MUALLAF akhirnya ke pawagam jua!

Posted by TUPAI


Dari kiri: Sharifah Amani, Sharifah Aleysha dan Brian Yap

Oleh: Nur Safina Othman

21 Dis
- Selepas hampir dua tahun 'terkandas' di Lembaga Penapisan Filem, "Muallaf", filem arahan pengarah tersohor, Allahyarham Yasmin Ahmad akhirnya bakal menemui peminat bermula 24 Disember ini di beberapa pawagam terpilih.


Walaupun terdapat dua dialog terpaksa disenyapkan dan satu babak dipotong, semua barisan pelakon termasuklah adik kepada Yasmin, Datin Orked tetap berpuas hati kerana peminat Yasmin di Malaysia berpeluang juga menonton filem ini walaupun filem terakhirnya, "Talentime" sudah pun ditayangkan di pawagam Mac lalu.

Orked ketika ditemui di sidang media yang dihadiri barisan pelakon dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima, Datuk Farid Ridzuan selepas tayangan filem "Muallaf" berkata, "Ia mengambil masa lama kerana kakak saya tidak mahu babak Brian ketika kecil dibogelkan dan juga ketika Ani dibotakkan dipotong kerana bimbang tiada cerita. Filem ini sebenarnya sudah diluluskan ketika arwah masih lagi ada."

Orked menambah, "Filem ini sepatutnya ditayangkan bulan Julai lepas, dua minggu sebelum dia meninggal dunia. Namun disebabkan ia akan bersaing dengan filem luar, Kak Yasmin telah meminta agar ia ditayangkan pada bulan Mac tahun depan. Alhamdulillah, dengan pertolongan Datuk Farid dan penerbit Ahmad Puad Onah, kami telah mendapat slot untuk tayangan sebelum Krismas."

Dua dialog yang terpaksa disenyapkan adalah "You look like nuns" yang dikatakan oleh Brother Anthony (Tony Savarimuthu) ketika melihat Rohani (Sharifah Amani) memakai telengkung dan juga ketika di gerai makan, di mana Rohana (Sharifah Aleysha) berkata kepada Rohana, "Nanti orang ingat kita wahabbi". Babak ketika Rohani dibotakkan oleh ayahnya (Datuk Rahim Razali) turut dipotong daripada filem tersebut.

Keadaan di sidang media bertukar sedih seketika apabila barisan pelakon dan Orked mula mengingati pengalaman bekerja bersama beliau. Kali terakhir Yasmin menghadiri pra-tonton filem adalah untuk "Talentime" yang turut diadakan di lokasi yang sama.

Yasmin Ahmad terkenal dengan hasil karyanya yang berkisahkan kehidupan realiti dan berbilang bangsa.


"Muallaf" akan ditayangkan di pawagam pada 24 Disember 2009.



, , , , | edit post

CARIAN

Memuatkan ...

SELAMAT DATANG KE TUPAI

Jika ada sebarang pendapat atau cadangan mengenai artikel atau apa saja, sila hantar kepada tupaimy@gmail.com / editor@cinema.com.my

Sebarang pertanyaan mengenai peraduan yang dijalankan di TUPAI, email-kan saja kepada peraduan@tupai.com.my

VIDEO

Tupai @ Twitter

Tupai @ Facebook