Oleh: Nur Safina Othman
23 Feb - Satu ketika dulu, TUPAI pernah menerbitkan satu berita mengenai kontroversi 'Jalang di sebalik Jalang' yang kononnya Imran Ismail (gambar atas) bukanlah penulis skrip untuk filem "Jalang". Selepas itu timbul pula isu pengarah baru Hairie Othman tidak menerima baki bayarannya sebanyak 50% selepas kerjanya dalam filem "2 Alam" selesai dan menuduh Imran adalah orang yang 'menikamnya dari belakang'. Kini sekali lagi nama Imran dikaitkan lagi. Kali ini pelakon utama filem "Jalang", Yasmin Khanif (gambar bawah, baju merah), menuduh Imran menipunya pula.
Selepas bergelar sebagai seorang pelakon, Yasmin meneruskan kariernya untuk bergelar penerbit. Lantas Yasmin Khanif Production (YKP) ditubuhkan. "Cempaka" sepatutnya menjadi filem pertama terbitan YKP. Namun belum sempat berbuat apa-apa, "Cempaka" dikatakan telah 'berpindah' ke produksi lain pula. Lebih-lebih lagi "2 Alam" dikatakan sebenarnya adalah filem "Cempaka", cuma ia telah ditukar tajuk dan terdapat perubaha karakter.
Yasmin ketika dihubungi oleh TUPAI nyata kecewa dengan perkara tersebut lebih-lebih lagi ia melibatkan seseorang yang dipercayainya dan telah banyak membantunya. Tidak pernah terlintas di hati Yasmin bahawa perkara sebegini menimpa dirinya.
"Siapa sangka, seseorang yang saya percaya akan memperbodohkan saya sebegini. Idea asal 'Cempaka' memang diberikan oleh Imran tetapi mana boleh dia sewenang-wenangnya memberikan skrip tersebut kepada produksi Datuk Dr. Rozmey!
"Saya memang percayakan dia. Saya langsung tak nampak dia akan memperlakukan saya sebegini. Dia banyak membantu saya ketika produksi 'Jalang'. Sebab itulah saya percaya dan melantiknya sebagai penerbit.
"Jalan cerita '2 Alam' memang sama dengan 'Cempaka'. Malah barisan pelakon pun sama. Bezanya adalah tajuk filem dan ada perubahan karakter sedikit. Tapi Imran cakap '2 Alam' tu sekuel kepada 'Cempaka'. Takkan lah jalan ceritanya sama?
"Saya tak nafikan kami ada beberapa masalah kecil dan ia menyebabkan penggambaran berhenti buat sementara waktu. Namun ini tak bermakna Imran boleh senang-senang jaja skrip kepada produksi lain.
"Kerugian yang terpaksa ditanggung mencecah RM100,000. Malangnya semua bukti bayaran pula ada pada Imran. Sudah pasti Imran akan hapuskannya terlebih dahulu. Bayangkan saya sudah beberapa kali beri duit kepada Imran sebelum ini, tetapi dia cakap masih tak mencukupi. Lepas itu, dia burukkan nama saya di hadapan krew produksi.
"Namun saya tak takut sebab saya ada saksi-saksi yang boleh menjelaskan perkara sebenar. Jadi orang tak boleh senang-senang nak kata saya buat cerita," akhiri Yasmin dengan nada kecewa.

