Oleh: Lai Swee Wei
29 Jan - Wu Chun daripada kumpulan pop Fahrenheit yang berasal dari Taiwan bersama-sama pengarah Daniel Lee ("Three Kingdoms: Resurrection Of The Dragon") dijadualkan akan membuat penampilan di Kuala Lumpur pada 6 dan 7 Februari 2010 untuk mempromosi filem seni pertahankan diri "14 Blades". Perkara ini disahkan oleh syarikat penerbitan filem RAM Entertainment. Ini merupakan promosi jelajah pertama buat Wu Chun dan Daniel Lee di Malaysia.
Semasa dua hari lawatan mereka nanti, Wu Chun dan Daniel Lee akan menyertai satu sidang media yang diadakan di Hotel JW Marriott dan juga tayangan gala filem di GSC Pavilion pada 6 Februari. Sesi bertemu peminat pula akan diadakan di Centre Court, Pavilion KL pada 7 Februari, jam 4 petang.
Dijadualkan untuk tayangan di Malaysia pada 11 February, "14 Blades" dibarisi pelakon Donnie Yen, Zhao Wei, Wu Chun, Kate Tsui dan Qi Yu Wu. Filem ini bakal membawa kita ke sejarah China ketika zaman Dinasti Ming mengenai satu kumpulan pembunuh upahan yang dikenali sebagai 'masters of the 14 Blades'.
"14 Blades" akan ditayangkan di Singapura pada 4 Februari, manakala di Malaysia pada 11 Februari 2010!

