Ia menyebabkan Pierre membuat keputusan untuk bertukar angin ke Indonesia dan telah membintangi beberapa drama TV di sana. Malah Pierre turut diberi peluang memegang watak utama dalam sebuah filem romantik komedi bertajuk "Crazy, Crazy, Crazy" yang ditayangkan tahun lepas.
Namun selepas setahun menghilangkan diri, Pierre kembali ke industri perfileman tempatan dengan mengarah sebuah lagi filem seram, "Hijab", yang bakal memulakan penggambaran pada 29 April ini di sekitar Kluang, Johor. Selain diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai pengarah, Pierre juga turut menjadi penulis skrip dan memegang watak utama dalam filem terbitan YB Pictures ini. Pengalaman lalu dilihat tidak menghalang jejaka berusia 25 tahun ini untuk terus berkarya.
"Saya rasa pengalaman lalu telah menjadikan diri saya lebih matang dalam hidup. Kini saya lebih bijak mengendali sesuatu masalah tanpa perlu melenting. Pengalaman lalu saya jadikan pengajaran kepada diri saya," kata Pierre ketika ditemui di majlis pelancaran "Hijab" baru-baru ini.
Skrip filem "Hijab" ditulis oleh Pierre ketika dia berusia 19 tahun dan masih bergelar pelajar di Akademi Seni Kebangsaan. Filem yang dijangka menelan belanja sebanyak RM1.5 juta mengisahkan seorang pelakon baru Rafae (Pierre). Dia ditawarkan watak utama dalam sebuah filem seram, namun gagal menjiwai wataknya kerana tidak percaya kewujudan hantu. Satu hari Rafae bertemu dengan seorang bomoh yang mampu membuka 'hijab' di matanya agar boleh melihat hantu.
Selain daripada Pierre, "Hijab" turut dibarisi pelakon baru Nur Fathia, Bell Ngasri, Rozie Rashid dan Maimon Talib. Selepas "Hijab", peminat filem Kabir Bhatia dan Allahyarham Yasmin Ahmad ini bakal mengarah "Chantek", sebuah romantik komedi antara seorang lelaki cacat penglihatan dan orang gaji Indonesia. Selain daripada itu, Pierre juga masih dalam pra-produksi sebuah filem aksi yang berkisarkan kumpulan gengster ala-ala "Young And Dangerous" dan "City Of God".
"Hijab" dijangka untuk tayangan pada akhir tahun 2010.

