Popular Post

Archive for Oktober 2009

Ulasan "Senario The Movie Episode 2: Beach Boys"

By : TUPAI


Populariti kumpulan Senario ada naik turun sepanjang mereka berkecimpung dalam industri hiburan ini. Pelbagai masalah telah menimpa kumpulan mereka. Daripada lima orang, kini Azlee, Wahid dan Mazlan Pet-Pet lebih gemar bergerak tiga orang. Selepas filem mereka bersama Metrowealth, "Senario The Movie: Episode 1" (2008) berjaya mencatat kutipan pecah panggung dengan RM2.5 juta, kini mereka bekerjasama sekali lagi. Masih lagi mengekalkan barisan pelakon utama dan pengarah, "Senario The Movie Episode 2: Beach Boys" kali ini akan menampilkan 'bunga' di dalam filem tersebut selepas pengarah Ahmad Idham menerima rungutan ketiadaan pelakon wanita di dalam filem terdahulu.

Jika di dalam "Senario The Movie: Episode 1" mereka berusaha untuk mengejar cita-cita bergelar bintang. Kini di dalam sekuel filem pula, Azlee, Wahid dan Mazlan yang masih lagi memegang watak yang sama, 'mengejar' jodoh mereka. Dimulakan dengan ketiga-tiga mereka pergi bercuti di Pulau Pangkor dan telah bertemu dengan tiga adik-beradik - Qasidah (Maria Farida), Zuraidah (Marsha Milan Londoh) dan Hamidah (Nik Sayyidah Fatiha). Walaubagaimanapun, perkenalan tersebut tidak berjalan lancar dan mengakibatkan mereka asyik bergaduh. Namun setelah Azlee, Wahid dan Mazlan membantu pemilik resort, Encik Mansor (Dato' Jamali Shadat) yang juga merupakan ayah kepada ketiga-tiga wanita tersebut bagi mengelakkan resortnya dijual, bibit-bibit cinta mula timbul. Kemunculan Remy (Riezman Khuzaimi) untuk menipu Encik Mansor gagal dan telah bertindak menculik Qasidah bagi membalas dendam.

Prestasi lakonan Senario memang tidak dinafikan bagus. Lakonan yang spontan dan menggelikan hati itu sememangnya mampu membuat penonton tidak kering gusi. Menariknya, lawak jenaka mereka tidak lapuk dek zaman. Untuk filem ini, Maria Farida berlakon sebagai seorang gadis moden, Marsha pula sebagai gadis tomboy yang bercakap loghat Sabah manakala Nik Sayiddah Fatiha atau lebih dikenali sebagai Mek pula bercakap dalam loghat Kelantan campur Thailand. Walaubagaimanapun, lakonan Mek lebih menyerlah jika dibandingkan dengan Maria dan Marsha. Sememangnya terkenal dengan penggunaan loghat Kelantan yang digunakan melalui drama yang pernah dilakonkannya, lakonan Mek nampak spontan, asli dan kelakar. Manakala Maria Farida pula kelihatan agak kaku memandangkan ini adalah filem pertamanya selepas 14 tahun melalui "Bisikan Cinta". Walaupun aktif dengan drama bersiri dan dianggap 'veteran' di kalangan barisan pelakon kerana pengalamannya, malangnya Maria gagal menjiwai wataknya dengan baik sekali. Lakonan Marsha pula dianggap biasa. Sayangnya kerana Marsha sebenarnya mampu melakonkan wataknya dengan lebih baik lagi.

Pengarah Ahmad Idham cuba untuk memperlihatkan keindahan Pulau Pangkor kepada penonton dan ternyata dia berjaya melakukannya. Jalan cerita yang ringkas dan mudah difahami akan membuatkan penonton lebih terhibur dengan lawak jenaka Senario dan pelakon lain.

Mungkin ada di kalangan pembaca menganggap lawak jenaka yang ditonjolkan oleh Senario agak bodoh. Namun anda tidak boleh menafikannya ia mampu membuatkan anda ketawa melihat telatah mereka. Jadi kepada mereka yang sentiasa stress dengan kerja atau apa sahaja masalah, mungkin "Senario The Movie Episode 2: Beach Boys" adalah sebuah filem yang sesuai kepada anda?

2.5 BINTANG


"Senario The Movie Episode 2: Beach Boys" akan berada di pawagam pada 19 November 2009.

Ulasan "2012"

By : TUPAI

Jadi adakah begini keadaannya apabila dunia akan musnah? Jika ya, bersiap-sedialah semua kerana tiada jalan keluar untuk anda. Sekali lagi, Roland Emmerich menarik perhatian dunia dengan karya terbarunya, "2012" yang sekali gus menjadikan ia sebuah filem terbaik pernah diarahkan oleh Emmerich semenjak "Independence Day" (1996). Menurut ramalan kalendar Mayan, dunia akan musnah pada 21 Disember 2012 di mana bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami akan berlaku. Tamadun atau peradaban manusia akan hilang begitu sahaja. Segala kemajuan yang kita cipta akan hancur musnah seperti habuk sahaja. Bayangkan jika semua itu berlaku?

"2012" mengisahkan bagaimana manusia berusaha dan sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk menyelamatkan diri mereka dan orang tersayang. Filem ini memfokuskan seorang saintis Adrian Helmsley (Chiwetel Ejiofor) yang mencuba mencari jalan untuk menyelamatkan semua manusia dan hidupan lain di muka bumi ini daripada kemusnahan yang bakal berlaku. Manakala penulis Jackson Curtis (John Cusack) pula cuba untuk menyelamatkan ahli keluarganya apabila mengetahui dunia akan musnah dalam waktu yang cukup singkat. Beberapa kapal telah dibina oleh kerajaan untuk membawa mereka yang 'terpilih' ke tempat yang selamat.

Pelbagai perasaan yang tidak boleh digambarkan akan anda alami ketika menonton filem yang memfokuskan kemusnahan dunia ini. Lebih-lebih lagi jika kita tahu tiada apa yang mampu menyelamatkan kita dan orang tersayang. Agak menyakitkan hati apabila mereka yang 'terpilih' untuk diselamatkan adalah mereka yang mempunyai wang banyak dan mampu membayarnya. Betapa pentingnya diri seseorang manusia walaupun di kala dilanda masalah. Di sini kita dapat saksikan walaupun dunia hampir musnah, aktiviti merasuah masih lagi boleh dibuat. Tidak sangka bahawa kerajaan boleh memilih siapa yang layak untuk hidup dan siapa yang tidak.

Nampaknya kesemua barisan pelakon yang terlibat dengan filem ini berjaya memainkan watak mereka dengan baik terutama sekali kepada Chiwetel Ejiofor. Dia berjaya menjiwai wataknya terutama sekali ketika dia membantah ketuanya, Carl Anheuser (Oliver Platt) yang bertindak membuat keputusan untuk membiarkan kapal yang sepatutnya menyelamatkan manusia berlepas. Apa yang diperkatakannya mengenai tiada gunanya menyelamatkan peradaban dan populasi manusia jika kita sendiri bertindak memilih dan meninggalkan mereka yang 'tidak patut diselamatkan' dan tidak bekerjasama membuatkan kita terfikir ada benar kata-katanya itu. Selain daripada Ejiofor, pujian harus diberikan kepada John Cusack kerana dia berjaya bermain dengan emosinya sebagai seorang ayah yang cuba menyelamatkan kedua-dua anaknya dan juga bekas isterinya. Di sini kita dapat saksikan kesungguhannya bagi memastikan ahli keluarganya selamat walaupun itu bermakna mempertaruhkan nyawanya sendiri.

Penggunaan teknik penjanaan imej berkomputer (CGI) berkesan dan nampak benar. Penonton dapat lihat bagaimana kemusnahan berlaku melalui bangunan-bangunan yang runtuh, tsunami besar dan gempa bumi melanda. Anda pasti kagum dengan visual yang anda saksikan kerana ia membuatkan anda berfikir adakah begini keadaannya apabila ia berlaku? Walaubagaimanapun, visual gereja St. Peter ketika runtuh nampak seperti dibuat-buat. Selain daripada itu, penonton akan berasa puas hati dengan efek yang ditonjolkan.

Sepanjang menonton filem "2012", pasti terdetik di fikiran atau hati anda mengenai segala perbuatan atau apa sahaja yang anda lakukan sepanjang anda hidup di dunia ini. Tidak keterlaluan dikatakan, anda mungkin akan insaf apabila melihat pelbagai kemungkinan yang akan berlaku satu hari nanti. Walaupun kita tidak tahu apa yang disaksikan melalui "2012" adalah apa yang akan berlaku apabila dunia kiamat, namun kita harus tahu bahawa tiada apa yang mampu diselamatkan jika sudah tiba masanya kita bertemu dengan Pencipta kita. Malah kita tidak tahu sama ada ramalan kalendar Orang Mayan itu benar atau tidak. Apa yang pasti, semua yang berlaku dan akan berlaku sudah ditakdirkan oleh Yang Maha Kuasa. Oleh itu, semoga anda terhibur menonton filem yang berdurasi selama 2 jam 40 minit ini walaupun penamatnya tidak akan begitu menarik perhatian anda.

4 BINTANG



"2012" akan ditayangkan di pawagam pada 12 November 2009.

Wanita Pisau Cukur No. 1

By : TUPAI

9 Nov – "Pisau Cukur" mengejutkan banyak pihak apabila ia berjaya mengatasi filem "Michael Jackson's This Is It" di carta pecah panggung pada hari minggu lepas (5 – 8 November 2009) dengan sebanyak 43 cetakan jika dibandingkan dengan "Michael Jackson" iaitu 50. Menurut laporan daripada produksi Red Films, "Pisau Cukur" berjaya mengutip dalam anggaran melebihi RM1 juta.


Dua tunjang utama "Pisau Cukur", Maya Karin (kiri) dan Nur Fazura

Teruja dengan berita gembira tersebut, pengarah Bernard Chauly memberitahu: "Ya, beat it, beat it! Watch it, watch it! Sudah pasti saya terkejut dan gembira. Saya benar-benar hargai mereka yang sanggup pergi menonton filem saya pada hari minggu lalu. Saya juga berharap semua daripada latar belakang dan peringkat umur yang berbeza akan pergi menonton "Pisau Cukur" kerana ia adalah sebuah filem khas untuk rakyat Malaysia berhibur!"

Filem "Michael Jackson's This Is It" hanya mampu berada di tempat pertama sekali sahaja iaitu pada minggu pertama tayangannya. Tempat ketiga diduduki oleh "Poker King", diikuti pula dengan filem seram Thailand, "Phobia 2" dan juga filem lakonan pelakon seksi Megan Fox, "Jennifer's Body".

Filem arahan Bernard Chauly dan dilakonkan oleh dua pelakon wanita popular, Maya Karin dan Nur Fazura baru sahaja ditayangkan di pawagam 5 November lalu. Promosi filem ini telah rancak dibuat melalui laman web komuniti Facebook dan juga sesi bertemu peminat telah diadakan di beberapa lokasi termasuk Kuantan dan Kuala Lumpur pada hari minggu lepas.

"Pisau Cukur" kini sedang 'panas' ditayangkan di pawagam!

Sekuel MOMOK

By : TUPAI

 Visual awal sekuel "Momok"

Kejayaan "Momok The Movie" yang ditayangkan di pawagam pada Raya Aidilfitri lalu mengejutkan banyak pihak namun perancangan untuk menerbitkan sekuel filem tersebut sudah pun rancak dijalankan.

Menurut pengarah M.Jamil, anggaran jumlah yang berjaya dikutip untuk "Momok The Movie" adalah antara RM2.1 juta ke 2.5 juta sebelum mendapat pengesahan daripada FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia).

Maklumat yang terdapat di blog filem tersebut (
www.momokthemovie.blogspot.com) memberitahu pelakon Ebby Yus, Velvet AF3, Julia Ziegler dan Zahida Rafiq dalam perancangan untuk diambil berlakon di dalam sekuel yang dijangka akan ditayangkan pada tahun 2010.

Rancak menghebahkan sesi uji bakat secara online, pengarah juga meminta pelakon, bakat-bakat baru dan mereka yang berminat menghantar maklumat diri kepadanya melalui email untuk pertimbangan.

Farid Kamil adalah Awang!

By : TUPAI
Wawancara diadakan pada 7 Oktober 2009 di Cathay Cineplexes Damansara, e@curve.


Farid Kamil puas hati dengan Awang
Penantian mereka yang terlibat dalam pembikinan "Lembing Awang Pulang Ke Dayang" berakhir apabila filem ini akan ditayangkan kepada orang ramai pada 22 Oktober 2009. Pelbagai masalah dihadapi namun dengan berkat kesabaran semua pihak, segala masalah dihadapi dan berjaya diselesaikan. Farid Kamil meneraju sebagai watak utama dalam filem epik ini sebagai Awang. Ikuti wawancara TUPAI bersama pelakon lelaki popular ini.


Ketika memainkan watak Awang ini, anda masih lagi baru dalam bidang lakonan. Kini selepas empat tahun, adakah anda berpuas hati dengan lakonan anda?
Terus terang saya katakan, saya berpuas hati dengan lakonan saya ketika itu. "Lembing Awang Pulang Ke Dayang" merupakan filem kedua saya selepas saya berlakon dalam "Tujuh Perhentian" (2004), sebuah filem daripada Profesor Madya A. Razak Mohaideen. Saya melakonkan watak Awang ketika dua tempoh yang berbeza iaitu pada umur 22 tahun dan juga 25 tahun. Saya masih lagi belajar dalam memperbaiki skil lakonan saya.


Kenapa bersetuju memegang watak Awang?
Saya suka kepada naratif penceritaan dan genre filem ini iaitu epik. Saya merasakan ia satu percubaan yang baik untuk saya menerima watak Awang kerana jarang sekali filem sebegini dibuat. Selain daripada itu, ia memberikan saya pengalaman yang berbeza dalam melakonkan kepelbagaian watak.


Apa cabaran melakonkan watak Awang?
Sebenarnya senang sahaja. Namun apabila berlakunya pertukaran heroin, ia membuatkan saya agak sukar kerana saya harus berusaha mendekatinya. Daripada Fasha Sandha ke Natasha Hudson dan akhir sekali Siti Elizad. Pertukaran tersebut memerlukan proses yang berulang kali dan ia agak menyukarkan. Bagi menjiwai watak Awang, saya banyak melakukan kajian dan berkomunikasi dengan waris Awang.

Adakah anda rasa skil lakonan anda sudah semakin bagus? Ada sebarang kemajuan?
Sudah tujuh tahun saya berada di dalam industri lakonan. Bagi saya, berlakon adalah satu seni. Bagaimana anda membuat 'seni' anda sendiri. Sepanjang tempoh ini, ia banyak mematangkan saya daripada segi lakonan. Saya boleh lihat perbezaan skil lakonan saya daripada dulu hingga sekarang. Boleh nampak perubahan ketara daripada segi pendekatan, pergerakan, perasaan, postur badan dan gestur. Bagi saya pada ketika itu, lakonan Awang cukup bagus.


Sudah banyak watak yang anda pegang sepanjang berada dalam industri ini. Watak bagaimana yang anda selesa memainkannya?
Saya selesa dengan semua watak yang saya bawa kecuali ketika dalam "Tujuh Perhentian". Saya tidak mendapatkan kepuasan maksimum melakonkannya. Namun saya rasa puas ketika memegang watak yang melakukan aksi seperti dalam filem ini dan juga "Anak Halal" (2007).

Barisan pelakon "Lembing Awang Pulang Ke Dayang" bersama pengarah Majed Salleh (duduk)
Apa status filem arahan anda "Rempit V3"?
Filem ini masih lagi dalam pemantauan Lembaga Penapisan Filem. Banyak adegan lumba haram yang dipotong. Secara tidak langsung, ia mengganggu perjalanan filem ini. "Rempit V3" masih lagi belum dapat kelulusan sepenuhnya. Walaupun susah untuk saya menerima pemotongan babak itu tapi terpaksalah daripada filem saya diharamkan terus.

Ada sebarang projek terbaru?
Untuk drama, saya terlibat dalam "Mertua Vs. Menantu" dan "Cinta Setikar Sejadah". Manakala sebuah filem daripada Osman Ali yang bertajuk "Lencun". Saya juga ada perancangan untuk mengarah sebuah filem romantik komedi yang bertajuk "Counting On Love... 3,2,1 Cinta". Namun ia masih dalam perbincangan.


PISAU CUKUR: Panas!!

By : TUPAI
 

Banyak pujian diberikan di atas usaha Bernard Chauly menghasilkan "Pisau Cukur" selepas tayangan gala filem tersebut diadakan di Cathay Cineplexes Damansara, e@curve baru-baru ini. Cubaan pertama Bernard dalam menghasilkan filem komedi ternyata mendapat tepukan dan reaksi positif daripada pihak media serta mereka yang berpeluang menonton filem tersebut. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan "Pisau Cukur" menunjukkan filem Malaysia semakin bagus dan berkualiti.

Bercakap ketika sidang media yang diadakan di Platinum Movie Suites, Bernard mengaku bukan mudah untuk menghasilkan filem ini. "Saya elak menonton banyak filem kerana tidak mahu "Pisau Cukur" terikut pelbagai style daripada filem lain. Penting untuk saya menghasilkan sebuah filem komedi yang segar. Itulah cabaran yang perlu saya hadapi. Jadi harap-harap "Pisau Cukur" adalah sebuah filem yang unik tetapi universal dan sesuai ditonton oleh semua khalayak. Itu yang penting."


"Pisau Cukur" dibarisi pelakon berbakat dan mempunyai nama besar dalam bidang lakonan. Diterajui oleh dua pelakon wanita yang pernah memenangi anugerah di Festival Filem Malaysia, Maya Karin dan Nur Fazura, filem ini mengisahkan Bella (Maya) dan Intan (Fazura) pergi bercuti di sebuah kapal peranginan. Ketika percutian tersebut, Bella berusaha mencari suami kaya manakala Intan menyiasat kes pembunuhan seorang Datuk yang dikenalinya. Filem ini turut dilakonkan oleh Aaron Aziz, Liyana Jasmay, Umie Aida, Sharifah Sofea dan juga penampilan pertama daripada Shahredza Minhat.


Promosi "Estet" bermula!

By : TUPAI

Promosi filem arahan Mamat Khalid, "Estet" sudah bermula dengan pelancaran dua muzik video dan juga buku utk filem "Estet" yang diadakan baru-baru ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Muzik video tersebut dihasilkan daripada dua buah lagu tema filem iaitu "Ayuh Kawan" dan "Cahaya Kemenangan" yang mendapat sentuhan kolaborasi pengarah filem sendiri bersama seorang komposer muzik aliran Tamil yang cukup disegani, R. Lawrence. "Ayuh Kawan" menyaksikan paduan suara penyanyi rock terkenal, Awie bersama Siva. Manakala "Cahaya Kemenangan" dinyanyikan oleh Razif Rashid dan Suganya. Gerak tari di dalam muzik video ini telah dikoreografikan oleh Ruben Nair, seorang koreografer dan juga penyelaras aksi lasak dalam "Estet". Kedua-dua muzik video turut diarahkan oleh Mamat Khalid bertempat di Pusat Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM), Sungai Buloh, Selangor.

Selain daripada dua muzik video tersebut, sebuah buku untuk filem "Estet" telah dihasilkan bagi memberi informasi kepada peminat serta orang ramai bagaimana sesebuah filem dihasilkan. Buku yang diterbitkan oleh Matahari Publication, yang turut akan menerbitkan buku untuk filem "Pisau Cukur" akan berada di pasaran bermula akhir Oktober dan boleh didapati di mana-mana kedai buku terkemuka.

"Estet" mengisahkan kehidupan di Estet Cinta Manis yang terkenal dengan keharmonian masyarakatnya tetapi tiba-tiba digemparkan dengan berita mengenai perlawanan bola sepak yang akan diadakan bersama Estet Red Cobra. "Estet" juga bakal dipentaskan di Istana Budaya pada pertengahan tahun 2010.

Festival Filem Latin Amerika ke-8

By : TUPAI

 Babak dari filem "Cronicas"

Festival Filem Latin Amerika (LAFF) ke-8 akan bermula pada 22 Oktober sehingga 25 Oktober 2009! Saksikan filem-filem Latin Amerika terbaik di GSC Mid Valley, GSC Pavilion KL dan GSC 1 Utama.

Untuk memenangi tiket percuma, layari laman web www.CINEMA.com.my


Khir Rahman jadi pengarah filem kontroversi "... Dalam Botol"

By : TUPAI

Akhirnya terjawab sudah persoalan orang ramai siapakah gerangan yang akan dipertanggungjawabkan untuk mengarah "... Dalam Botol". Khir Rahman! Pelakon dan penggiat teater ini telah dipilih oleh Raja Azmi Raja Sulaiman untuk mengarah filem kontroversi terbitannya.

Menurut Raja Azmi yang dipetik daripada sebuah akhbar, pada mulanya dia memang ingin mendapatkan khidmat pengarah Osman Ali selepas pengarah Shadan Kasim menarik diri. Namun Osman Ali terikat dengan komitmen lain.

Walaupun Khir Rahman dikatakan tidak mempunyai sebarang pengalaman, rupa-rupanya Khir atau nama sebenarnya Khairulizam Bin Abdul Rahman pernah mengarah beberapa buah filem pendek.

"Saya gunakan pengalaman saya ketika belajar dan berlakon untuk menjadi seorang pengarah. Ada juga saya rancang untuk aktif dalam kerja-kerja pengarahan pada tahun hadapan tetapi siapa sangka rezeki tu datang awal," kata Khir Rahman yang bersyukur dengan peluang diberikan kepadanya.

Walaubagaimanapun pengarah berpengalaman, U-Wei dan juga Shadan Kasim akan turut membantu Khir ketika penggambaran dan juga bertindak selaku penasihat filem.

Filem kontroversi ini mengisahkan kehidupan masyarakat gay. Malah "... Dalam Botol" pernah mendapat bantahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan dikritik hebat oleh pihak tertentu.

"Tak dinafikan saya rasa gemuruh untuk membuat filem sebegini. Saya perlu lihat bagaimana ingin tangani naskah begini. Ada yang berkata, jika kita bukan daripada kelompok gay, bagaimana kita nak memahami filem begini? Walaubagaimanan saya rasa ia bukanlah satu masalah yang besar jika kita membuat kajian mengenainya dengan bergaul dengan kelompok mereka. Saya juga gentar dengan penerimaan orang ramai kerana kadang-kala agak sukar untuk kita menerangkan kepada masyarakat untuk membezakan kehidupan sebenar seseorang dengan karya yang dihasilkan. Saya percaya filem adalah filem. Jadi diharapkan orang ramai tidak menuduh filem akan memusnahkan masyarakat kita," tambah Khir lagi.

"... Dalam Botol" yang dihasilkan berdasarkan kisah benar pasangan yang mencintai kaum sejenis akan dilakonkan oleh dua pendatang baru iaitu Arja Lee dan Wan Raja yang akan memegang watak utama sebagai Ruby dan Ghaus hasil daripada undian ramai melalui satu peraduan.

Penantian empat tahun berakhir jua!

By : TUPAI





Penayangan filem epik terkenal tanah air, "Lembing Awang Pulang Ke Dayang" kepada umum pada 22 Oktober ini menyaksikan berakhirnya penantian selama empat tahun. Selepas menghadapi pelbagai masalah dalam produksi, nampaknya semua krew serta mereka yang terlibat dengan pembikinan filem ini kini boleh menarik nafas lega.

Menurut penerbit N.Azman ketika bercakap di sidang media selepas tayangan di Cineleisure Damansara baru-baru ini, selepas berulang kali penggambaran dihentikan dan masalah mencari pelakon untuk memegang watak Dayang, dia tetap yakin dan berharap filem ini akan menjadi sambutan ramai apabila ia ditayangkan di pawagam nanti.

"Banyak masalah dihadapi ketika pembikinan filem ini seperti pengarah dan pelakon yang memegang watak Dayang kerap kali bertukar, namun ia tidak mematahkan semangat kami untuk menerbitkan filem ini.

Pada mulanya, watak Dayang ditawarkan kepada pelakon Fasha Sandha. Kemudian, bertukar kepada Maya Karin dan Natasha Hudson. Namun akhirnya watak Dayang diberikan kepada pelakon berusia 25 tahun iaitu Siti Elizad.


Walaupun banyak cabaran yang perlu dihadapi, N.Azman tetap menganggap filem hikayat seperti ini perlu difilemkan kerana ia penting bagi generasi akan datang mengenali warisan tanah air.

"Saya juga harap dengan penerbitan filem ini, ia akan membuka peluang kepada penerbit dan pembikin filem lain untuk membuat filem sebegini kerana terdapat banyak kisah hikayat kita yang menarik," tambah N.Azman lagi.

Bagi pengarah Majed Salleh, hampir 90% adegan yang perlu dibuat semula ketika dia mengambil alih daripada pengarah terdahulu kerana banyak perubahan dari segi watak, krew dan lain-lain.

"Oleh kerana kami membuat penggambaran semula, kami membuat keputusan untuk mengolah semula dari segi penambahan dialog, adegan dan juga penceritaan.

"Ada juga kami guna syot daripada penggambaran sebelum ini tetapi ia tidak mencukupi," kata Majed Salleh.

Filem yang menelan kos perbelanjaan RM1.6 juta ini diilhamkan oleh novel tulisan sasterawan Allahyarham Cikgu Shahrom Husain yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1957. Ia mengisahkan sebuah lagenda dari Johor mengenai satu tragedi cinta berdarah melibatkan sepasang lembing sakti. "Lembing Awang Pulang Ke Dayang" dibarisi oleh pelakon muda dan veteran seperti Farid Kamil, Siti Elizad, Zulhuzaimy, M.Rajoli, Kuswadinata, Uji Rashid dan ramai lagi. Filem ini akan ditayangkan di 30 buah pawagam di seluruh negara.



"Lembing Awang Pulang Ke Dayang" akan ditayangkan di pawagam pada 22 Oktober 2009!

- Copyright © Tupai - Ada Hiburan, Ada Stail! -