Ulasan MERANTAU WARRIOR

Posted by TUPAI



Oleh: Nur Safina Othman

BINTANG

Keseluruhan:
4
Lakonan:
4
Plot:
2.5
Efek Khas:
2.5
Sinematografi:
3


Tonton filem ini jika anda suka: "Ong Bak", "Queens Of Langkasuka"


Saat keluar dari pawagam, penulis merasakan cukup berbaloi menanti penayangan filem penuh aksi, "Merantau Warrior" dari negara jiran, Indonesia. Jarang sekali ada filem yang memartabatkan seni silat untuk dipertontonkan kepada peminat filem seni mempertahankan diri, lebih-lebih lagi Indonesia lebih terkenal dengan filem-filem yang berkisahkan romantik dan seram. Mengikut tradisi Minangkabau, anak lelaki harus pergi mengembara, jauh dari keluarga bagi mendapatkan pengalaman hidup tidak kira yang baik atau buruk, agar ia dapat membentuk mereka menjadi lelaki sejati. Pengembaraan ini dipanggil sebagai 'Merantau'.

Filem ini mengisahkan Yuda (Iko Uwais), seorang anak muda yang mempelajari Silat Harimau mengembara ke ibu kota Jakarta bagi memulakan tradisi 'merantau'. Daripada mencari pekerjaan di sana, Yuda sebaliknya cuba menyelamatkan seorang gadis bernama Astri (Sisca Jessica) yang hampir diculik oleh sekumpulan penjahat yang cuba menjadikannya hamba seks.

Apa yang menarik mengenai filem ini adalah ia diarahkan oleh pengarah British dan watak utama didukungi oleh pelakon baru yang tiada sebarang pengalaman mahu pun pengetahuan mengenai dunia lakonan. Gareth Evans, seorang peminat seni mempertahankan diri diberi peluang untuk mengarah "Merantau Warrior" selepas dia mengarahkan sebuah dokumentari untuk produksi yang sama, Christine Hakim Films yang berkaitan dengan silat juga iaitu "The Mystic Arts Of Indonesia: Pencak Silat". Masih lagi setahun jagung dalam industri perfileman, Evans nampaknya berjaya menyampaikan filemnya dengan berkesan. Filem ini sarat dengan aksi yang pasti membuatkan hati anda berdebar-debar walaupun tidak dinafikan pada awal 20 minit filem ini dimulakan agak perlahan dan membosankan.

Sebelum diberi peluang berlakon dalam filem ini, Iko Uwais sememangnya seorang yang mempelajari Silat Tiga Berantai sejak berusia 10 tahun lagi. Walaupun "Merantau Warrior" merupakan filem pertamanya, lakonan bekas pemandu trak ini nampaknya tidak mengecewakan dan dia mampu menjiwai wataknya dengan baik. Kebolehannya dalam bersilat secara tidak langsung membantunya dalam melakonkan babak-babak aksi dengan lebih berkesan dan tidak nampak seperti dibuat-buat. Tidak keterlaluan rasanya untuk mengatakan bahawa filem ini sebenarnya melancarkan kerjayanya sebagai pelakon aksi. Secara keseluruhan, lakonan barisan pelakon lain seperti Yusuf Aulia yang memegang watak Adit, Mads Koudal (Ratger), Laurent 'Lohan' Buson (Luc) termasuklah Sisca Jessica sebenarnya tidak mengecewakan kerana masing-masing berjaya menjiwai watak mereka. Pelakon wanita yang dihormati dan disegani, Christine Hakim turut terlibat dengan filem ini dengan memegang watak sebagai Wulan, ibu kepada Yuda. Walaubagaimanapun penulis merasa tidak puas kerana tidak banyak babak yang melibatkan Christine dalam filem ini.

Diklasifikasikan sebagai 18PL, penonton akan disajikan dengan sebuah filem aksi yang pasti tidak akan mengecewakan anda. Walaupun pembikin filem dan pelakon utamanya masih lagi baru, nyata sekali filem ini merupakan permulaan kepada kerjaya mereka. Yang pasti ini bukanlah kali terakhir Iko bekerjasama dengan Evans kerana Iko dikatakan akan membintangi filem terbaru arahan Evans, "Berandal", yang dijadualkan untuk tayangan pada tahun 2010.


"Merantau Warrior" akan ditayangkan di pawagam pada 7 Januari 2010!



, , | edit post

CARIAN

Memuatkan ...

SELAMAT DATANG KE TUPAI

Jika ada sebarang pendapat atau cadangan mengenai artikel atau apa saja, sila hantar kepada tupaimy@gmail.com / editor@cinema.com.my

Sebarang pertanyaan mengenai peraduan yang dijalankan di TUPAI, email-kan saja kepada peraduan@tupai.com.my

VIDEO

Tupai @ Twitter

Tupai @ Facebook