tree' seperti jangka masa dan menyenaraikan kebencian watak Mem dan sebagainya. Saya selalu menggunakan daya imaginasi saya untuk membentuk sesebuah watak. Enam minggu sebelum penggambaran bermula, kami telah mengadakan latihan, merangka watak dan bacaan skrip bersama-sama barisan pelakon lain. Selain itu, saya banyak berbincang dengan U-Wei sendiri kerana skrip ini ditulis olehnya, jadi dia tahu apa yang diinginkan.

Salah satu babak dalam "Hanyut The Movie"

Ceritakan siapa sebenarnya Mem dan apa pengaruh watak Mem dalam filem ini?
Mem adalah seorang wanita yang bijak dan boleh dikatakan 'berkuasa'. Ramai yang menganggap Mem adalah orang gila, tetapi hakikatnya tidak. Dalam filem ini, hanya dia sahaja yang waras. Ada satu babak ini, anaknya Nina diambil orang dan dia terjun ke dalam sungai untuk mendapatkannya kembali. Melalui babak ini, penonton boleh saksikan kesungguhan Mem untuk mendapatkan anaknya tanpa mengira apa yang akan berlaku. Apabila bekas suaminya, Almayer yang dilakonkan oleh Peter O'Brien ingin anaknya Nina (Diana Danielle) menjadi orang putih, Mem cuba menghalangnya dengan tegas. Apa sahaja yang dilakukan oleh Mem dari awal hingga ke penghujung cerita member impak kepada filem ini. Jika Sasterawan Negara A. Samad Said pernah berkata bahawa filem "Perempuan, Isteri dan …" sungguh membara, bagi saya Mem ini lebih membara!

Boleh ceritakan sedikit pengalaman bekerja dengan Peter O'Brien dan pendapat mengenai lakonan Diana?
Peter memang seorang pelakon yang bagus kerana dia mempunyai pengalaman yang cukup luas. Saya berasa bagus apabila berpeluang bekerja disampingnya. Kami banyak berbincang di lokasi. Ada satu pengalaman lucu berlaku apabila Peter cuba untuk mengingati dialog saya dalam Bahasa Melayu. Kalau ikutkan agak susah untuk berinteraksi sekirang pasangan kita menggunakan bahasa lain, tetapi Alhamdulillah semua itu tidak menjadi masalah. Apabila saya lihat Diana, saya seolah-olah dapat melihat diri saya dalam dirinya. Diana seorang pelakon yang sanggup bekerja keras dan rajin untuk belajar. Saya cukup kagum dengannya kerana dia tidak merungut dengan keadaan di set lokasi. Iya lah, faham-faham sajalah bekerja di kawasan sebegini.

Apakah perkembangan terbaru daripada Sofea selepas tamat penggambaran "Hanyut The Movie"?
InsyaAllah, saya akan terlibat dengan pementasan teater "Natrah" pada penghujung tahun ini. Selepas itu saya akan berehat dan menunggu skrip terbaru daripada U-Wei, mungkin dalam 10 hingga 15 tahun lagi kot! (ketawa). Namun saya sanggup menunggu!

Selebriti & Realiti TV

Posted by TUPAI

Bagaikan trend pula artis-artis masa kini ada rancangan realiti televisyen mereka sendiri. Mungkin mereka tidak kisah kehidupan peribadi mereka dirakam sepanjang masa untuk tontonan umum. Jom kita lihat antara selebriti yang mempunyai rancangan mereka sendiri.

KEEPING UP WITH THE KARDASHIANS
Keluarga yang agak 'gila'! Anda pasti terhibur dengan telatah si ibu dan
bapa - Kris Jenner dan Bruce Jenner, si seksi Kim Kardashian, Kourtney,
Khloe, Robert Jr. dan kembar Kylie dan Kendall.

KIMORA: LIFE IN THE FAB LANE
Model dan pereka fesyen serta CEO Baby Phat Jean Company ini memang 'super mum'. Kimora Lee Simmons-Hounsou ini memang gemar melibatkan anak-anaknya, Aoki dan Ming Lee dalam kerjayanya. Kita boleh lihat bagaimana Kimora membahagikan kerjanya dan juga anak-anak.

GENE SIMMONS FAMILY JEWEL
Siapalah tak kenal dengan vokalis dan pemain gitar bass kumpulan Kiss? Rancangan
ini menyaksikan bagaimana keluarga seorang bintang rock - Gene, si isteri Shannon,
Nick dan Sophie menghadapi kehidupan seharian mereka.


NEWLYWEDS: NICK & JESSICA
THE ASHLEE SIMPSON SHOW

Dua beradik Simpson ni macam 'gila glamor' je? Si kakak Jessica (kiri) muncul dengan rancangan yang mengisahkan kehidupannya bersama suami, Nick Lachey setelah mereka berkahwin. Manakala rancangan si adik pula, Ashlee menceritakan kepayahannya untuk menempa nama dalam industri. Kini Jessica sudah bercerai dengan suaminya dan agak malang dalam dunia percintaan, manakala Ashlee sedang bahagia di samping suaminya, Pete Wentz yang juga pemain gitar bass untuk kumpulan rock Fall Out Boy dan mempunyai seorang anak.

BRITNEY & KEVIN: CHAOTIC
Masa sedang hangat bercinta, mahu dihebohkan kepada satu dunia. Namun bila perasaan cinta tu dah hilang, pelbagai masalah menimpa! Rancangan realiti televisyen ini mengisahkan kehidupan Britney dan Kevin sehinggalah saat mereka berkahwin. Kini pasangan ini telah bercerai dan mempunyai dua orang anak.

LIVING LOHAN
Rancangan ini bukanlah berkisahkan kehidupan selebriti kontroversi Lindsay Lohan, sebaliknya lebih tertumpu kepada si adik, Aliana yang ingin menjadi penyanyi. Kini keluarga Lohan termasuk Lindsay dikatakan sedang dalam penggambaran rancangan realiti televisyen yang baru. Haih, memang dah tak ada kerja ke diorang ni?


THE SIMPLE LIFE
Siapa tak kenal dengan dua bimbo ni? Paris Hilton dan Nicole Richie memang sudah lama kenal dan berkawan baik sejak dari kecil lagi. Lantas keakraban tersebut dibawa ke kaca televisyen untuk tatapan penonton bagi menyaksikan kehidupan 'gila' mereka. Kini Richie lebih matang semenjak ada anak, namun Paris masih lagi dengan hidupnya yang gemar berparti!


SNOOP DOGG'S FATHER HOOD
Bukan semua penyanyi rap kaki perempuan dan tahu berparti je! Melalui rancangan ini, kita boleh saksikan kehidupan seharian Snoop Dogg dan keluarga, dan bagaimana dia berhadapan dengan anak-anak yang semakin membesar.

THE DIARY OF AMBER CHIA
Siapa cakap selebriti Hollywood je boleh ada rancangan diorang sendiri? Malaysia pun boleh! Siapa tak kenal dengan Amber Chia, seorang model bertaraf antarabangsa yang dilahirkan di Ipoh, Perak tetapi dibesarkan di Tawau, Sabah. Rancangan ini akan memfokuskan kehidupan Amber yang sedang mengandung sehinggalah dia melahirkan anak! Adakah ini bermakna penonton berpeluang menyaksikan proses tersebut? Mungkin! Rancangan ini dijadualkan untuk ditayangkan pada penghujung tahun ini. Nantikan ya?

Aizdean Cipta Nama Di Jepun

Posted by MisS SaKurA

Mungkin sesetengah daripada kita disini kurang kenal dengan nama Aizdean tetapi beliau lebih dikenali di negara matahari terbit iaitu Jepun kerana bakat beliau sebagai seorang penyanyi RnB dan telah berjaya mencipta namanya disana. Aizdean atau nama sebenarnya Muhammad Aizuddin Anwar adalah seorang pelajar kelahiran Selayang, Malaysia yang berjaya menambati hati peminat seni suara di Jepun menerusi album sulungnya iaitu "I Need You Baby".

Pemegang ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Elektronik dari University of Electro-Communications, Tokyo, Aizdean telah menarik 30,000 muat turun ke telefon bimbit di kalangan anak muda di negara matahari terbit itu. Album sulungnya yang didatangkan dalam versi Jepun dan Inggeris turut diedarkan di Amerika Syarikat serta Eropah dan juga di platform iTunes. Beliau juga berhasrat untuk mempromosikan muzik Malaysia di Jepun.

Aizdean dikatakan sudah pulang ke tanahair pada hari Isnin yang lalu untuk bercuti sehingga 10 Julai 2010 ini atas beberapa urusan peribadi. Beliau telah menunjukkan minatnya untuk mempelajari bahasa Jepun semasa beliau berumur 18 tahun dan mula mempelajari bahasa Jepun selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Aizdean bakal tampil dengan album single terbarunya hanya dalam versi bahasa Jepun pada bulan depan iaitu "Show Me The Glory". Team Tupai mengucapkan semoga terus sukses dalam bidang nyanyian dan teruslah membawa nama Malaysia di serata dunia Aizdean!

Shaheizy Sam: Tumulak berbeza dengan Adnan

Posted by TUPAI

Namanya makin melonjak naik, sering menjadi sebutan  pengarah-pengarah di Malaysia dan semakin laku selepas lakonan mantapnya yang ditonjolkan melalui "Adnan Semp-It". Shaheizy Sam, adik kepada Zizie Ezzette ini kini sedang sibuk dengan filem terbarunya bergenre aksi komedi berjudul "Kongsi" yang diarahkan oleh pengarah muda Farid Kamil.

Melalui "Kongsi, Sam memegang watak Tumulak, seorang pembunuh upahan yang berasal dari Thailand untuk menghuru-harakan kumpulan kongsi gelap di Malaysia.

Menceritakan kelainan watak Tumulak yang dipegangnya itu, Sam memberitahu ia agak berbeza sama sekali dengan watak Adnan, malah elemen komedi yang perlu disampaikan itu juga berlainan.

"Tumulak boleh dikatakan seorang fighter dan mahir dalam aksi lawan tetapi lemah dalam menggunakan alat senjata", kata Sam ketika ditemui di lokasi penggambaran di Jalan Petaling.

Tambahnya lagi, "Tumulak lebih cekap dan fokus dalam melakukan sesuatu kerja. Walaupun fokus, dia sebenarnya agak kelam-kabut". 

Bagi menjiwai watak ini, Sam hanya menggunakan imaginasinya sendiri dan hanya belajar lenggok bahasa Thailand dan Kelantan.

Ditanya mengapa bersetuju untuk berlakon dalam filem ini, Sam memberitahu dia menyukai filem aksi dan jalan cerita yang berbeza.

"Jalan cerita yang sempoi adalah tarikan kepada saya untuk berlakon. Jika saya adalah seorang penonton, pasti saya akan menonton filem ini bila ia ditayangkan di pawagam. Ini merupakan pertama kali saya bekerja di bawah arahan Farid. Sebelum ini kami hanya pernah berlakon sama tetapi jarang jumpa."

Sam yang senang bekerja dengan Farid mengharapkan peminat akan menyukai dengan hasil kerjanya kali dan memberi sokongan agar prestasi lakonan boleh diperbaiki.

Dengar lagu GADIS AYU di XFM!

Posted by TUPAI


Rasanya flyer di atas cukup untuk menerangkan segala-galanya. Kepada mereka yang tidak begitu mengenali, NBE adalah daripada kumpulan 'Serius Selamba Krew' atau lebih dikenali sebagai SSK yang turut dianggotai oleh Saph dan DJ Jocular. Manakala Altimet pula popular dengan lagu-lagu seperti "Cantik" dan "Syukur". Lady D pula adalah seorang penyanyi wanita yang kerap kali menyumbang suaranya dalam industri hip hop semenjak pertengahan tahun 90-an.

Jadi jangan lupa dengarkan lagu "Gadis Ayu", setiap satu jam dari pukul 10 pagi hingga 10 malam di XFM esok!

Tayangan filem sempena KL Fest 2010!

Posted by TUPAI

Kepada mereka yang tidak berkesempatan untuk menonton filem-filem tempatan popular di pawagam, inilah peluang anda untuk menontonnya! Tambahan pula masuk adalah PERCUMA! Jom tengok filem apa yang anda boleh saksikan sempena KL Festival 2010.

3 JULAI 2010

SANTAU

Teater Coliseum, Jalan Tuanku Abdul Rahman
12.00 tengahari


MY SPY

Teater Mini P.Ramlee, FINAS
8.30 malam

11 JULAI 2010

EVOLUSI KL DRIFT 2

Teater Coliseum, Jalan Tuanku Abdul Rahman
12.00 tengahari


PISAU CUKUR

Teater Mini P.Ramlee, FINAS
8.30 malam

17 JULAI 2010

LU PIKIRLAH SENDIRI THE MOVIE

Teater Coliseum, Jalan Tuanku Abdul Rahman
12.00 tengahari


DUHAI SI PARI-PARI

Teater Mini P.Ramlee, FINAS
8.30 malam

26 JULAI 2010

ADNAN SEMP-IT
Teater Coliseum, Jalan Tuanku Abdul Rahman
12.00 tengahari


NIYANG RAPIK

Teater Mini P.Ramlee, FINAS
8.30 malam

Pak Sudin Jatuh Katil!

Posted by MisS SaKurA

Pelakon komedi veteran terkenal di zaman kegemilangan P Ramlee iaitu Sahamsudin Dali atau lebih dikenali sebagai S Shamsudin atau lagi mesra dikenali sebagai Pak Sudin dilaporkan dalam keadaan stabil selepas terjatuh dari katil sehingga memaksa beliau dikejarkan ke Hospital Alexandra, dekat Singapura pada jam 3 pagi Ahad yang lalu. Sebelum ini, keadaannya dilaporkan agak kritikal kesan daripada kemalangan tersebut.

Baru-baru ini, sebuah stesen televisyen membuat laporan seolah-olah Pak Sudin, 81 tahun sudah meninggal dunia. Disebabkan oleh itu, rakan baik kepada Pak Sudin iaitu Ruhijah Usman segera memaklumkan mengenai perkembangan terkini Pak Sudin dan memperbetulkan dakwaan dibuat sebelum ini dan menceritakan keadaan sebenar.

Ruhijah menjelaskan bahawa kecederaan yang dialami Pak Sudin bukanlah disebabkan jatuh didalam bilik air sebaliknya beliau terjatuh dari katil kerana mahu ke bilik air. Akibat dari itu, tulang pinggul Pak Sudin mengalami keretakan dan juga tulang kaki sebelah kiri yang retak di empat bahagian.

Semoga cepat sembuh Pak Sudin!

Megan Fox kahwin!

Posted by TUPAI

Nampaknya pertunangan kali kedua berjaya membawa pelakon hot Megan Fox ke alam perkahwinan! Menurut laporan di E!Online, Fox dan Brian Austin Green telah berkahwin pada 24 Jun lalu dalam satu majlis yang diadakan di Four Seasons Resort di Hawaii. Malah jurucakap Green juga sudah sahkan berita gembira ini!

Tiada banyak informasi mengenai perkahwinan mereka, tetapi dengar cerita anak Green bersama pelakon Vanessa Marcil, Kassius yang berusia 8 tahun turut berada di majlis tersebut. Ini merupakan perkahwinan pertama buat Fox, 24, dan Green, 36.

Pasangan ini bertemu pada tahun 2004 dan mengikat tali pertunangan pertama kali pada bulan Febuari 2009. Namun ia tidak bertahan lama. Walaubagaimanapun atas dasar cinta, mereka menyambung kembali ikatan tali pertunangan baru-baru ini dan kini sah sebagai pasangan suami isteri!

Tahniah!

Hati-Hati Lady Gaga. Kan dah terjatuh...!

Posted by MisS SaKurA

Alamak! Muka dah control macho ni akibat oleh ramai peminat dan paparazzi yang mengikut dan melihat dia. Tengah-tengah berjalan di airport, sekali tup....JATUHNYA DIRIKU INI!

Bukan MisS SaKurA nak jadikan gambar-gambar ini sebagai bahan untuk korang gelak, tetapi untuk menyokong artikel dari MisS SaKurA tidak lama dulu tentang stilleto-stilleto pelik yang dipakai oleh artis dan selebriti Hollywood. Akibat dari itu, nak nampak pelik dan mungkin tak bersyukur dengan ketinggian yang dikurniakan, maka tersungkur jatuh lah you di khalayak ramai. Enjoy!

Tengoklah kasut tumit tinggi dia yang memang pelik itu!

Opocot mak kau! *control muka*

Alamak, susahnya I nak bangun. Takpe takpe, jangan tolong, I nak control muka nih.

(Kredit foto: Blog RAGE)

Farawahida Terjun Ke Bidang Lakonan

Posted by TUPAI

Nampak gayanya penyanyi kita iaitu Farawahida sudah menjadi seorang pelakon ye? Ini terbukti apabila penyanyi berusia 25 tahun ini ditawarkan untuk memegang watak utama didalam filem terbaru terbitan Layar Dimensi Sdn Bhd bertajuk Baik Giler. Farawahida (Fara) digandingkan bersama naib juara program realiti Astro Raja Lawak iaitu Zizan dibawah filem arahan Mansor Akob ataupun Manchi ini.

Filem Baik Giler yang berkonsepkan komedi ini akan menguji kemampuan Fara untuk membawakan watak sebagai Suraya, kekasih kepada Zizan disamping beberapa pelakon tanahair yang tak kurang hebatnya seperti Kenchana Dewi, Awie, Esma Danial, Sharifah Shahira, Abon, Siti Fazurina, Enot, Maya, Syanie dan ramai lagi. Ditanya mengenai pengalaman berlakon bersama Zizan, ternyata Fara memang berasa gementar, apatah lagi pengalaman berlakonnya hanya sedikit saja ketika berlakon didalam pementasan teater Sinbad yang lalu.

Filem Baik Giler yang menelan belanja kos sebanyak RM1.5 juta ini sudah pun selesai menjalani penggambarannya pada bulan Mei yang lalu di sekitar bandaraya Melaka dan dijangka akan menemui penonton di pawagam Malaysia pada Mac 2011. Dengar cerita, filem ini akan diedarkan oleh MIG Production Sdn Bhd tetapi sehingga berita ini ditulis masih lagi belum ada apa-apa pengesahan dari pihak MIG Production.

Sedikit mengenai filem ini, ianya mengisahkan tentang seorang jejaka bernama Afik (Zizan) yang menghadapi tekanan perasaan dan konflik pemikiran apabila istilah 'baik giler' daripadanya disalah ertikan. Akibat dari itu, Afik terpaksa dimasukkan ke hospital mental kerana mencekik Kimi (Awie) ketika sedang memandu. Dia tidak sengaja mencekik Kimi kerana mahu Kimi mengurangkan kelajuan dan akibat dari itu, dirinya dituduh gila. Setelah keluar dari hospital mental, dirinya menjadi tertekan dan baran apabila mendengar istilah 'baik giler' dan pelbagai kejadian lucu berlaku dan Afik mengamuk tidak tentu pasal gara-gara istilah 'baik giler'.

(kredit gambar: mstar)

Sandra Bullock sah bercerai!

Posted by TUPAI

Setelah melayari bahtera perkahwinan selama hampir lima tahun, akhirnya pelakon Hollywood terkenal Sandra Bullock disahkan bercerai dengan suaminya Jesse James pada 28 Jun lepas. Selepas kemenangan Bullock sebagai Best Performance by an Actress in a Leading Role di Anugerah Oscar tahun ini, terbongkar segala rahsia bahawa James sebenarnya telah curang di belakangnya dengan beberapa orang wanita antaranya adalah model tatu dan penari bogel Michelle 'Bombshell' McGee.

Walaupun sudah bercerai, kehidupan Bullock pasti tidak akan diselubungi kesedihan kerana ia diceriakan oleh anak angkatnya, Louis Bardo Bullock.

Jom pergi tengok Ella 1 & 2 Julai ini!

Posted by TUPAI

28 Jun - Tidak sabar rasanya menantikan konsert ratu rock negara, Ella bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) yang akan berlangsung pada 1 dan 2 Julai 2010, 8.30 malam bertempat di Istana Budaya.

Bercerita tentang persedian konsert tersebut, Ella ketika ditemui di majlis pelancaran KL Festival 2010 di Taman Tasik Titiwangsa semalam memberitahu dia akan mula mengadakan latihan bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan pada hari ini di Istana Budaya. Sebelum ini Ella hanya sempat berlatih bersama bandnya Love Beggars sahaja.

Konsert Ella ini akan diiringi oleh 80 orang daripada OSK dan band seramai enam orang. Ada beberapa segmen yang akan ditampilkan antaranya segmen duet, segmen medley dan segmen lagu-lagu hit yang berentak rancak disulami dengan alunan OSK.

Pada malam tersebut, Ella dijangka akan menyampaikan 25 buah lagu dalam masa dua jam persembahannya itu. Malah beberapa artis bakal berduet bersamanya.

"InsyaAllah Awie, Dato' Ahmad Jais, Joe Wings dan Lord daripada Ella and The Boys akan turut memeriahkan konsert saya malam nanti," kata Ella.

Walaupun sibuk dan gementar dengan konsert yang bakal menjelang, Ella juga sedang sibuk dengan pembikinan album terbarunya yang dijangka akan berada di pasaran pada bulan Julai nanti.

Kepada peminat ratu rock ini, jangan lupa  datang menyaksikan konsert Ella pada 1 dan 2 Julain nanti kerana ia pasti memberi kepuasan! Sesiapa yang sudah lupa lirik lagu-lagu Ella, jom kita hafal kembali supaya boleh menyanyi bersama-samanya. Tiket dijual pada harga RM250, RM200, RM180, RM80 dan RM50 dan boleh didapati menerusi www.ticket2u.biz





(Kredit foto: Facebook Ella)

Teater muzikal UDA & DARA di IB!

Posted by MisS SaKurA

Karya Sasterawan Negara Usman Awang iaitu Uda dan Dara bakal dipentaskan pada bulan Julai ini bersempena dengan KL Festival 2010. "Uda & Dara" muzikal akan dipentaskan di Istana Budaya pada 10 hingga 20 Julai 2010 ini. Kali pertama ianya dipentaskan adalah pada tahun 1972 dan selepas itu telah dipentaskan kembali oleh pelbagai pihak termasuklah pada tahun 1985 dan sekitar tiga tahun yang lalu oleh pelbagai produksi.

Diarahkan oleh Datuk Rahim Razali, pementasan ini akan mengetengahkan beberapa pelakon yang berbakat besar seperti Misha Omar sebagai Dara dan Razali Hussain sebagai Uda, Betty Banafe, Mazlan Tahir, Aishah, Khir Rahman, Radhi Khalid dan ramai lagi. Razali Hussain adalah antara pelakon baru yang berkarisma yang telah disenarai pendek oleh pengarah teater ini sendiri setelah ujibakat diadakan.

 Razali Hussain (kiri) sebagai Uda  dan Misha Omar sebagai Dara.

Buat semua peminat muzikal teater dan ingin menyaksikan karya agung ini dipentaskan sekali lagi oleh Datuk Rahim Razali (kali terakhir adalah pada tahun 1972 di Teater Eksperimental, Universiti Malaya, Kuala Lumpur) bolehlah mendapatkan tiket melalui ticket2u.biz ataupun telefon 03-41498600. Tiket-tiket telah mula dijual dengan harga RM35, RM70, RM105, RM140, RM170 dan RM190.

Mena Suvari kahwin buat kali kedua!

Posted by TUPAI

Selepas mengikat tali pertunangan semenjak tahun 2008, akhirnya pelakon "American Pie" Mena Suvari mengahwini teman lelaki Simone Sestito pada 26 Jun lalu di sebuah gereja di Kota Vatican, Itali! Hubungan Suvari, 31, dan penerbit konsert Sestito, 25, mula terjalin semenjak bertemu Festival Filem Toronto pada tahun 2007.

Tahun lalu Suvari pernah berkata melalui sebuah temu ramah bahawa dia sedaya-upaya untuk menggembirakan keluarga mentuanya dengan mereka gaun pengantin yang akan melindungi dua tatunya. Ini kerana terdapat dua orang rahib dalam keluarga ibu mentuanya itu.

Ini merupakan perkahwinan kedua buat Suvari selepas bercerai dengan bekas suaminya, Robert Brinkmann pada bulan Mei 2005.

Mencipta populariti melalui filem "American Pie", Suvari turut membarisi filem-filem seperti "American Beauty" (1999), "American Virgin" (2000), "Loser" (2000), "Beauty Shop" (2005), "Day Of The Dead" (2008) dan baru sahaja tamat penggambaran untuk "You May Not Kiss The Bride".


Peraduan MANTRA

Posted by TUPAI

Menangi Tiket Menonton "Mantra"!


SINOPSIS
"Mantra", sebuah filem bergenre seram ini menceritakan Muzir (Zul Suhpian) yang dianiaya oleh Hasbi (Hasnul Rahmat) demi melengkapkan ilmu hitamnya serta keinginan untuk mendapatkan isteri Muzir sehingga mengakibatkan Muzir meringkuk dalam penjara seumur hidup. Dalam penjara, Muzir berjaya mendapatkan ilmu hitam daripada Embah yang bakal dijatuhi dengan hukuman mati. Disebabkan bilik penjaranya dikunci dengan ayat-ayat serta kalimah suci Allah, maka Muzir tidak dapat melengkapkan ilmu hitamnya lantas mendapatkan pertolongan dari warden penjara iaitu Pak Long untuk memadamkan ayat dan kalimah suci Allah. Setelah ayat dan kalimah suci Allah berjaya dipadamkan, pelbagai peristiwa pelik berlaku akibat daripada perubahan ilmu hitam yang dituntut Muzir. 

"Mantra" dilakonkan oleh Zul Suhpian (Handy Black), Hasnul Rahmat, Ana Dahlia, Azim, Hamdan Hj. Ramli, Mas Muharni dan ramai lagi.

Diterbitkan oleh MIG Production, "Mantra" akan ditayangkan di pawagam di seluruh Malaysia pada 15 Julai 2010.

Jika anda seorang peminat filem bergenre seram, maka ujilah diri anda dengan menonton filem "Mantra" ini. Menangi dua (2) keping tiket untuk menonton filem "Mantra" dengan menjawab dua (2) soalan mudah dan berikan slogan yang paling unik dan kreatif.

SOALAN
1. Siapakah yang melakonkan watak sebagai Muzir didalam filem "Mantra"?
a. Farid Kamil
b. Zul Suhpian (Handy Black)
c. Rosyam Nor

2. Apakah genre bagi filem "Mantra"?
a. Seram
b. Komedi
c. Romantik

SLOGAN
Apakah makhluk halus yang paling anda takuti dan mengapa? (tidak melebihi 20 patah perkataan)

CARA PENYERTAAN
Hantarkan e-mel dengan menaip MANTRA pass sebagai subjek. Sertakan nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon beserta jawapan dan slogan kreatif anda. Hantarkan e-mel tersebut ke peraduan@tupai.com.my

NOTA 
• Peraduan akan berakhir pada 14 Julai 2010 jam 11.59 malam.
• Senarai nama pemenang di laman web www.tupai.com.my pada 15 Julai 2010.
• Notis pemenang hanya dibuat melalui laman web. Sila layari laman web www.tupai.com.my untuk mengetahui jika anda adalah pemenang peraduan ini.

Gadis-gadis montok di pelancaran Momok

Posted by Mat Rebiu


Haisshhh Mat Rebiu cukup menyesal tak pergi ke launching filem sekuel Momok... Jangan Panggil Aku yang diadakan Jumaat lalu di Kompleks Studio Merdeka FINAS. Tahun lepas, ketika filem pertama dilancarkan, saya memang ada di situ tetapi suasana memang hambar dan tidak menarik, selain daripada itu memakan masa yang lama.

Kali ini pula, Mat Rebiu terjumpa banyak gambar di laman Facebook dan laman rasmi filem itu yang menampilkan ramai pelakon wanita yang cun-melecun. Ya, ratu cantik pun ada!



Antara yang hadir termasuklah Myza Aryqa, Mizy Razuan, Shah Raja Lawak, Nazreen Jefrizal Jaffar, Cassandra Patrick, Zarina Zainuddin, Anna Halim, Liyana Farah Suradi, Arif Shamsudin, Yank Kassim dan pengarah filem tersebut M. Jamil.

Sumber: Momok... Jangan Panggil Aku blog

CARIAN

Memuatkan ...

SELAMAT DATANG KE TUPAI

Jika ada sebarang pendapat atau cadangan mengenai artikel atau apa saja, sila hantar kepada tupaimy@gmail.com / editor@cinema.com.my

Sebarang pertanyaan mengenai peraduan yang dijalankan di TUPAI, email-kan saja kepada peraduan@tupai.com.my

VIDEO

Tupai @ Twitter

Tupai @ Facebook