Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah tubuhkan kumpulan? Eh tidak! Tetapi mereka akan bergandingan bersama untuk sebuah album berjudul "3 Suara". Album ini akan membawa kita ke zaman kegemilangan muzik Melayu sekitar era 80-an dan 90-an dan ianya berunsur pop.
Menurut Pengarah Urusan Sony Music Entertainment (M) Sdn Bhd, Adrian Lim, lagu-lagu era tersebut dipilih kerana pada waktu itu, ramai yang memandang tinggi terhadap industri muzik Malaysia.
"Semua lagu dalam album ini telah diinspirasikan daripada penyanyi-penyanyi popular tanah air era 80-an seperti Noorkumalasari, Francessca Peter, Zaiton Sameon dan ramai lagi," tambah Adrian ketika ditemui di majlis pra-dengar "3 Suara" baru-baru ini.
| Dari kiri: Kevin Chin, Shila Amzah, Jaclyn Victor dan Adrian Lim. Ning Baizura tidak dapat hadir di majlis pra-dengar yang diadakan baru-baru ini. |
Dari segi pemilihan artis, komposer Kevin Chin telah memilihnya sendiri berdasarkan keunikan dan gaya tersendiri artis masing-masing. Kevin yang pernah bekerjasama dengan Anuar Zain dan Krisdayanti ini menganggap projek istimewa ini sebagai hobi memberitahu dia sememangnya peminat Ning dan juga Jac.
"Saya mula mengenali Shila apabila dia menyertai program realiti televisyen 'One In A Million'. Memandangkan saya sudah ada seorang penyanyi balada dan diva R&B, kemasukan Shila si puteri pop bagaikan sudah melengkapkan pemilihan artis untuk album ini," kata Kevin.
Sepuluh buah lagu telah dimuatkan dalam album "3 Suara" ini telah memakan proses yang lama iaitu melebih setahun.
"3 Suara" akan berada di pasaran 4 Januari 2011.


