Fouziah & Hani sakit menjadi kembar!

Posted by TUPAI

Oleh: Hanna Zainal

Temu bual diadakan ketika tayangan gala "2 Hati Jiwa" pada 13 Januari 2010 di Golden Screen Cinemas (GSC) Tropicana City Mall, Damansara.

Apakah cabaran yang dilalui oleh anda berdua ketika penggambaran "2 Hati 1 Jiwa"?

Fouziah: Sudah pasti kesakitan yang dilalui. Mungkin apa sahaja yang Yasmin dan saya lakukan bersama nampak mudah. Namun hakikatnya ia sangat menyukarkan. Tuhan saja yang tahu betapa sakitnya saya ketika itu. Inilah filem pertama saya di mana selepas hari pertama penggambaran tamat, selepas skru dibuka dan kami dipisahkan, saya menangis sepanjang dalam perjalanan pulang ke rumah. Sakit yang tak terhingga. Penonton mungkin tidak akan nampak tetapi di sebalik baju kami, ada fiber. Ianya sangat keras dan mungkin boleh mencederakan badan kami. Ketika dalam kesakitan, saya terpaksa berlakon watak Lana yang ceria dan agak kebudak-budakan. Lagi satu masalah adalah ketika ingin ke bilik air dengan Hani (ketawa). Efek khas tersebut memakan masa hampir empat jam untuk disiapkan dan penerbit En. Latif memberitahu saya kosnya adalah sebanyak RM3000 sehari!
Hani: Betul apa yang Fouziah katakan. Setiap kesakitan terasa sepanjang penggambaran yang berlangsung selama 25 hari tu. Kadang-kadang sakit semalam belum lega, ditambah lagi dengan yang baru. Tak tahan! Kalau dapat tidur selama lapan jam, saya sudah rasa cukup bertuah kerana pada beberapa jam sebelum tidur kami akan pusing kiri kanan kerana ianya kurang selesa. Apabila bangun pagi, pasti akan terasa sakit dan tak selesa, apatah lagi dengan Fouziah 'melekat' dengan saya. Kadang-kadang saya cuba bayangkan jika Sean Penn, Brad Pitt dan Angelina Jolie memegang watak sedemikian, apa yang akan mereka? Saya cuba letak diri saya sebagai mereka dan cuba buat apa yang mereka mungkin lakukan.

Adakah anda berdua perlu berinteraksi dengan kembar yang melekat sebelum melakonkan watak tersebut?

Fouziah: Kami cuba membuat kajian mengenai Ladan dan Laleh dan banyak berlatih pergerakan bersama. Bukannya kami tidak mahu menghabiskan masa dengan kembar yang sebenar, cuma masa yang membantutkan niat kami. Hani selalu sibuk dengan kerja pengacaraannya, manakala saya pula sibuk dengan penggambaran dan lain-lain. Sayang juga kami tidak dapat jumpa dengan kembar siam.
Hani:
Oleh itu, kami menonton YouTube!
Fouziah:
(ketawa) Ya, YouTube!

Ada sebarang memori di set penggambaran?
Fouziah: Semua!
Hani:
Ada satu babak yang benar-benar menyentuh saya iaitu ketika babak menulis surat. Setiap kali kami menangis, ianya bukan dibuat kerana kami memang merasakan kasih sayang antara adik-beradik ini. Tahu tak, pembedahan tersebut boleh menyebabkan salah seorang atau kami berdua mati. Ia bagaikan menyedarkan saya.
Fouziah:
Satu lagi yang saya ingat adalah ketika merakamkan babak ketika dikebumikan. Bayangkan, terperangkap di bawah tanah melebihi setengah jam dan secara kebetulan, terdapat satu pengebumian sedang dijalankan di mana orang sedang membaca surah Yassin. Bayangkan anda di bawah tanah dan mendengarnya, menakutkan!

Jika anda berdua memang kembar siam, anda sanggup pertimbangkan untuk melakukan pembedahan bagi memisahkan diri masing-masing?

Hani: Jika saya berada di tempat tersebut, untuk pembedahan di mana kami tidak berkongsi organ badan seperti jantung, otak atau hati, saya rasa saya sanggup.
Fouziah:
Agak sukar untuk saya menjawab kerana terlalu banyak memori pahit manis dan saya sendiri merasakan tidak begitu memahami kehidupan sepasang kembar. Banyak yang saya lalui bersama Hani dalam filem ini terutama sekali ketika kami pergi ke tandas atau buat benda lain. Jadi jika dipisahkan, bagaimana kalau salah seorang mati? Malah Ladan dan Laleh juga tidak berjaya diselamatkan.
Hani:
Namun jika anda ingin melihat dunia, sudah pasti anda ingin dipisahkan. Anda pasti ingin kehidupan anda sendiri. Terpulang kepada masing-masing. Jika sayangkan kembar anda, pasti anda akan kekal begitu sehinggalah tua. Ada sesetengah pasangan kembar yang tidak pernah berkahwin.
Fouziah:
Jika anda ingin dipisahkan kerana terpaksa menanggung kesakitan, anda memang ingin dipisahkan!

Terima kasih kepada anda berdua dan semoga berjaya!
Fouziah & Hani:
Sama-sama!



Saksikan Fouziah Gous dan Yasmin Hani dalam "2 Hati 1 Jiwa" pada 28 Januari 2010!

, , , , , | edit post

CARIAN

Memuatkan ...

SELAMAT DATANG KE TUPAI

Jika ada sebarang pendapat atau cadangan mengenai artikel atau apa saja, sila hantar kepada tupaimy@gmail.com / editor@cinema.com.my

Sebarang pertanyaan mengenai peraduan yang dijalankan di TUPAI, email-kan saja kepada peraduan@tupai.com.my

VIDEO

Tupai @ Twitter

Tupai @ Facebook