Popular Post

Posted by : TUPAI 17 Disember 2009



Oleh: Hanna Zainal

Tonton filem ini jika anda suka: "Sepet", "Gubra", "Talentime"

Allahyarham Yasmin Ahmad telah meninggalkan satu warisan yang sukar untuk diikuti. Beliau yang merupakan antara pengarah wanita disegani di negara ini telah meninggalkan ruang yang begitu besar untuk diganti semula apabila beliau meninggal dunia pada usia 51 tahun pada bulan Julai 2009.

Filem terakhir beliau, "Talentime" sudah pun ditayangkan kepada umum pada bulan Mac 2009 walaupun filemnya sebelum "Talentime" ketika itu masih lagi 'terperangkap' di Lembaga Penapisan Filem (LPF). Walaubagaimanapun dengan hasil usaha Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima, Datuk Farid Ridzuan dan penerbit Ahmad Puad Onah, akhirnya filem yang kononnya kontroversi, "Muallaf", bakal menemui peminat yang sudah lama menanti pada 24 Disember nanti. Filem yang sepatutnya ditayangkan pada bulan Julai 2009 ini pernah kecoh kononnya banyak babak yang akan dipotong, yang sudah pasti secara tidak langsung bakal menjejaskan jalan ceritanya. Walaubagaimanapun menurut adik Yasmin, Datin Orked, hanya dua ayat sahaja disenyapkan iaitu "You look like nuns" yang dikatakan oleh Brother Anthony (
Tony Savarimuthu) ketika melihat Rohani (Sharifah Amani) memakai telekung dan juga "Nanti orang ingat kita wahabbi" yang dikatakan oleh Rohana (Sharifah Aleysha) di gerai makan. Babak ketika Rohani dibotakkan kepala juga turut dipotong oleh LPF.

Kepada mereka yang mungkin tidak tahu, "Muallaf" sebenarnya telah ditayangkan di negara jiran, Singapura pada bulan Disember 2008 lepas dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan. Malah atas permintaan ramai, ia telah ditayangkan semula pada bulan Februari 2009. Malah menurut pelakon utama "Muallaf", Sharifah Amani, filem ini turut mendapat sambutan hebat di Indonesia yang telah ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Jakarta Ke-11 awal Disember lalu.

Filem ini mengisahkan dua adik-beradik, Rohani dan Rohani telah melarikan diri dari rumah kerana tidak tahan didera oleh bapa mereka (Datuk Rahim Razali). Ketika bersembunyi di pekan Ipoh dan menunggu masa untuk berpindah ke Singapura, mereka telah bertemu guru sekolah Rohana iatu Brian (pelakon baru Brian Yap). Kagum dengan pengetahuan kedua adik-beradik ini, Brian seorang yang beragama Kristian tetapi tidak pernah mengamalkan ajarannya mula rapat dengan mereka dan secara tidak langsung membuka mata Brian untuk mengenali agamanya semula.

Sama seperti filem-filem Yasmin sebelum ini, "Muallaf" turut mempertengahkan tema agama, keluarga, persahabatan dan cinta yang sesuai diangkat sebagai filem contoh untuk masyarakat. Filem kali ini agak menyentuh perasaan, namun seperti ada 'sesuatu' yang hilang dari segi jalan ceritanya. Menerusi filem ini kita turut disaji dengan terjemahan ayat-ayat daripada Al-Quran dan juga kitab Injil. Sebelum ini kecoh kononnya ada wartawan daripada akhbar yang menonton "Muallaf" di Singapura mengatakan segala petikan yang terdapat di dalam filem ini sebenarnya diambil daripada kitab Injil. Ini mungkin disebabkan penggunaan bahasa Inggeris oleh Rohani dan Rohana secara tidak langsung mengelirukan penonton yang cetek dengan pengetahuan agama.

Dari segi persembahan lakonan, Aleysha yang pertama kalinya memegang watak utama dalam sesebuah filem memberikan persembahan yang cukup baik. Gabungan dan ikatan bersama kakaknya, Amani sangat sesuai kerana kita dapat saksikan kasih sayang yang terjalin antara dua beradik ini tetap utuh walaupun dilanda masalah. Lakonan Brian Yap juga tidak mengecewakan walaupun ini merupakan filem pertama beliau. Pendatang-pendatang baru ini telah disokong dengan baik oleh pelakon veteran Datuk Rahim Razali dan Tony Savarimuthu. Ning Baizura yang sudah lama ingin berlakon di bawah arahan Allahyarham akhirnya tercapai apabila diberi watak sebagai ibu tiri kepada kedua beradik ini. Walaupun watak kecil sahaja, lakonannya itu pasti diingati ramai. Sama juga seperti pelakon-pelakon yang lain.

Kepada peminat karya Yasmin Ahmad, anda pasti tahu apa yang selalu ditampilkan olehnya. Yasmin sentiasa menyampaikan filem yang berkisahkan kasih sayang, kehidupan realiti dan penampilan pelakon daripada pelbagai bangsa. "Muallaf" merupakan filem terakhir yang kita dapat tonton daripada Yasmin Ahmad. Sudah pasti ramai yang akan merindui untuk menonton filemnya. Dengan menonton filem-filemnya, mungkin itu adalah cara terbaik untuk mengingati sumbangan seorang seniman yang dihormati ini dalam industri perfileman Malaysia.


BINTANG:
Keseluruhan: 3
Pelakon: 3
Plot: 2
Sinematografi: 3

"Muallaf" akan ditayangkan di pawagam terpilih bermula 24 Disember 2009!

- Copyright © Tupai - Ada Hiburan, Ada Stail! -