Selepas "Twilight" diarahkan oleh Catherine Hardwicke, kini filem kedua berdasarkan siri novel popular "Twilight" yang ditulis oleh Stephanie Meyers, "New Moon" pula diberi kepada pengarah "The Golden Compass" (2007) Chris Weitz yang menyerapkan elemen komedi (secara sengaja atau tidak), dialog yang kadang-kala agak jiwang seperti "you give me everything just by breathing" dan juga babak yang sengaja diberikan kepada Taylor Lautner untuk menunjuk tubuh badannya yang sasa seperti satu babak kekok di mana dia membuka baju semata-mata untuk mengesat darah di kepala Bella. Mendahului filem sebelum ini dengan kutipan US$383 juta seluruh dunia, filem kali ini lebih memfokuskan diri Bella Swan (Kristen Stewart) yang kecewa selepas ditinggalkan oleh teman lelakinya yang juga pontianak Edward Cullen (Robert Pattinson) sehari selepas dia meraikan hari jadinya yang ke-18. Keadaan tidak menentu itu telah menyebabkan Bella bertindak membuat aktiviti yang merbahaya dengan harapan Edward akan kembali untuk melindunginya. Tanpa disangka-sangkakan perilakunya itu membawa dirinya lebih dekat dengan Jacob Black (Taylor Lautner) yang sebenarnya adalah serigala jadian.
Lautner dilaporkan 'lengkap' dengan 30 paun otot, yang sudah pasti terbukti di layar perak apabila ada di kalangan penonton, terutamanya perempuan yang menarik nafas dan ketawa kecil apabila tubuh badannya yang sasa itu. Transformasi digital Jacob menjadi serigala juga tidak seperti amatur dan ada peningkatan dari segi kesan visual khas berbeza dengan yang terdapat dalam "Twilight" sebelum ini. Agak menarik melihat perubahan tersebut dan mereka juga bijak bermain dengan ekspresi muka. Tambahan pula, pertarungan antara serigala dan Pontianak juga menarik untuk ditonton. Babak Lautner yang semakin bertambah di dalam "New Moon", peminat Pattinson pasti terasa kecewa kerana babak yang menampilkannya berkurangan dan lebih banyak tampil sebagai lembaga atau hantu apabila Bella membuat aktiviti hobi yang merbahaya itu.
Dengan perjalanan cerita yang agak perlahat itu, penulis merasakan lakonan Kristin Stewart agak hambar atau membosankan memandangkan teknik lakonannya hanya terhad dengan menggigit bibir, lebih banyak memandang bawah dan lain-lain. Agak sukar untuk mempercayai jika dibandingkan dengan Pattinson yang kelihatan lebih menjiwai wataknya. Kali ini, persembahan Lautner akan lebih diingati oleh peminat kerana dia berjaya menunjuk kepelbagaian emosi, selain daripada bertukar menjadi serigala. Dakota Fanning pula memegang watak kecil sebagai Jane, pontianak dengan kuasa yang boleh menyakitkan orang. Ia agak menarik menyaksikan wataknya ketika babak di Volturi, sebuah jawatankuasa pontianak di Itali. Rasanya lebih bagus jika Dakota diberikan watak yang lebih besar kerana dia layak.
Selain daripada itu, terlalu banyak babak berlari yang melibatkan tiga pelakon utama itu yang kemungkinan besar berpotensi mendapat iklan kasut pada masa akan datang. Benar bukan? Secara keseluruhan, filem ini mungkin agak sukar menarik perhatian orang dewasa dengan dialog yang kadang-kala agak menjengkelkan dan terlalu jiwang. Namun sudah pasti menarik perhatian para remaja di luar sana yang sudah pasti mengagumi kisah cinta tiga segi ini.
Marsha Lya Milan Londoh atau lebih popular dengan nama Marsha dilahirkan di Michigan, Amerika Syarikat tetapi dibesarkan di Tamparuli, Sabah. Memenangi tempat keempat di dalam rancangan realiti tv popular, Akademi Fantasia, gadis berusia 24 tahun ini telah diberi peluang untuk membawa watak yang berbeza daripada apa yang pernah dilakonkannya sebelum ini.
Nik Sayiddah Fatiha Yazib pula dikenali oleh orang ramai dengan nama Mek Siti melalui sitkom "Salam Pantai Timur" yang ditayangkan melalui TV1. Terkenal dengan dialek negeri Kelantan yang dituturnya ketika berlakon, "Senario The Movie Episode 2: Beach Boys" merupakan filem kedua Mek bersama pengarah Ahmad Idham.
Ikuti temu bual TUPAI bersama kedua-dua pelakon ini.
Ceritakan mengenai watak Marsha dalam filem ini. Saya memegang watak sebagai Zuraidah iaitu anak kedua kepada Pak Mansor yang dilakonkan oleh Datuk Jamali Shadat. Ibu saya adalah isteri kedua kepada Pak Mansor dan berasal dari Sabah. Oleh sebab itu saya bertutur dalam bahasa Sabah. Watak Zuraidah ini agak agresif, kasar, suka memberontak dan lebih gemar berkelakuan ala-ala lelaki. Dia sebenarnya benci dengan kehadiran Azlee, Wahid dan Mazlan ke resort ayahnya dan cuba sedaya-upaya untuk menghalau mereka. Namun dia akhirnya jatuh cinta kepada Mazlan.
Kenapa Marsha menerima untuk melakonkan watak Zuraidah ini?
Saya rasakan watak ini agak berbeza dengan watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini yang agak girly. Saya tidak pernah melakonkan watak sebagai seorang tomboy, jadi teruja jugalah melakonkan watak ini. Kalau boleh saya nak melakonkan pelbagai watak kerana ia boleh memperbaiki skil lakonan saya.
Ini adalah pertama kali anda bekerja di bawah arahan Ahmad Idham. Apa perasaan anda?
Saya sukakannya. Saya suka cara Ahmad Idham bekerja kerana dia tahu apa yang dilakukannya. Dia juga agak pantas dalam menyelesaikan kerjanya.
Bagaimana keadaan di set penggambaran filem ini?
Sangat huru-hara! Ini kerana kumpulan Senario sangat kelakar. Ada sahaja benda yang menggelikan hati kita. Setiap kali memulakan penggambaran, ada saja jenaka yang mereka buat. Kita kena tunggu mereka habiskan jenaka mereka dan memulakannya semula. Lagi pun, mereke suka ad lib iaitu melakukan sesuatu secara spontan. Agak susah juga untuk kami tahu apa yang cuba mereka sampaikan.
Apa projek terbaru Marsha?
Saya masih lagi terlibat dengan sitkom "Berita Hangit" di bawah syarikat penerbitan Afdlin Shauki, Vision Works. Ada filem yang bakal menyusul tetapi masih lagi dalam peringkat perbincangan.
NIK SAYYIDAH
Ceritakan mengenai watak Mek dalam filem ini? Saya memegang watak sebagai Hamidah iaitu adik kepada Qasidah dan Zuraidah yang dilakonkan oleh Maria Farida dan Marsha. Saya menggunakan gabungan dialek Kelantan Thailand. Saya memang tahu bercakap dalam dialek Thailand, jadi saya cuba untuk menggabungkan kedua-duanya. Bahasa Thailand yang saya gunakan ini berasal dari Pattani.
Mek dilihat banyak berlakon dan bertutur dalam dialek yang sama. Kenapa?
Nak buat macam mana, itu yang ditawarkan. Kebanyakan memang menawarkan saya berlakon dengan menggunakan dialek tersebut. Ia tiada masalah untuk saya memandangkan saya berasal dari Kelantan. Namun saya boleh berbahasa Melayu seperti orang lain.
Bagaimana bekerja bersama dua pelakon wanita lain – Maria Farida dan Marsha?
Alhamdulillah, tiada masalah untuk saya. Saya akan cuba untuk menyesuaikan diri. Contohnya apabila saya berlakon bersama Senario, saya cuba sesuaikan diri dengan mereka. Saya masih lagi diri saya, cuma bagi 'satu kepala' saja. Begitu juga dengan Maria Farida dan Marsha. Seperti yang kita tahu, Maria Farida sudah lama berkecimpung dalam bidang lakonan. Dia tu macam otai atau veteran. Saya cuba mempelajari apa yang mampu agar ia membantu saya pada masa akan datang. Sama juga seperti Marsha.
Bagaimana pula keadaan di set penggambaran?
Sangat gembira! Kami semua asyik ketawa saja. Untuk berlakon dalam filem komedi, kita kenalah sentiasa bergembira.
Mek tak takut ke jika dikatakan asyik berlakon di bawah produksi dan pengarah yang sama saja?
Bagi saya, ia bergantung kepada siapa dulu. Tawaran datang, perbincangan berjalan lancar dan elok semuanya, maka diteruskan saja lah.
Ada rasa teringin melakon watak yang berbeza?
Sudah pasti! Saya ada juga melakonkan watak sedih dan jahat tapi kebanyakannya adalah watak komedi. Namun saya teringin sangat membawa watak jahat kerana ianya agak berbeza dan mencabar juga.
Saksikan "Senario The Movie Episode 2: Beach Boys" di pawagam sekarang!
Pengarah Afdlin Shauki mendedahkan dua perancangan besar untuk filemnya yang telah memenangi anugerah di Festival Filem Malaysia Ke-22, "Papadom", iaitu versi baru dalam bahasa Tamil dan juga sekuel. Mendapat kutipan mencecah RM3.5 juta di pecah panggung, "Papadom", sebuah filem mengisahkan hubungan ayah-anak akan dibuat semula secara keseluruhan khas untuk penonton Tamil dengan barisan pelakon berbangsa India.
"Buat masa ini, saya dalam proses membuat 'Papadom' dalam versi Tamil. Pihak Astro telah lama meminta saya untuk buat sebelum 'Papadom' ditayangkan kerana mereka sangat sukakan filem ini. Tambahan pula kini "Papadom" telah pun meletup di panggung. Sudah pasti ia akan mendapat lebih perhatian. Ia akan menggabungkan barisan pelakon dari India dan juga Malaysia dan produksi berkemungkinan besar akan dimulakan pada bulan Januari atau Febuari tahun depan. Saya akan dapatkan seorang penterjemah, namun kita juga akan mengambil pelakon tempatan yang boleh bercakap dalam bahasa Melayu. Buat masa ini, skrip filem sedang diterjemah kepada bahasa Tamil dan saya sangat teruja! Sebagai pembikin filem, saya tidak mahu melakukan perkara yang sama saja," kata Afdlin yang ditemui pada premier filem 'My Spy' yang telah diadakan di GSC Mid Valley pada 20 November baru-baru ini. Dia turut menambah, "Bukan semua orang tahu mengenai perkara ini tapi pasaran filem Tamil lebih besar daripada pasaran filem Melayu. Koleksi mereka selalunya mencecah RM8juta atau RM10juta. Namun kita hanya mendapat RM3juta ke RM4juta."
Apabil ditanya mengenai sekuel, Afdlin memberitahu, "Kita harus tunggu sehingga 'Papadom' dalam bahasa Tamil siap kerana kami tidak mahu terlalu kelam-kabut dan memaksa. Walaubagaimanapun ini jalan ceritanya – Anak perempuan Saadom, Mia sudah mula bekerja dan bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. Jadi daripada mengintip anak perempuannya, Saadom bertindak mengintip tunang anak perempuannya itu!"
Kehilangan teman baik membuatkan pengacara terkenal, Daphne Iking, ingin memegang watak kontroversi sebagai transeksual atau homoseksual bagi memperingati teman baiknya sekali gus mengajak orang ramai untuk memahami perkara yang agak taboo ini."Teman baik saya telah dibunuh hanya kerana dia adalah seorang lelaki homoseksual dan saya mahu orang ramai memahami bahawa bukan mudah buat mereka jadi sedemikian," kata Daphne yang ditemui baru-baru ini di majlis premier filem pertamanya, "My Spy" di GSC Mid Valley.
"Saya telah dibesarkan dengan orang seperti mereka dan nyata mereka bukanlah orang yang jahat atau pun teruk. Namun orang ramai salah faham mengenai diri mereka," tambahnya lagi.
Walaupun tahu bahawa ia adalah satu subjek yang taboo terutama sekali di kalangan orang kita dan kemungkinan besar bakal mendapat reaksi mengejut daripada pelbagai pihak, Daphne menganggap ia adalah satu perkara yang harus disampaikan agar semua orang memahami keadaan diri mereka yang menjadi transeksual atau homoseksual ini.
Kepada peminat Daphne Iking, jangan lupa saksikan lakonan filem pertamanya di dalam filem "My Spy" di mana dia dan Carmen Soo menjadi kembar siam dan merupakan pengawal peribadi kepada Datuk O yang dilakonkan oleh Redzuan Hashim. "My Spy" adalah sebuah filem arahan Afdlin Shauki dan turut dibarisi pelakon Harun Salim Bachik, AC Mizal, Hannah Tan dan ramai lagi!
Nantikan temu bual TUPAI bersama Daphne Iking.
"My Spy" akan menemui peminat di pawagam bermula 3 Disember 2009!
Selepas 'mengembara' dan mencipta nama di persada dunia, akhirnya "Karaoke" kembali ke kampung halaman jua. Filem arahan pengarah muda Chris Chong Chan Fui, "Karaoke" bakal ditayangkan di pawagam GSC Mid Valley selama seminggu bermula 26 November sehingga 2 Disember 2009.Penonton juga berpeluang menyaksikan filem pendek "Block B" yang turut diarahkan oleh Chris Chong bersama-sama filem "Karaoke" pada tarikh tertentu iaitu tayangan jam 1.30 tengahari pada 28 dan 29 November sahaja.
"Karaoke" mula mendapat perhatian ramai apabila ia menjadi filem Malaysia pertama selepas 14 tahun dipertontonkan di Festival Filem Cannes pada Ogos lalu dan memenangi anugerah Maverick di Festival Filem Antarabangsa Calgary, Canada pada bulan Oktober baru-baru ini. Seperti "Karaoke", filem pendek "Block B" juga turut mencipta nama apabila ia pernah memenangi Filem Pendek Antarabangsa Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Mar Del Plata ke-23 di Argentina. Malah turut dipertontonkan di pelbagai festival filem di luar negara.
"Karaoke" dilakonkan oleh Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia ke-22, Zahiril Adzim, Mislina Mustaffa, Nadiya Nissa dan Mohammad Hariry. Ia mengisahkan kehidupan Betik (Zahiril Adzim) pulang ke kampung halamannya selepas penat merantau di kota Kuala Lumpur. Niat untuk membantu ibunya (Mislina Mustaffa) dalam perniagaan pusat karaoke tidak kesampaian apabila ibunya membuat keputusan untuk menjual perniagaan tersebut bagi memulakan kehidupan yang baru.
Saksikan "Karaoke" secara eksklusif di pawagam GSC Mid Valley bermula 26 November – 2 Disember 2009!
Jika di dalam "Senario The Movie: Episode 1" mereka berusaha untuk mengejar cita-cita bergelar bintang. Kini di dalam sekuel filem pula, Azlee, Wahid dan Mazlan yang masih lagi memegang watak yang sama, 'mengejar' jodoh mereka. Dimulakan dengan ketiga-tiga mereka pergi bercuti di Pulau Pangkor dan telah bertemu dengan tiga adik-beradik - Qasidah (Maria Farida), Zuraidah (Marsha Milan Londoh) dan Hamidah (Nik Sayyidah Fatiha). Walaubagaimanapun, perkenalan tersebut tidak berjalan lancar dan mengakibatkan mereka asyik bergaduh. Namun setelah Azlee, Wahid dan Mazlan membantu pemilik resort, Encik Mansor (Dato' Jamali Shadat) yang juga merupakan ayah kepada ketiga-tiga wanita tersebut bagi mengelakkan resortnya dijual, bibit-bibit cinta mula timbul. Kemunculan Remy (Riezman Khuzaimi) untuk menipu Encik Mansor gagal dan telah bertindak menculik Qasidah bagi membalas dendam.
Prestasi lakonan Senario memang tidak dinafikan bagus. Lakonan yang spontan dan menggelikan hati itu sememangnya mampu membuat penonton tidak kering gusi. Menariknya, lawak jenaka mereka tidak lapuk dek zaman. Untuk filem ini, Maria Farida berlakon sebagai seorang gadis moden, Marsha pula sebagai gadis tomboy yang bercakap loghat Sabah manakala Nik Sayiddah Fatiha atau lebih dikenali sebagai Mek pula bercakap dalam loghat Kelantan campur Thailand. Walaubagaimanapun, lakonan Mek lebih menyerlah jika dibandingkan dengan Maria dan Marsha. Sememangnya terkenal dengan penggunaan loghat Kelantan yang digunakan melalui drama yang pernah dilakonkannya, lakonan Mek nampak spontan, asli dan kelakar. Manakala Maria Farida pula kelihatan agak kaku memandangkan ini adalah filem pertamanya selepas 14 tahun melalui "Bisikan Cinta". Walaupun aktif dengan drama bersiri dan dianggap 'veteran' di kalangan barisan pelakon kerana pengalamannya, malangnya Maria gagal menjiwai wataknya dengan baik sekali. Lakonan Marsha pula dianggap biasa. Sayangnya kerana Marsha sebenarnya mampu melakonkan wataknya dengan lebih baik lagi.
Pengarah Ahmad Idham cuba untuk memperlihatkan keindahan Pulau Pangkor kepada penonton dan ternyata dia berjaya melakukannya. Jalan cerita yang ringkas dan mudah difahami akan membuatkan penonton lebih terhibur dengan lawak jenaka Senario dan pelakon lain.
Mungkin ada di kalangan pembaca menganggap lawak jenaka yang ditonjolkan oleh Senario agak bodoh. Namun anda tidak boleh menafikannya ia mampu membuatkan anda ketawa melihat telatah mereka. Jadi kepada mereka yang sentiasa stress dengan kerja atau apa sahaja masalah, mungkin "Senario The Movie Episode 2: Beach Boys" adalah sebuah filem yang sesuai kepada anda?
2.5 BINTANG
"Senario The Movie Episode 2: Beach Boys" akan berada di pawagam pada 19 November 2009.
4 BINTANG
"2012" akan ditayangkan di pawagam pada 12 November 2009.
Filem arahan Bernard Chauly dan dilakonkan oleh dua pelakon wanita popular, Maya Karin dan Nur Fazura baru sahaja ditayangkan di pawagam 5 November lalu. Promosi filem ini telah rancak dibuat melalui laman web komuniti Facebook dan juga sesi bertemu peminat telah diadakan di beberapa lokasi termasuk Kuantan dan Kuala Lumpur pada hari minggu lepas.
"Pisau Cukur" kini sedang 'panas' ditayangkan di pawagam!
Kejayaan "Momok The Movie" yang ditayangkan di pawagam pada Raya Aidilfitri lalu mengejutkan banyak pihak namun perancangan untuk menerbitkan sekuel filem tersebut sudah pun rancak dijalankan.
Menurut pengarah M.Jamil, anggaran jumlah yang berjaya dikutip untuk "Momok The Movie" adalah antara RM2.1 juta ke 2.5 juta sebelum mendapat pengesahan daripada FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia).
Maklumat yang terdapat di blog filem tersebut (www.momokthemovie.blogspot.com) memberitahu pelakon Ebby Yus, Velvet AF3, Julia Ziegler dan Zahida Rafiq dalam perancangan untuk diambil berlakon di dalam sekuel yang dijangka akan ditayangkan pada tahun 2010.
Rancak menghebahkan sesi uji bakat secara online, pengarah juga meminta pelakon, bakat-bakat baru dan mereka yang berminat menghantar maklumat diri kepadanya melalui email untuk pertimbangan.





