Siapa tak kenal dengan Sofea Jane, pelakon kepada filem yang pernah mencipta kontroversi, "Perempuan, Isteri dan …" yang diarahkan oleh pengarah U-Wei Haji Shaari. Watak Zaleha memberi impak cukup mendalam kepadanya, namun kini Sofea yang bakal menginjak usia ke alam 40-an kembali dengan watak Mem melalui filem "Hanyut The Movie" yang turut diarahkan oleh U-Wei.
Pertama sekali, tahniah di atas filem terbaru ini! Apakah perasaan Sofea apabila diberi peluang bekerja kembali bersama U-Wei?
Teruja! Memang teruja sangat dan tidak sangka dapat bekerjasama dengannya kembali. Sudah hampir 17 tahun semenjak saya bekerja dengannya melalui filem "Perempuan, Isteri dan …". Lama bukan? Saya memang mengetahui mengenai rancangan untuk membikin filem ini, tetapi tidak sangka akan ditawarkan watak Mem. Jadi apabila U-Wei bertanya kepada saya sama ada berminat atau tidak, sudah pasti saya akan berkata ya!
Selain peluang bekerja semula dengan U-Wei, ada sebab lain mengapa Sofea bersetuju untuk terlibat dengan filem ini?
Jalan cerita yang bagus dan watak yang ditawarkan memang menarik. Tambahan pula, suami saya bersetuju dan menyokong sepenuhnya untuk mengambil peluang ini. Alhamdulillah, anak-anak juga sudah besar. Lagi pun agak lama saya tidak diberikan skrip sebagus ini. Jika tidak merebut peluang ini, entah bila lagi akan ditawarkan berlakon. Mungkin saya perlu menunggu lagi 10 tahun untuk mendapatkan watak dan skrip yang bagus.
Ada membaca novel ini atau membuat 'ulang kaji' tentang watak Mem?
Saya memang pernah membaca novel ini. Bukanlah mengulang kaji, tetapi saya akan membuat 'big tree' seperti jangka masa dan menyenaraikan kebencian watak Mem dan sebagainya. Saya selalu menggunakan daya imaginasi saya untuk membentuk sesebuah watak. Enam minggu sebelum penggambaran bermula, kami telah mengadakan latihan, merangka watak dan bacaan skrip bersama-sama barisan pelakon lain. Selain itu, saya banyak berbincang dengan U-Wei sendiri kerana skrip ini ditulis olehnya, jadi dia tahu apa yang diinginkan.
Salah satu babak dalam "Hanyut The Movie"
Ceritakan siapa sebenarnya Mem dan apa pengaruh watak Mem dalam filem ini?
Mem adalah seorang wanita yang bijak dan boleh dikatakan 'berkuasa'. Ramai yang menganggap Mem adalah orang gila, tetapi hakikatnya tidak. Dalam filem ini, hanya dia sahaja yang waras. Ada satu babak ini, anaknya Nina diambil orang dan dia terjun ke dalam sungai untuk mendapatkannya kembali. Melalui babak ini, penonton boleh saksikan kesungguhan Mem untuk mendapatkan anaknya tanpa mengira apa yang akan berlaku. Apabila bekas suaminya, Almayer yang dilakonkan oleh Peter O'Brien ingin anaknya Nina (Diana Danielle) menjadi orang putih, Mem cuba menghalangnya dengan tegas. Apa sahaja yang dilakukan oleh Mem dari awal hingga ke penghujung cerita member impak kepada filem ini. Jika Sasterawan Negara A. Samad Said pernah berkata bahawa filem "Perempuan, Isteri dan …" sungguh membara, bagi saya Mem ini lebih membara!
Boleh ceritakan sedikit pengalaman bekerja dengan Peter O'Brien dan pendapat mengenai lakonan Diana?Peter memang seorang pelakon yang bagus kerana dia mempunyai pengalaman yang cukup luas. Saya berasa bagus apabila berpeluang bekerja disampingnya. Kami banyak berbincang di lokasi. Ada satu pengalaman lucu berlaku apabila Peter cuba untuk mengingati dialog saya dalam Bahasa Melayu. Kalau ikutkan agak susah untuk berinteraksi sekirang pasangan kita menggunakan bahasa lain, tetapi Alhamdulillah semua itu tidak menjadi masalah. Apabila saya lihat Diana, saya seolah-olah dapat melihat diri saya dalam dirinya. Diana seorang pelakon yang sanggup bekerja keras dan rajin untuk belajar. Saya cukup kagum dengannya kerana dia tidak merungut dengan keadaan di set lokasi. Iya lah, faham-faham sajalah bekerja di kawasan sebegini.
Apakah perkembangan terbaru daripada Sofea selepas tamat penggambaran "Hanyut The Movie"?
InsyaAllah, saya akan terlibat dengan pementasan teater "Natrah" pada penghujung tahun ini. Selepas itu saya akan berehat dan menunggu skrip terbaru daripada U-Wei, mungkin dalam 10 hingga 15 tahun lagi kot! (ketawa). Namun saya sanggup menunggu!


