Mungkin ramai yang tidak begitu mengenali Sarah Aqilah, tetapi gadis cantik yang berasal dari Singapura ini mula mencipta nama pada tahun 2009 setelah menjuarai Anugerah, sebuah program realiti TV yang mencari penyanyi terbitan MediaCorp TV Suria. Pada yang tak tahu, Alif Aziz yang popular dengan lagu "Sayang-Sayang" juga pernah menjuarai pertandingan yang sama pada tahun 2007.
Mempertaruhkan nama-nama komposer terkenal dari Malaysia seperti Sharon Paul, Aiman, Pam Yuen dan Mohariz Yaakup dan Nizamulmuluk dari Singapura, album Sarah berjudul "Sarah Aqilah" ini memuatkan lima buah lagu dan bonus minus one. Walaupun masih setahun jagung, lagunya "Biar Hati Mencintai" ciptaan Aiman telah berjaya menduduki carta teratas di stesen radio di Singapura selama 20 minggu.
"Sarah Aqilah" sudah pun berada di pasaran di Malaysia pada 24 Mei lalu dan diterbitkan oleh Suria Records (SRC). Gadis berusia 26 tahun ini dijadualkan akan membuat promosi album di Malaysia sekitar bulan Julain nanti.


