Ulasan "Senario The Movie Episode 2: Beach Boys"

Posted by TUPAI



Populariti kumpulan Senario ada naik turun sepanjang mereka berkecimpung dalam industri hiburan ini. Pelbagai masalah telah menimpa kumpulan mereka. Daripada lima orang, kini Azlee, Wahid dan Mazlan Pet-Pet lebih gemar bergerak tiga orang. Selepas filem mereka bersama Metrowealth, "Senario The Movie: Episode 1" (2008) berjaya mencatat kutipan pecah panggung dengan RM2.5 juta, kini mereka bekerjasama sekali lagi. Masih lagi mengekalkan barisan pelakon utama dan pengarah, "Senario The Movie Episode 2: Beach Boys" kali ini akan menampilkan 'bunga' di dalam filem tersebut selepas pengarah Ahmad Idham menerima rungutan ketiadaan pelakon wanita di dalam filem terdahulu.

Jika di dalam "Senario The Movie: Episode 1" mereka berusaha untuk mengejar cita-cita bergelar bintang. Kini di dalam sekuel filem pula, Azlee, Wahid dan Mazlan yang masih lagi memegang watak yang sama, 'mengejar' jodoh mereka. Dimulakan dengan ketiga-tiga mereka pergi bercuti di Pulau Pangkor dan telah bertemu dengan tiga adik-beradik - Qasidah (Maria Farida), Zuraidah (Marsha Milan Londoh) dan Hamidah (Nik Sayyidah Fatiha). Walaubagaimanapun, perkenalan tersebut tidak berjalan lancar dan mengakibatkan mereka asyik bergaduh. Namun setelah Azlee, Wahid dan Mazlan membantu pemilik resort, Encik Mansor (Dato' Jamali Shadat) yang juga merupakan ayah kepada ketiga-tiga wanita tersebut bagi mengelakkan resortnya dijual, bibit-bibit cinta mula timbul. Kemunculan Remy (Riezman Khuzaimi) untuk menipu Encik Mansor gagal dan telah bertindak menculik Qasidah bagi membalas dendam.

Prestasi lakonan Senario memang tidak dinafikan bagus. Lakonan yang spontan dan menggelikan hati itu sememangnya mampu membuat penonton tidak kering gusi. Menariknya, lawak jenaka mereka tidak lapuk dek zaman. Untuk filem ini, Maria Farida berlakon sebagai seorang gadis moden, Marsha pula sebagai gadis tomboy yang bercakap loghat Sabah manakala Nik Sayiddah Fatiha atau lebih dikenali sebagai Mek pula bercakap dalam loghat Kelantan campur Thailand. Walaubagaimanapun, lakonan Mek lebih menyerlah jika dibandingkan dengan Maria dan Marsha. Sememangnya terkenal dengan penggunaan loghat Kelantan yang digunakan melalui drama yang pernah dilakonkannya, lakonan Mek nampak spontan, asli dan kelakar. Manakala Maria Farida pula kelihatan agak kaku memandangkan ini adalah filem pertamanya selepas 14 tahun melalui "Bisikan Cinta". Walaupun aktif dengan drama bersiri dan dianggap 'veteran' di kalangan barisan pelakon kerana pengalamannya, malangnya Maria gagal menjiwai wataknya dengan baik sekali. Lakonan Marsha pula dianggap biasa. Sayangnya kerana Marsha sebenarnya mampu melakonkan wataknya dengan lebih baik lagi.

Pengarah Ahmad Idham cuba untuk memperlihatkan keindahan Pulau Pangkor kepada penonton dan ternyata dia berjaya melakukannya. Jalan cerita yang ringkas dan mudah difahami akan membuatkan penonton lebih terhibur dengan lawak jenaka Senario dan pelakon lain.

Mungkin ada di kalangan pembaca menganggap lawak jenaka yang ditonjolkan oleh Senario agak bodoh. Namun anda tidak boleh menafikannya ia mampu membuatkan anda ketawa melihat telatah mereka. Jadi kepada mereka yang sentiasa stress dengan kerja atau apa sahaja masalah, mungkin "Senario The Movie Episode 2: Beach Boys" adalah sebuah filem yang sesuai kepada anda?

2.5 BINTANG


"Senario The Movie Episode 2: Beach Boys" akan berada di pawagam pada 19 November 2009.

, , | edit post

CARIAN

Memuatkan ...

SELAMAT DATANG KE TUPAI

Jika ada sebarang pendapat atau cadangan mengenai artikel atau apa saja, sila hantar kepada tupaimy@gmail.com / editor@cinema.com.my

Sebarang pertanyaan mengenai peraduan yang dijalankan di TUPAI, email-kan saja kepada peraduan@tupai.com.my

VIDEO

Tupai @ Twitter

Tupai @ Facebook