Ulasan COUPLES RETREAT

Posted by TUPAI




"Couples Retreat" tidak ubah seperti filem komedi yang lain. Namun barisan pelakon yang mempunyai nama cukup besar dalam industri lakonan terutama sekali dalam genre komedi membuatkan filem arahan Peter Billingsley ("The Sacred Fire", 1994) ini lebih menarik ditonton.
Ia mengisahkan empat pasangan pergi bercuti di sebuah pulau peranginan iaitu Pulau Eden. Apabila salah satu pasangan, Jason (Jason Bateman) dan Cynthia (Kristen Bell) mengikuti sesi terapi bagi menyelamatkan perkahwinan mereka, pasangan lain mendapati bahawa mereka tidak berpeluang bergembira dan terpaksa mengikuti program-program yang disediakan oleh pihak hotel bagi memperbaiki hubungan bersama pasangan mereka.

Dibarisi pelakon komedi yang popular seperti Vince Vaughn dan John Favreu yang pernah berganding bersama melalui filem "Four Christmases" (2008), Faizon Love dan Jason Bateman ("Juno" dan siri TV popular, "Arrested Development"). Lakonan tiga pelakon lelaki nampak bersahaja. Walaupun kerap kali diberikan watak komedi, nampaknya mereka masih tidak kehilangan idea untuk membuatkan penonton ketawa dengan lakonan mereka. Walaubagaimanapun agak bagus jika kita dapat melihat sesuatu yang baru melalui lakonan Vaughn kerana tiada bezanya jika dibandingkan dengan filem-filemnya sebelum ini. Selain daripada pelakon lelaki, filem ini turut dibarisi pelakon wanita popular, cantik dan mempunyai nama besar seperti Kristen Bell ("Forgetting Sarah Marshall"), Kristin Davis ("Sex And The City"), Malin Akerman ("The Proposal") dan Kali Hawk. Malah rasanya tidak keterlaluan jika ketiga-tiga 'bunga' ini mampu menarik penonton datang ke panggung kerana anda berpeluang menyaksikan tubuh badan mereka yang seksi. Walaubagaimanapun lakonan Kristen Bell lebih menonjol daripada pelakon lain kerana dia dilihat menjiwai wataknya dengan baik.

Jalan cerita "Couples Retreat" tidak ubah seperti filem komedi romantik yang lain. Masalah atau isu yang sepatutnya boleh dikembangkan agar lebih kompleks diselesaikan dengan begitu mudah sekali. Agak menarik jika kita boleh melihat sesuatu yang baru dari segi penceritaan filem komedi. Pembikin filem kelihatan seolah-olah kekeringan idea bagi mendapatkan idea baru. Agak sayang kerana filem ini berjaya dimulakan dengan baik sekali.

Secara keseluruhan, "Couples Retreat" adalah sebuah filem komedi romantik yang mampu membuatkan penonton ketawa dan dibarisi pelakon popular. Jika anda tidak terlalu meletakkan harapan yang tinggi terhadap filem sebegini, berkemungkinan besar anda tidak akan kecewa.





2 BINTANG

, , | edit post

CARIAN

Memuatkan ...

SELAMAT DATANG KE TUPAI

Jika ada sebarang pendapat atau cadangan mengenai artikel atau apa saja, sila hantar kepada tupaimy@gmail.com / editor@cinema.com.my

Sebarang pertanyaan mengenai peraduan yang dijalankan di TUPAI, email-kan saja kepada peraduan@tupai.com.my

VIDEO

Tupai @ Twitter

Tupai @ Facebook