Ulasan AVATAR

Posted by TUPAI



Oleh: Nur Safina Othman


Filem "Titanic" (1997) mencipta satu kejayaan yang cukup besar dalam sejarah industri perfileman satu ketika dulu. Kini selepas 12 tahun, James Cameron lahir dengan sebuah filem epik sci-fi yang paling dinanti-nantikan tahun ini iaitu "Avatar". Cameran dilaporkan menulis skrip filem ini hampir 15 tahun lepas, namun terpaksa menanti sehingga teknologi efek khas mampu membawa hidupan dan dunia imaginasinya itu. Ramai yang tidak sabar menunggu filem ini ditayangkan di pawagam tetapi mampukah "Avatar" mencapai segala ramalan seperti yang diharapkan? Jika dilihat kepada ulasan yang diberikan oleh penonton di laman web IMDB, ia agak bercampur-aduk memandangkan terdapat ulasan positif dan juga negatif.

"Avatar" mengetengahkan Jack Sully (Sam Worthington), seorang ahli Marin yang lumpuh yang menjadi orang yang dipercayai oleh kaum Na'vi yang kelihatan seperti manusia tetapi mempunyai ketinggian hampir 9 kaki, mempunyai ekor dan kulit yang berwarna biru. Jack dijadikan agar kelihatan sama seperti mereka menerusi kehebatan teknologi sains di mana otaknya berada di dalam badan Avatar yang direka. Namun kehadirannya di dunia kaum Na'vi yang diberi nama Pandora sebenarnya mempunyai agenda tersendiri dan ia mendatangkan keburukan apabila manusia mula menyerang habitat mereka.

Dari segi lakonan, pelakon Australia Sam Worthington berjaya memainkan wataknya sebagai seorang yang gagah, tegas dan setia. Pada awalnya, dia sepatutnya membantu Kolonel Miles (Stephen Lang) untuk memusnahkan penempatan kaum Na'iv. Namun atas dasar sikap perikemanusiaan, kita dapat saksikan dia membela kaum Na'iv walaupun kalau diikutkan dia bukanlah orang mereka. Malah atas dasar cinta kepada Neytiri (Zoe Saldana), Jack sanggup berkorban apa sahaja untuknya. Kita dapat saksikan Worthington begitu bersungguh-sungguh ingin membantu mereka walaupun itu bermakna dia perlu membelot kaumnya sendiri. Bagi Zoe Saldana pula, kita akan kagum dengan wataknya yang sabar dalam memberi tunjuk ajar kepada Jack agar menjadi salah seorang daripada mereka. Walaupun jatuh cinta dengan Jack, dia tetap rasa dikhianati dan benci apabila Jack menipunya dan bertindak mempertahankan kaumnya. Malah kita berpeluang melihat Saldana beraksi dan berlawan dengan musuh-musuhnya. Lakonan Stephen Lang juga tidak kurang hebat sebagai seorang kolonel yang cuba sedaya-upaya memusnahkan habitat kaum Na'iv. Dia berjaya memberi impak kerana penonton akan berasa benci dengan sikapnya itu.

Sepanjang menonton filem ini, penonton akan terpegun melihat imaginasi Cameron dalam menghasilkan dunia Pandora. Ia membuatkan anda teringin pergi ke dunia tersebut kerana ia diperlihatkan dalam bentuk warna-warni dan indah belaka. Malah anda akan kagum melihat transformasi Jack daripada seorang manusia biasa menjadi Avatar. Malah binatang-binatang yang ada juga mempunyai wajah yang agak pelik dan lain daripada yang lain. Nampaknya efek visual khas berjaya ditonjolkan melalui "Avatar". Walaubagaimanapun, jalan cerita filem ini tidak begitu menarik dan Cameron seolah-olah ketandusan idea dalam menghasilkan jalan cerita yang baru dan menarik. Manusia terutama sekali daripada golongan berpangkat tinggi digambarkan sebagai orang jahat yang cuba menindas atau memusnahkan golongan lain bagi mendapatkan apa yang diingini mereka. Ini membuatkan kita terfikir betapa kejamnya manusia boleh jadi apabila sikap tamak menguasai diri.

Jika anda mengharapkan sesuatu yang berbeza jika menonton dalam bentuk 3D, anda mungkin akan kecewa kerana tidak banyak yang ditonjolkan. Bezanya dengan "Avatar", tiada objek yang akan terbang ke arah anda. Sebaliknya Cameron seolah-olah cuba membolehkan penonton melihat dunia Pandora dengan lebih nampak asli kepada kehidupan mereka.

Mampukah "Avatar" mendahului "Titanic"? Mungkin ya. Walaupun terdapat kekurangan dari segi jalan cerita dan juga aspek 3D, anda akan sentiasa terhibur sepanjang filem ini yang memakan masa hampir tiga jam. Yang pasti, filem 'Raja Dunia' ini mampu menarik berjuta penonton seluruh dunia untuk menyaksikan filem yang dinanti-nantikan ini. Mungkin selepas ini James Cameron boleh menggelarkan dirinya sebagai Master Of The Universe kerana berjaya menghasilkan filem-filem yang cukup mengagumkan sepanjang pembabitan beliau dalam industri ini.

4.5 BINTANG 


"Avatar" akan mula ditayangkan di pawagam bermula 17 Disember 2009 dalam versi 35mm dan juga 3D.

, , | edit post

CARIAN

Memuatkan ...

SELAMAT DATANG KE TUPAI

Jika ada sebarang pendapat atau cadangan mengenai artikel atau apa saja, sila hantar kepada tupaimy@gmail.com / editor@cinema.com.my

Sebarang pertanyaan mengenai peraduan yang dijalankan di TUPAI, email-kan saja kepada peraduan@tupai.com.my

VIDEO

Tupai @ Twitter

Tupai @ Facebook