Ulasan 4 MADU

Posted by TUPAI


BINTANG

Keseluruhan: 3
Plot: 2.5
Lakonan: 3
Sinematografi: 2.5


Tonton filem ini jika anda sukakan: "Otai", "Nana Tanjung"

Rasanya jika bercerita mengenai filem yang mengisahkan isu poligami, pasti ramai yang akan terkenangkan filem komedi berjudul "3 Madu" lakonan Tan Sri P.Ramlee, seniwati Sarimah, Zaharah Agus dan Jah Mahadi. Walaupun sudah siap setahun yang lalu, "4 Madu" bakal menyaksikan pelakon komedi terkenal Saiful Apek membuat comeback setelah ditahan oleh pihak berkuasa pada Jun lalu atas kesalahan memiliki dadah jenis ganja.

"4 Madu" mengisahkan Azlan, seorang pekerja chalet di Bagan Lalang menerima satu sampul surat yang memintanya ke firma guaman di Kuala Lumpur. Ketika di sana, Azlan terkejut apabila pertama kali bertemu dengan saudara kembarnya, Azrul. Kehadiran mereka berdua adalah kerana wasiat arwah ayah mereka. Walaubagaimanapun mereka perlu melaksanakan beberapa tugas sebelum mewarisi wasiat yang berjumlah RM50 juta.

Plot cerita yang ringan dan kelakar terutama sekali ketika menyaksikan gelagat Azlan dan Azrul terpaksa berkahwin dengan empat wanita yang berbeza latar belakang pasti membuatkan penonton terhibur saat menonton filem ini. Malah penulis turut terfikir bahawa berpoligami ini tidak semestinya terjadi atas dasar cinta. Walaubagaimanapun niat pengarah Prof. Madya A.Razak Mohaideen untuk menarik penonton bukan Melayu supaya mereka mengetahui makna berpoligami mungkin dapat dimakbulkan walaupun bukan dengan cara yang betul.

Sebagai peneraju, Saiful Apek telah dipertanggungjawabkan memegang dua watak iaitu Azlan dan Azrul. Persembahan lakonan Saiful Apek tidak perlu dipersoalkan lagi memandangkan dia sememangnya bijak memainkan dua watak dengan menggunakan pendekatan yang cukup berbeza. Namun elemen komedi yang diselitkan sama seperti filem-filem yang pernah dilakonkannya sebelum ini. "4 Madu" juga turut dibarisi oleh 'madu-madu' yang popular iaitu Rozita Che Wan, Marsha Londoh, Sazzy Falak, Almy Nadia, Bienda, Ayu Raudhah, Rosnah Mat Aris dan juga Fasha Sandha. Bukanlah semua berbakat dalam bidang lakonan namun bernasib baik kerana mempunyai rupa yang cantik. Oleh itu penonton harus menjangkakan bahawa ada lakonan yang pasti nampak kaku dan seolah dibuat-buat.

Dengan kembalinya Saiful Apek dan barisan pelakon yang popular serta jalan cerita yang kelakar dan ringan, "4 Madu" dilihat mampu menarik perhatian ramai dan mendapat kutipan yang memberansangkan.


Saksikan "4 Madu" di pawagam Syawal ini!

, , , , , , , , , , , , | edit post

CARIAN

Memuatkan ...

SELAMAT DATANG KE TUPAI

Jika ada sebarang pendapat atau cadangan mengenai artikel atau apa saja, sila hantar kepada tupaimy@gmail.com / editor@cinema.com.my

Sebarang pertanyaan mengenai peraduan yang dijalankan di TUPAI, email-kan saja kepada peraduan@tupai.com.my

VIDEO

Tupai @ Twitter

Tupai @ Facebook