Oleh: Nur Safina Othman
24 Dis – Filem terbaru terbitan Tayangan Unggul, "Duhai Si Pari-Pari" (DSPP) akan menjadi filem Melayu tempatan terakhir menutup tahun 2009. Buah tangan pertama pengarah untuk filem, Azmi Md Hata ini akan berada di pawagam bermula 31 Disember 2009 mengisahkan Pari (Liyana Jasmay) turun ke dunia untuk mencari cinta sejati dan telah bertemu seorang lelaki lurus bendul, Syadon (Que Haidar).
Menurut Azmi yang sebelum ini hanya mengarah drama televisyen dan dokumentari, "Idea untuk DSPP telah lama terperap dalam simpanan saya tetapi saya masih tidak yakin untuk merealisasikannya. Namun dengan sokongan produksi yang kukuh serta pelakon-pelakon yang cukup berbakat, saya terasa yakin ketika waktu penggambaran."
Mempertengahkan komedi kisah dongeng, beberapa elemen daripada kisah Aladdin turut diselitkan dalam DSPP dan ia telah diolah agar bersesuaian dengan khalayak penonton Malaysia.
DSPP dibarisi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 Liyana Jasmay, Que Haidar, Harun Salim Bachik, Nabila Huda, Remy Ishak dan penampilan khas daripada Zizan Raja Lawak, Hans Isaac dan Din Beramboi.
Nantikan ulasan di laman web Tupai.
"Duhai Si Pari-Pari" akan ditayangkan di pawagam bermula 31 Disember 2009!

