Filem Baik Giler yang berkonsepkan komedi ini akan menguji kemampuan Fara untuk membawakan watak sebagai Suraya, kekasih kepada Zizan disamping beberapa pelakon tanahair yang tak kurang hebatnya seperti Kenchana Dewi, Awie, Esma Danial, Sharifah Shahira, Abon, Siti Fazurina, Enot, Maya, Syanie dan ramai lagi. Ditanya mengenai pengalaman berlakon bersama Zizan, ternyata Fara memang berasa gementar, apatah lagi pengalaman berlakonnya hanya sedikit saja ketika berlakon didalam pementasan teater Sinbad yang lalu.
Filem Baik Giler yang menelan belanja kos sebanyak RM1.5 juta ini sudah pun selesai menjalani penggambarannya pada bulan Mei yang lalu di sekitar bandaraya Melaka dan dijangka akan menemui penonton di pawagam Malaysia pada Mac 2011. Dengar cerita, filem ini akan diedarkan oleh MIG Production Sdn Bhd tetapi sehingga berita ini ditulis masih lagi belum ada apa-apa pengesahan dari pihak MIG Production.
Sedikit mengenai filem ini, ianya mengisahkan tentang seorang jejaka bernama Afik (Zizan) yang menghadapi tekanan perasaan dan konflik pemikiran apabila istilah 'baik giler' daripadanya disalah ertikan. Akibat dari itu, Afik terpaksa dimasukkan ke hospital mental kerana mencekik Kimi (Awie) ketika sedang memandu. Dia tidak sengaja mencekik Kimi kerana mahu Kimi mengurangkan kelajuan dan akibat dari itu, dirinya dituduh gila. Setelah keluar dari hospital mental, dirinya menjadi tertekan dan baran apabila mendengar istilah 'baik giler' dan pelbagai kejadian lucu berlaku dan Afik mengamuk tidak tentu pasal gara-gara istilah 'baik giler'.
(kredit gambar: mstar)


