Oleh: Nur Safina Othman
BINTANG:
Keseluruhan: 2.5
Lakonan: 3
Plot: 2
Kesan Khas: 2
Sinematografi: 2.5
Tonton filem ini jika anda suka: "Jangan Pandang Belakang Congkak", filem-filem "Senario"
Walaupun salah sebuah filem terbitan Metrowealth (MIG) pada awalnya 'sangkut' di Lembaga Penapisan Filem (LPF) kerana ia mengisahkan mengenai mat rempit, ia tidak menyebabkan pengarah lain gentar dalam menghasilkan filem-filem sedemikian. Sama seperti Ahmad Idham yang acapkali bekerjasama dengan MIG. Filem terbarunya, "Adnan Sempit" juga berkisahkan mat rempit tetapi dalam konteks yang berbeza dengan menggabungkan elemen aksi dan komedi, tidak seperti filem-filem mat rempit lain.
"Adnan Sempit" mengisahkan hubungan dua orang yang berbeza dunia. Adnan (Shaheizy Sam), seorang mat rempit yang bekerja sebagai penghantar surat di sebuah syarikat swasta menyimpan perasaan terhadap majikannya, Nadia (Intan Ladyana). Manakala Nadia, seorang anak yang dilahirkan dalam keluarga mewah menyuruh Adnan menyamar sebagai teman lelakinya untuk satu majlis. Hubungan yang pada awalnya berjalan lancar mula goyah apabila Nadia berang dengan kelakuan Adnan yang dianggap kolot dan memalukannya. Jofri (Zach X-Factor) yang hadir dalam hidup Nadia juga sebenarnya mempunyai agenda tersendiri.
Jangan terpedaya dengan poster filem ini yang nampak ala-ala seperti filem yang memfokuskan kehidupan mat rempit. Ahmad Idham bijak sekali mengubah isu mat rempit dengan menjadikan "Adnan Sempit" sebuah filem aksi komedi, sesuatu yang berbeza daripada filem-filem seperti "Remp-It" (2006) dan "Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam" (2009) yang seringkali memberi pandangan negatif mengenai kehidupan mat rempit. Idham cuba menyampaikan mesej bahawa bukan semua yang membawa motosikal ini adalah mat rempit. Malah ia turut diselitkan melalui dialog oleh Adnan yang menepis pandangan Nadia bahawa semua mat rempit adalah orang jahat dan pemalas. Walaubagaimanapun jalan cerita yang terlalu biasa atau tidak begitu menarik menyebabkan adakalanya filem ini agak bosan untuk ditonton.
Dari aspek persembahan lakonan, Shaheizy Sam berjaya memainkan wataknya dengan baik dan bersahaja. Mungkin tidak ramai yang tahu, realitinya Shaheizy sebenarnya adalah seorang yang agak serius. Namun kali ini kita berpeluang melihat lakonan Shaheizy dari aspek yang agak berbeza di mana watak Adnan ini boleh dikatakan agak kelakar dan lawak jenaka yang diselit nampak spontan dan tidak terlalu dibuat-buat. Berbeza pula dengan Intan Ladyana yang nampak lebih kaku dan tiada keserasian dengan wataknya itu. Malah tidak keterlaluan jika pujian diberikan kepada Norliana Samsudin atau lebih dikenali sebagai Reanna yang memegang watak sebagai Wawa, setiausaha kepada Nadia. Walaupun bekerja di sebuah syarikat korporat, dia berminat untuk menjadi minah rempit. Pelik bukan? Realitinya minah rempit acapkali dipanggil sebagai bohsia. Namun konteks minah rempit yang dimaksudkan dalam "Adnan Sempit" nyata sekali berbeza. Malah keserasian Reanna dengan Along Raja Lawak yang memegang watak sebagai Bobby, teman baik kepada Adnan jelas kelihatan berbanding dengan Shaheizy dan Intan.
Walaupun "Adnan Sempit" adalah sebuah filem aksi komedi yang tidak memfokuskan kepada kehidupan mat rempit, namun tidak sahlah jika tiada aksi-aksi daripada mat rempit diselitkan. Kita masih lagi 'disaji' dengan aksi-aksi yang merbahaya itu, tetapi tetap kurang daripada apa yang terdapat dalam filem-filem lain memandangkan filem ini lebih memfokuskan kisah percintaan dua dunia berbeza. Dalam aspek yang lain, Idham berani menyelit satu babak di mana Adnan mengintai sekumpulan lelaki bersama seorang wanita yang sedang menayang 'aset'nya. Sayangnya penonton tidak berpeluang melihat 'aset' wanita tersebut memandangkan ia dipikselkan.
Walaupun ianya agak berbeza, namun perjalanan cerita "Adnan Sempit" ada 'naik turun' sehinggakan terdapat beberapa waktu, penulis begitu mengharapkan filem ini cepat tamat. Namun mungkin ia berbeza kepada orang lain, bukan? Maklumlah, bukan 'selera' setiap orang sama.
"Adnan Sempit" akan ditayangkan di pawagam pada 14 Januari 2010!

