Gadis Negeri Di Bawah Bayu & Cik Siti Wan Kembang

Posted by TUPAI

Seorang berasal dari Negeri Di Bawah Bayu. Manakala seorang lagi pula berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang. Dua gadis cukup berbeza ini digandingkan bersama sebagai adik-beradik di dalam filem terbaru arahan Ahmad Idham, "Senario The Movie Episode 2: Beach Boys".

Marsha Lya Milan Londoh atau lebih popular dengan nama Marsha dilahirkan di Michigan, Amerika Syarikat tetapi dibesarkan di Tamparuli, Sabah. Memenangi tempat keempat di dalam rancangan realiti tv popular, Akademi Fantasia, gadis berusia 24 tahun ini telah diberi peluang untuk membawa watak yang berbeza daripada apa yang pernah dilakonkannya sebelum ini.

Nik Sayiddah Fatiha Yazib pula dikenali oleh orang ramai dengan nama Mek Siti melalui sitkom "Salam Pantai Timur" yang ditayangkan melalui TV1. Terkenal dengan dialek negeri Kelantan yang dituturnya ketika berlakon, "Senario The Movie Episode 2: Beach Boys" merupakan filem kedua Mek bersama pengarah Ahmad Idham.

Ikuti temu bual TUPAI bersama kedua-dua pelakon ini.

MARSHA
Ceritakan mengenai watak Marsha dalam filem ini. 
Saya memegang watak sebagai Zuraidah iaitu anak kedua kepada Pak Mansor yang dilakonkan oleh Datuk Jamali Shadat. Ibu saya adalah isteri kedua kepada Pak Mansor dan berasal dari Sabah. Oleh sebab itu saya bertutur dalam bahasa Sabah. Watak Zuraidah ini agak agresif, kasar, suka memberontak dan lebih gemar berkelakuan ala-ala lelaki. Dia sebenarnya benci dengan kehadiran Azlee, Wahid dan Mazlan ke resort ayahnya dan cuba sedaya-upaya untuk menghalau mereka. Namun dia akhirnya jatuh cinta kepada Mazlan.

Kenapa Marsha menerima untuk melakonkan watak Zuraidah ini? 
Saya rasakan watak ini agak berbeza dengan watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini yang agak girly. Saya tidak pernah melakonkan watak sebagai seorang tomboy, jadi teruja jugalah melakonkan watak ini. Kalau boleh saya nak melakonkan pelbagai watak kerana ia boleh memperbaiki skil lakonan saya.

Ini adalah pertama kali anda bekerja di bawah arahan Ahmad Idham. Apa perasaan anda? 
Saya sukakannya. Saya suka cara Ahmad Idham bekerja kerana dia tahu apa yang dilakukannya. Dia juga agak pantas dalam menyelesaikan kerjanya.

Bagaimana keadaan di set penggambaran filem ini? 
Sangat huru-hara! Ini kerana kumpulan Senario sangat kelakar. Ada sahaja benda yang menggelikan hati kita. Setiap kali memulakan penggambaran, ada saja jenaka yang mereka buat. Kita kena tunggu mereka habiskan jenaka mereka dan memulakannya semula. Lagi pun, mereke suka ad lib iaitu melakukan sesuatu secara spontan. Agak susah juga untuk kami tahu apa yang cuba mereka sampaikan.

Apa projek terbaru Marsha? 
Saya masih lagi terlibat dengan sitkom "Berita Hangit" di bawah syarikat penerbitan Afdlin Shauki, Vision Works. Ada filem yang bakal menyusul tetapi masih lagi dalam peringkat perbincangan.


NIK SAYYIDAH

Ceritakan mengenai watak Mek dalam filem ini? 
Saya memegang watak sebagai Hamidah iaitu adik kepada Qasidah dan Zuraidah yang dilakonkan oleh Maria Farida dan Marsha. Saya menggunakan gabungan dialek Kelantan Thailand. Saya memang tahu bercakap dalam dialek Thailand, jadi saya cuba untuk menggabungkan kedua-duanya. Bahasa Thailand yang saya gunakan ini berasal dari Pattani.

Mek dilihat banyak berlakon dan bertutur dalam dialek yang sama. Kenapa? 
Nak buat macam mana, itu yang ditawarkan. Kebanyakan memang menawarkan saya berlakon dengan menggunakan dialek tersebut. Ia tiada masalah untuk saya memandangkan saya berasal dari Kelantan. Namun saya boleh berbahasa Melayu seperti orang lain.

Bagaimana bekerja bersama dua pelakon wanita lain – Maria Farida dan Marsha? 
Alhamdulillah, tiada masalah untuk saya. Saya akan cuba untuk menyesuaikan diri. Contohnya apabila saya berlakon bersama Senario, saya cuba sesuaikan diri dengan mereka. Saya masih lagi diri saya, cuma bagi 'satu kepala' saja. Begitu juga dengan Maria Farida dan Marsha. Seperti yang kita tahu, Maria Farida sudah lama berkecimpung dalam bidang lakonan. Dia tu macam otai atau veteran. Saya cuba mempelajari apa yang mampu agar ia membantu saya pada masa akan datang. Sama juga seperti Marsha.

Bagaimana pula keadaan di set penggambaran? 
Sangat gembira! Kami semua asyik ketawa saja. Untuk berlakon dalam filem komedi, kita kenalah sentiasa bergembira.

Mek tak takut ke jika dikatakan asyik berlakon di bawah produksi dan pengarah yang sama saja? 
Bagi saya, ia bergantung kepada siapa dulu. Tawaran datang, perbincangan berjalan lancar dan elok semuanya, maka diteruskan saja lah.

Ada rasa teringin melakon watak yang berbeza? 
Sudah pasti! Saya ada juga melakonkan watak sedih dan jahat tapi kebanyakannya adalah watak komedi. Namun saya teringin sangat membawa watak jahat kerana ianya agak berbeza dan mencabar juga.

Saksikan "Senario The Movie Episode 2: Beach Boys" di pawagam sekarang!

, , , | edit post

CARIAN

Memuatkan ...

SELAMAT DATANG KE TUPAI

Jika ada sebarang pendapat atau cadangan mengenai artikel atau apa saja, sila hantar kepada tupaimy@gmail.com / editor@cinema.com.my

Sebarang pertanyaan mengenai peraduan yang dijalankan di TUPAI, email-kan saja kepada peraduan@tupai.com.my

VIDEO

Tupai @ Twitter

Tupai @ Facebook