BINTANG
Keseluruhan: 2.5
Plot: 2
Lakonan: 2.5
Sinematografi: 2.5
Tonton filem ini jika anda suka: "Syurga Cinta", "I'm Not Single", "9 September"
Pertama kali kita menyaksikan gandingan pelakon Farid Kamil bersama Lisa Surihani adalah melalui filem arahan Pierre Andre, "I'm Not Single" (2008). Pada tahun 2010, sekali lagi pasangan yang pernah digosipkan bercinta ini digandingkan untuk "Semerah Cinta Stilleto", sebuah filem romantik komedi arahan Ahmad Idham. Tindakan pihak Metrowealth (MIG) untuk mengekalkan Ahmad Idham sebagai pengarah bagi filem terbitan ke-35 ini adalah ekoran pengalaman dan kebolehan beliau terutama sekali selepas filem "Syurga Cinta" mendapat kutipan yang memberangsangkan pada tahun 2009.
"Semerah Cinta Stilleto" mengisahkan Stila (Lisa Surihani), anak tunggal yang dilahirkan dalam keluarga mewah jatuh cinta kepada Leto (Farid Kamil), seorang pemuda yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hidup dalam keadaan sederhana. Stila dapat mengenali erti kesempurnaan hidup apabila bersama Leto. Namun kebahagiaan itu tidak berpanjangan kerana hubungan mereka tidak direstui oleh ibu bapa Stila (Shaharudin Thamby dan Nanu Baharudin).
Filem ini menampilkan kisah cinta dua darjat tetapi dalam versi lebih moden agar ia bersesuaian dengan pembangunan negara yang semakin berkembang. Elemen komedi diserapkan agar jalan ceritanya tidak terlalu berat dan membuatkan penonton bosan. Walaupun begitu, ia tidak bermakna mesej yang cuba ditonjolkan tidak berjaya disampaikan.
Pengalaman berlakon dalam pelbagai genre filem sebelum ini menjadikan prestasi Farid semakin meningkat. Setelah puas menyaksikan Lisa beraksi ganas dalam filem "V3: Samseng Jalanan", Lisa kembali ke genre filem yang biasa dilakonkannya. Penulis merasakan watak yang dipegang oleh Lisa tidaklah seberat mana pun, namun Lisa masih lagi kelihatan sedikit kaku memainkan watak Stila itu jika dibandingkan dengan watak Kamsah yang dipegangnya dalam "V3" sebelum ini. Walaubagaimanapun gandingan romantis antara Farid dan Lisa ternyata jelas keserasiannya. "Semerah Cinta Stilleto" turut menampilkan Cat Farish, Kamal Adli, Zed Zaidi, Maimon Mutalib dan Datuk Jamali Shadat. Kesemua barisan pelakon berjaya memainkan watak mereka dengan baik, walaupun ada kalanya penulis merasakan agak menjengkelkan mendengar suara pelakon Angah (daripada siri realiti TV "Raja Lawak") yang agak bingit.
Filem bergenre romantik komedi sentiasa mendapat perhatian di kalangan peminat filem. Dengan plot cerita yang ringan dan persembahan lakonan yang bagus, sesebuah filem romantik komedi sebenarnya mampu pergi jauh. Selain "Semerah Cinta Stilleto", peminat Farid dan Lisa boleh menyaksikan gandingan pasangan ini sekali lagi melalui filem "Lagenda Budak Setan" yang dijadualkan untuk tayangan bulan Jun 2010 ini.
Saksikan "Semerah Cinta Stilleto" di pawagam bermula 8 April 2010!

