Trailer PISAU CUKUR

Posted by TUPAI



Jangan lupa tengok "Pisau Cukur" pada 5 November 2009 tau!


Farid Kamil adalah Awang!

Posted by TUPAI

Wawancara diadakan pada 7 Oktober 2009 di Cathay Cineplexes Damansara, e@curve.


Farid Kamil puas hati dengan Awang
Penantian mereka yang terlibat dalam pembikinan "Lembing Awang Pulang Ke Dayang" berakhir apabila filem ini akan ditayangkan kepada orang ramai pada 22 Oktober 2009. Pelbagai masalah dihadapi namun dengan berkat kesabaran semua pihak, segala masalah dihadapi dan berjaya diselesaikan. Farid Kamil meneraju sebagai watak utama dalam filem epik ini sebagai Awang. Ikuti wawancara TUPAI bersama pelakon lelaki popular ini.


Ketika memainkan watak Awang ini, anda masih lagi baru dalam bidang lakonan. Kini selepas empat tahun, adakah anda berpuas hati dengan lakonan anda?
Terus terang saya katakan, saya berpuas hati dengan lakonan saya ketika itu. "Lembing Awang Pulang Ke Dayang" merupakan filem kedua saya selepas saya berlakon dalam "Tujuh Perhentian" (2004), sebuah filem daripada Profesor Madya A. Razak Mohaideen. Saya melakonkan watak Awang ketika dua tempoh yang berbeza iaitu pada umur 22 tahun dan juga 25 tahun. Saya masih lagi belajar dalam memperbaiki skil lakonan saya.


Kenapa bersetuju memegang watak Awang?
Saya suka kepada naratif penceritaan dan genre filem ini iaitu epik. Saya merasakan ia satu percubaan yang baik untuk saya menerima watak Awang kerana jarang sekali filem sebegini dibuat. Selain daripada itu, ia memberikan saya pengalaman yang berbeza dalam melakonkan kepelbagaian watak.


Apa cabaran melakonkan watak Awang?
Sebenarnya senang sahaja. Namun apabila berlakunya pertukaran heroin, ia membuatkan saya agak sukar kerana saya harus berusaha mendekatinya. Daripada Fasha Sandha ke Natasha Hudson dan akhir sekali Siti Elizad. Pertukaran tersebut memerlukan proses yang berulang kali dan ia agak menyukarkan. Bagi menjiwai watak Awang, saya banyak melakukan kajian dan berkomunikasi dengan waris Awang.

Adakah anda rasa skil lakonan anda sudah semakin bagus? Ada sebarang kemajuan?
Sudah tujuh tahun saya berada di dalam industri lakonan. Bagi saya, berlakon adalah satu seni. Bagaimana anda membuat 'seni' anda sendiri. Sepanjang tempoh ini, ia banyak mematangkan saya daripada segi lakonan. Saya boleh lihat perbezaan skil lakonan saya daripada dulu hingga sekarang. Boleh nampak perubahan ketara daripada segi pendekatan, pergerakan, perasaan, postur badan dan gestur. Bagi saya pada ketika itu, lakonan Awang cukup bagus.


Sudah banyak watak yang anda pegang sepanjang berada dalam industri ini. Watak bagaimana yang anda selesa memainkannya?
Saya selesa dengan semua watak yang saya bawa kecuali ketika dalam "Tujuh Perhentian". Saya tidak mendapatkan kepuasan maksimum melakonkannya. Namun saya rasa puas ketika memegang watak yang melakukan aksi seperti dalam filem ini dan juga "Anak Halal" (2007).

Barisan pelakon "Lembing Awang Pulang Ke Dayang" bersama pengarah Majed Salleh (duduk)
Apa status filem arahan anda "Rempit V3"?
Filem ini masih lagi dalam pemantauan Lembaga Penapisan Filem. Banyak adegan lumba haram yang dipotong. Secara tidak langsung, ia mengganggu perjalanan filem ini. "Rempit V3" masih lagi belum dapat kelulusan sepenuhnya. Walaupun susah untuk saya menerima pemotongan babak itu tapi terpaksalah daripada filem saya diharamkan terus.

Ada sebarang projek terbaru?
Untuk drama, saya terlibat dalam "Mertua Vs. Menantu" dan "Cinta Setikar Sejadah". Manakala sebuah filem daripada Osman Ali yang bertajuk "Lencun". Saya juga ada perancangan untuk mengarah sebuah filem romantik komedi yang bertajuk "Counting On Love... 3,2,1 Cinta". Namun ia masih dalam perbincangan.


Tayangan Gala PISAU CUKUR

Posted by TUPAI


PISAU CUKUR: Panas!!

Posted by TUPAI

 

Banyak pujian diberikan di atas usaha Bernard Chauly menghasilkan "Pisau Cukur" selepas tayangan gala filem tersebut diadakan di Cathay Cineplexes Damansara, e@curve baru-baru ini. Cubaan pertama Bernard dalam menghasilkan filem komedi ternyata mendapat tepukan dan reaksi positif daripada pihak media serta mereka yang berpeluang menonton filem tersebut. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan "Pisau Cukur" menunjukkan filem Malaysia semakin bagus dan berkualiti.

Bercakap ketika sidang media yang diadakan di Platinum Movie Suites, Bernard mengaku bukan mudah untuk menghasilkan filem ini. "Saya elak menonton banyak filem kerana tidak mahu "Pisau Cukur" terikut pelbagai style daripada filem lain. Penting untuk saya menghasilkan sebuah filem komedi yang segar. Itulah cabaran yang perlu saya hadapi. Jadi harap-harap "Pisau Cukur" adalah sebuah filem yang unik tetapi universal dan sesuai ditonton oleh semua khalayak. Itu yang penting."



"Pisau Cukur" dibarisi pelakon berbakat dan mempunyai nama besar dalam bidang lakonan. Diterajui oleh dua pelakon wanita yang pernah memenangi anugerah di Festival Filem Malaysia, Maya Karin dan Nur Fazura, filem ini mengisahkan Bella (Maya) dan Intan (Fazura) pergi bercuti di sebuah kapal peranginan. Ketika percutian tersebut, Bella berusaha mencari suami kaya manakala Intan menyiasat kes pembunuhan seorang Datuk yang dikenalinya. Filem ini turut dilakonkan oleh Aaron Aziz, Liyana Jasmay, Umie Aida, Sharifah Sofea dan juga penampilan pertama daripada Shahredza Minhat.


Promosi "Estet" bermula!

Posted by TUPAI


Promosi filem arahan Mamat Khalid, "Estet" sudah bermula dengan pelancaran dua muzik video dan juga buku utk filem "Estet" yang diadakan baru-baru ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Muzik video tersebut dihasilkan daripada dua buah lagu tema filem iaitu "Ayuh Kawan" dan "Cahaya Kemenangan" yang mendapat sentuhan kolaborasi pengarah filem sendiri bersama seorang komposer muzik aliran Tamil yang cukup disegani, R. Lawrence. "Ayuh Kawan" menyaksikan paduan suara penyanyi rock terkenal, Awie bersama Siva. Manakala "Cahaya Kemenangan" dinyanyikan oleh Razif Rashid dan Suganya. Gerak tari di dalam muzik video ini telah dikoreografikan oleh Ruben Nair, seorang koreografer dan juga penyelaras aksi lasak dalam "Estet". Kedua-dua muzik video turut diarahkan oleh Mamat Khalid bertempat di Pusat Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM), Sungai Buloh, Selangor.

Selain daripada dua muzik video tersebut, sebuah buku untuk filem "Estet" telah dihasilkan bagi memberi informasi kepada peminat serta orang ramai bagaimana sesebuah filem dihasilkan. Buku yang diterbitkan oleh Matahari Publication, yang turut akan menerbitkan buku untuk filem "Pisau Cukur" akan berada di pasaran bermula akhir Oktober dan boleh didapati di mana-mana kedai buku terkemuka.

"Estet" mengisahkan kehidupan di Estet Cinta Manis yang terkenal dengan keharmonian masyarakatnya tetapi tiba-tiba digemparkan dengan berita mengenai perlawanan bola sepak yang akan diadakan bersama Estet Red Cobra. "Estet" juga bakal dipentaskan di Istana Budaya pada pertengahan tahun 2010.

Festival Filem Latin Amerika ke-8

Posted by TUPAI


 Babak dari filem "Cronicas"

Festival Filem Latin Amerika (LAFF) ke-8 akan bermula pada 22 Oktober sehingga 25 Oktober 2009! Saksikan filem-filem Latin Amerika terbaik di GSC Mid Valley, GSC Pavilion KL dan GSC 1 Utama.

Untuk memenangi tiket percuma, layari laman web www.CINEMA.com.my


Khir Rahman jadi pengarah filem kontroversi "... Dalam Botol"

Posted by TUPAI


Akhirnya terjawab sudah persoalan orang ramai siapakah gerangan yang akan dipertanggungjawabkan untuk mengarah "... Dalam Botol". Khir Rahman! Pelakon dan penggiat teater ini telah dipilih oleh Raja Azmi Raja Sulaiman untuk mengarah filem kontroversi terbitannya.

Menurut Raja Azmi yang dipetik daripada sebuah akhbar, pada mulanya dia memang ingin mendapatkan khidmat pengarah Osman Ali selepas pengarah Shadan Kasim menarik diri. Namun Osman Ali terikat dengan komitmen lain.

Walaupun Khir Rahman dikatakan tidak mempunyai sebarang pengalaman, rupa-rupanya Khir atau nama sebenarnya Khairulizam Bin Abdul Rahman pernah mengarah beberapa buah filem pendek.

"Saya gunakan pengalaman saya ketika belajar dan berlakon untuk menjadi seorang pengarah. Ada juga saya rancang untuk aktif dalam kerja-kerja pengarahan pada tahun hadapan tetapi siapa sangka rezeki tu datang awal," kata Khir Rahman yang bersyukur dengan peluang diberikan kepadanya.

Walaubagaimanapun pengarah berpengalaman, U-Wei dan juga Shadan Kasim akan turut membantu Khir ketika penggambaran dan juga bertindak selaku penasihat filem.

Filem kontroversi ini mengisahkan kehidupan masyarakat gay. Malah "... Dalam Botol" pernah mendapat bantahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan dikritik hebat oleh pihak tertentu.

"Tak dinafikan saya rasa gemuruh untuk membuat filem sebegini. Saya perlu lihat bagaimana ingin tangani naskah begini. Ada yang berkata, jika kita bukan daripada kelompok gay, bagaimana kita nak memahami filem begini? Walaubagaimanan saya rasa ia bukanlah satu masalah yang besar jika kita membuat kajian mengenainya dengan bergaul dengan kelompok mereka. Saya juga gentar dengan penerimaan orang ramai kerana kadang-kala agak sukar untuk kita menerangkan kepada masyarakat untuk membezakan kehidupan sebenar seseorang dengan karya yang dihasilkan. Saya percaya filem adalah filem. Jadi diharapkan orang ramai tidak menuduh filem akan memusnahkan masyarakat kita," tambah Khir lagi.

"... Dalam Botol" yang dihasilkan berdasarkan kisah benar pasangan yang mencintai kaum sejenis akan dilakonkan oleh dua pendatang baru iaitu Arja Lee dan Wan Raja yang akan memegang watak utama sebagai Ruby dan Ghaus hasil daripada undian ramai melalui satu peraduan.

Penantian empat tahun berakhir jua!

Posted by TUPAI






Penayangan filem epik terkenal tanah air, "Lembing Awang Pulang Ke Dayang" kepada umum pada 22 Oktober ini menyaksikan berakhirnya penantian selama empat tahun. Selepas menghadapi pelbagai masalah dalam produksi, nampaknya semua krew serta mereka yang terlibat dengan pembikinan filem ini kini boleh menarik nafas lega.

Menurut penerbit N.Azman ketika bercakap di sidang media selepas tayangan di Cineleisure Damansara baru-baru ini, selepas berulang kali penggambaran dihentikan dan masalah mencari pelakon untuk memegang watak Dayang, dia tetap yakin dan berharap filem ini akan menjadi sambutan ramai apabila ia ditayangkan di pawagam nanti.

"Banyak masalah dihadapi ketika pembikinan filem ini seperti pengarah dan pelakon yang memegang watak Dayang kerap kali bertukar, namun ia tidak mematahkan semangat kami untuk menerbitkan filem ini.

Pada mulanya, watak Dayang ditawarkan kepada pelakon Fasha Sandha. Kemudian, bertukar kepada Maya Karin dan Natasha Hudson. Namun akhirnya watak Dayang diberikan kepada pelakon berusia 25 tahun iaitu Siti Elizad.


Walaupun banyak cabaran yang perlu dihadapi, N.Azman tetap menganggap filem hikayat seperti ini perlu difilemkan kerana ia penting bagi generasi akan datang mengenali warisan tanah air.

"Saya juga harap dengan penerbitan filem ini, ia akan membuka peluang kepada penerbit dan pembikin filem lain untuk membuat filem sebegini kerana terdapat banyak kisah hikayat kita yang menarik," tambah N.Azman lagi.

Bagi pengarah Majed Salleh, hampir 90% adegan yang perlu dibuat semula ketika dia mengambil alih daripada pengarah terdahulu kerana banyak perubahan dari segi watak, krew dan lain-lain.

"Oleh kerana kami membuat penggambaran semula, kami membuat keputusan untuk mengolah semula dari segi penambahan dialog, adegan dan juga penceritaan.

"Ada juga kami guna syot daripada penggambaran sebelum ini tetapi ia tidak mencukupi," kata Majed Salleh.

Filem yang menelan kos perbelanjaan RM1.6 juta ini diilhamkan oleh novel tulisan sasterawan Allahyarham Cikgu Shahrom Husain yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1957. Ia mengisahkan sebuah lagenda dari Johor mengenai satu tragedi cinta berdarah melibatkan sepasang lembing sakti. "Lembing Awang Pulang Ke Dayang" dibarisi oleh pelakon muda dan veteran seperti Farid Kamil, Siti Elizad, Zulhuzaimy, M.Rajoli, Kuswadinata, Uji Rashid dan ramai lagi. Filem ini akan ditayangkan di 30 buah pawagam di seluruh negara.



"Lembing Awang Pulang Ke Dayang" akan ditayangkan di pawagam pada 22 Oktober 2009!

Afdlin Shauki adalah Papa-Dom!

Posted by TUPAI


Wawancara diadakan pada 8 Ogos 2009 ketika Festival Filem Malaysia(FFM) ke-22 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah.

Tahniah atas kemenangan anugerah Filem Terbaik untuk "Papadom"! Bagaimanakah anda mendapat idea untuk menghasilkan jalan cerita mengisahkan bapa dan anak perempuannya?
Terima kasih. Sebenarnya ia bermula apabila saya sendiri bertanyakan soalan tersebut kepada diri saya sendiri ketika pergi bercuti bersama keluarga – Apa yang akan berlaku jika isteri saya sudah tiada lagi? Apa yang akan saya lakukan? Bolehkah saya menjaga anak-anak saya sendirian? Ini bukan bermakna saya akan membiarkan mereka menjaga diri sendiri. Sekarang ini, ramai bapa-bapa tidak boleh berhadapan dengan soalan sebegini kerana isteri mereka masih berada di sisi mereka. Jadi, bagaimana jika isteri saya tiada? Apa yang akan berlaku? Keputusan apa yang perlu saya buat? Adakah saya akan menghantar mereka ke sekolah berasrama atau saya akan menjadi bapa yang akan menghabiskan masa dengan anak-anak? Asas kepada jalan ceritanya adalah apakah yang akan dilakukan oleh seorang bapa sekiranya berhadapan dengan soalan begini.

Apakah yang anda tambah untuk membuatkan filem ini lebih menarik?
Untuk membuatkan ia lebih 'umph', karakter utama Saadom (Afdlin) membuat keputusan yang agak gila, di mana dia melepaskan segala-galanya termasuklah restoran Nasi Kandar miliknya yang cukup berjaya di Pulau Pinang dan mendedikasikan masanya dengan menjaga anaknya, Miasara (Liyana Jasmay), sehinggakan sampai satu masa, Miasara tidak tahan dengan kelakuan ayahnya. Daripada seorang yang cukup sibuk dengan perniagaan sehinggakan tiada masa untuk keluarga, dia berubah menjadi seorang bapa yang sangat memanjakan anaknya.

Seperti yang ditunjukkan di dalam filem tersebut, adakah anda melakukan perkara yang sama dalam kehidupan sebenar?
Saya sanggup buat begitu untuk anak-anak saya (ketawa).Untuk seseorang yang saya sayang dan ambil berat, saya sanggup buat apa sahaja yang perlu saya lakukan. Saya sanggup mati untuk orang tersebut. Begitulah saya dapat idea untuk filem tersebut. Saya kena bertanya kepada diri sendiri apa yang saya akan lakukan supaya akan dapat jawapan jujur dan saya boleh sampaikan kisah tersebut kepada orang ramai.
Cara anda menyampaikan jalan cerita ini berdasarkan pengalaman anda sebagai seorang bapa yang bekerja. Sudah berapa lama anda merasakan situasi 'terlalu sibuk untuk bersama keluarga'?
Saya rasa sudah hampir dua hingga ke sepuluh tahun. Dua tiga tahun kebelakangan ini, saya lebih banyak memfokuskan kepada kerjaya saya dan kurang menghabiskan masa bersama keluarga. Namun, Alhamdulillah, saya mempunyai seorang isteri yang sangat memahami. Bukannya saya tidak menghabiskan masa langsung bersama mereka, cuma ia tidak sebanyak yang saya mahu. Sebagai bapa, kadang-kadang saya rasakan saya perlu lebih mengambil tahu dengan apa yang berlaku dalam hidup mereka. Saya akan rindu melihat mereka membesar pada waktu itu.
Adakah anda menyesal?
Tidak sama sekali, kerana sama seperti dalam "Papadom", Saadom tidak bersalah kerana kerja keras. Apa yang dia lakukan mempunyai sebab iaitu supaya keluarganya hidup senang. Persoalannya bukan siapa yang bersalah tetapi ia untuk memahami kehidupan bapa-bapa di seluruh dunia. Ramai bapa akan melakukan benda yang sama kerana apa yang mereka lakukan adalah untuk isteri dan anak-anak. Dalam "Papadom", Saadom cuba memberi kehidupan yang lebih baik kepada mereka. Namun apa yang berlaku adalah dia terlalu menghabiskan banya masa untuk membei kehidupan yang lebih baik sehinggakan dia tiada bersama mereka. Itulah yang saya nak semua orang sedar. Saya juga memilih untuk memasukkan perspektif remaja dalam file mini kerana mereka mempunyai perasaan untuk bebas. Pasti mereka taknak bapa mereka sentiasa bersama dengan mereka. Anaknya juga tidak salah kerana dia cuma inginkan apa yang remaja lain inginkan. Itulah perbezaan antara kedua-dua mereka dan ianya menarik melihat bagaimana mereka menyelesaikan hubungan tersebut akhirnya.

Ketika anda naik ke pentas untuk menerima anugerah bagi Filem Terbaik, anda kelihatan seperti menahan daripada menangis. Agak jarang melihat anda sedemikian. Pasti ada sebab anda berkelakuan seperti itu.
Pertama sekali, saya rasakan ia disebabkan oleh Yasmin Ahmad. Saya tak tahu. Walaupun kami berdua bukanlah teman rapat tetapi sebagai pembikin filem, kami sentiasa berhubung antara satu sama lain. Sama seperti saya dengan Mamat Khalid dan Aziz M. Osman. Kami akan berbincang bagaimana untuk menghasilkan filem yang lebih baik pada masa hadapan. Secara peribadi, saya merasakan ia satu kehilangan yang cukup besar kepada kita semua dalam industri perfileman. Dia seorang yang bersuara lantang dan saya kagum dengan dia yang sentiasa berpegang kepada apa yang dia percaya. Selain daripada itu, saya tidak pernah sangka akan menerima sebarang anugerah. Filem yang saya menang ini adalah satu kisah yang cukup dekat dengan diri saya. "Papadom" adalah sebuah filem mengenai diri saya.

Jangan lupa menonton "Papadom" di pawagam bermula 8 Oktober 2009!

Jom mewarna Meatballs!

Posted by TUPAI


Salah satu adegan daripada "Cloudy With A Chance Of Meatballs"
Bersempena "Cloudy With A Chance Of Meatballs" yang bakal ditayangkan pada 15 Oktober 2009, Cathay Cineplexes akan mengadakan satu pertanding mewarna pada 11 Oktober ini di dua lokasi iaitu e@curve (sebelum ini Cineleisure Mutiara Damansara) dan Prangin Mall di Pulang Pinang, menawarkan hadiah daripada Play Doh, Hasbro, Crocs, Borders dan banyak lagi.

Peserta untuk setiap kategori (usia 3-6, usia 7-12) akan menerima beg goodie dan makan tengahari percuma daripada KFC. Setiap penyertaan akan menerima dua keeping tiket untuk menonton filem tersebut.

Tarikh tutup untuk pendaftaran adalah pada 8 Oktober 2009. Maklumat lanjut boleh didapati di box office.

Anda ingin jadi RATU?

Posted by TUPAI



Jika anda berbakat dan berminat untuk menjadi seorang pelakon, sertailah ujibakat filem "Ratu" yang akan bermula pada minggu pertama bulan Oktober ini. Anda juga berpeluang mengikuti kursus latihan lakonan yang akan diketuai oleh pengajar berpengalaman.
Filem yang diterbitkan oleh Lineclear Motion Pictures ini akan diarahkan oleh Prof Madya A. Razak Mohaideen dan ia merupakan filem ke-30 arahan beliau. Menampilkan genre adventure thriller , filem ini dijadualkan akan memulakan penggambaran pada pertengahan bulan November ini selama 30 hari dan 70% daripada keseluruhan penggambaran akan diadakan di sebuah pulau di Malaysia.
"Ratu" yang dijangka menelan belanja RM2 juta akan dibarisi oleh lapan pelakon utama wanita yang terdiri daripada muka-muka baru dan empat pelakon pembantu utama yang berpengalaman. Bagi menjayakan "Ratu", Lineclear Motion Pictures akan mengadakan sesi ujibakat di lima lokasi utama iaitu Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Sarawak dan juga Sabah. Ujibakat akan bermula pada awal minggu pertama bulan Oktober ini.
Berikut adalah butiran tarikh dan tempat ujibakat:
GSC Queensbay Mall, Pulau Pinang
Tarikh : 10 & 11 Oktober 2009
Kawasan: Lobi
Masa: 9 pagi – 5 petang

(Lokasi akan diberitahu) Kuching, Sarawak
Tarikh : 17 & 18 Oktober 2009
Masa: 9 pagi – 5 petang

GSC One Borneo, Sabah
Tarikh : 24 & 25 Oktober 2009
Kawasan: Lobi
Masa: 9 pagi – 5 petang

GSC Pavilion, Kuala Lumpur
Tarikh : 30 & 31 Oktober 2009
Kawasan: Lobi
Masa: 9 pagi – 5 petang

GSC Pelangi Leisure Mall, Johor Bahru
Tarikh : 1 November 2009
Kawasan: Lobi
Masa: 9 pagi – 5 petang

Kriteria yang diperlukan untuk ujibakat ini adalah gadis warganegara Malaysia yang berumur antara 18 – 25 tahun, mempunyai ketinggian 5 kaki 5 inci, fasih berbahasa Melayu, terbuka kepada semua keturunan dan pada yang mempunyai kriteria sebagai Ratu.

Peserta yang ingin menyertai ujibakat diminta membawa profil diri serta beberapa keping gambar. Calon-calon yang terpilih juga akan diberi peluang mengikuti kursus latihan lakonan di bawah bimbingan tenaga pengajar yang berpengalaman yang diketuai oleh Prof. Madya A.Razak Mohaideen. Mereka juga akan ditawarkan berlakon dalam "Ratu" dan juga kontrak sebagai artis naugan Lineclear Motion Pictures.

Jadi tunggu apa lagi? Pergi ke ujibakat di lokasi berdekatan anda! Mana tahu.. lepas ini anda pula akan menjadi pelakon popular. Hehe.

Pelakon/model seksi, Aleeza Kassim selamat

Posted by TUPAI


Model dan pelakon yang mencipta nama dengan filem "Panas" (1998) dan "Susuk" (2008), Aleeza Kassim dikatakan semakin stabil selepas menjalani pembedahan selama tiga jam untuk mengeluarkan cecair kuman dari bahagian kepalanya di Hospital Pakar Damansar pada 29 September lalu.

Menurut seorang kenalan rapat, Aleeza ada menghubunginya sehari sebelum dimasukkan ke dalam hospital dan memberitahu bahawa dia mengalami kesukaran untuk bernafas, demam dan migrain.

"Pembedahan tersebut dibuat untuk menyedut cecair di bahagian muka dan kepalanya yang dipercayai telah dijangkiti kuman, bukan kerana mengalami pendarahan otak.

"Selepas pembedahan tersebut, keadaan Aleeza tidak berapa baik dan dia ada mengadu dia terasa sakit-sakit di bahagian muka dan kepalanya, malah kadang-kala ada darah yang mengalir keluar dari hidungnya.

"Namun selepas dua hari pembedahan tersebut dijalankan, dia menunjukkan perkembangan yang positif seperti boleh bercakap dan makan."

Menurutnya lagi, Aleeza yang kini dijaga oleh suaminya, Mohd Fauzi Che Rus, mungkin akan dibenarkan pulang ke rumah dalam masa terdekat jika terus menunjukkan perkembangan positif

Trailer "Papadom"

Posted by TUPAI



Jangan lupa tonton filem "Papadom" di pawagam pada 8 Oktober 2009!

CARIAN

Memuatkan ...

SELAMAT DATANG KE TUPAI

Jika ada sebarang pendapat atau cadangan mengenai artikel atau apa saja, sila hantar kepada tupaimy@gmail.com / editor@cinema.com.my

Sebarang pertanyaan mengenai peraduan yang dijalankan di TUPAI, email-kan saja kepada peraduan@tupai.com.my

VIDEO

Tupai @ Twitter

Tupai @ Facebook