Hasil kejayaan musim pertama, malam tadi berlangsungnya malam perlancaran teater Natrah musim kedua. Dihadiri oleh barisan-barisan VIP, rakan-rakan artis dan juga rakan-rakan media untuk menyaksikan Natrah musim kedua ini. Hasil dari Natrah yang pertama, Istana Budaya telah penuh dengan penonton-penonton yang ingin menyaksikan kehebatan teater Natrah musim kedua ini.
Dengan dibarisi oleh nama-nama besar dalam industri seperti Sofea Jane, Zila Jalil, Maya Karin, Remy Ishak, Aaron Aziz, Umie Aida, Fizz Fairuz dan Liyana Jasmay, Erma Fatima berjaya mengajak penonton untuk datang menghayati teater arahannya. Natrah yang mengisahkan konflik agama dan isu penjagaan terhadap Natrah sehinggalah berlakunya rusuhan di Singapura.
Untuk Natrah musim kedua ini terdapat kejutan dimana terdapat unsur-unsur tarian Bollywood! . Meriah dan penuh berwarna-warni, seperti menonton cerita Hindustan.
Semasa sesi soal jawab bersama media, Erma Fatima telah ditujukan pertanyaan mengenai unsur-unsur tarian Bollywood yang diselit dalam Natrah musim kedua ini. Erma menegaskan beliau tidak membuat teater mengenai sejarah melainkan kisah cinta Natrah, sejarah hanya latar belakang semata dan tarian Bollywood itu hanya untuk tujuan hiburan.
Bagi Remy Ishak pula ini adalah kali pertama beliau menari dalam lakonannya baik teater ataupun drama. Walaupun ini pertama kali menunjukkan bakat tariannya, Remy tidak malu untuk menari kerana ini telah menjadi tanggungjawabnya dalam teater Natrah. Mendapat latihan oleh selama sebulan, lakonan Remy nyata tidak menghampakan dan tariannya sangat bagus!
Teater Natrah musim kedua ini akan mula dibuka untuk tayangan umum bermula hari ini, 25 November 2010 di Istana Budaya. Jangan ketinggalan menyaksikan teater Natrah; Cinta, Perjuangan Dan Air Mata.

