Farid Kamil adalah Awang!

Posted by TUPAI

Wawancara diadakan pada 7 Oktober 2009 di Cathay Cineplexes Damansara, e@curve.


Farid Kamil puas hati dengan Awang
Penantian mereka yang terlibat dalam pembikinan "Lembing Awang Pulang Ke Dayang" berakhir apabila filem ini akan ditayangkan kepada orang ramai pada 22 Oktober 2009. Pelbagai masalah dihadapi namun dengan berkat kesabaran semua pihak, segala masalah dihadapi dan berjaya diselesaikan. Farid Kamil meneraju sebagai watak utama dalam filem epik ini sebagai Awang. Ikuti wawancara TUPAI bersama pelakon lelaki popular ini.


Ketika memainkan watak Awang ini, anda masih lagi baru dalam bidang lakonan. Kini selepas empat tahun, adakah anda berpuas hati dengan lakonan anda?
Terus terang saya katakan, saya berpuas hati dengan lakonan saya ketika itu. "Lembing Awang Pulang Ke Dayang" merupakan filem kedua saya selepas saya berlakon dalam "Tujuh Perhentian" (2004), sebuah filem daripada Profesor Madya A. Razak Mohaideen. Saya melakonkan watak Awang ketika dua tempoh yang berbeza iaitu pada umur 22 tahun dan juga 25 tahun. Saya masih lagi belajar dalam memperbaiki skil lakonan saya.


Kenapa bersetuju memegang watak Awang?
Saya suka kepada naratif penceritaan dan genre filem ini iaitu epik. Saya merasakan ia satu percubaan yang baik untuk saya menerima watak Awang kerana jarang sekali filem sebegini dibuat. Selain daripada itu, ia memberikan saya pengalaman yang berbeza dalam melakonkan kepelbagaian watak.


Apa cabaran melakonkan watak Awang?
Sebenarnya senang sahaja. Namun apabila berlakunya pertukaran heroin, ia membuatkan saya agak sukar kerana saya harus berusaha mendekatinya. Daripada Fasha Sandha ke Natasha Hudson dan akhir sekali Siti Elizad. Pertukaran tersebut memerlukan proses yang berulang kali dan ia agak menyukarkan. Bagi menjiwai watak Awang, saya banyak melakukan kajian dan berkomunikasi dengan waris Awang.

Adakah anda rasa skil lakonan anda sudah semakin bagus? Ada sebarang kemajuan?
Sudah tujuh tahun saya berada di dalam industri lakonan. Bagi saya, berlakon adalah satu seni. Bagaimana anda membuat 'seni' anda sendiri. Sepanjang tempoh ini, ia banyak mematangkan saya daripada segi lakonan. Saya boleh lihat perbezaan skil lakonan saya daripada dulu hingga sekarang. Boleh nampak perubahan ketara daripada segi pendekatan, pergerakan, perasaan, postur badan dan gestur. Bagi saya pada ketika itu, lakonan Awang cukup bagus.


Sudah banyak watak yang anda pegang sepanjang berada dalam industri ini. Watak bagaimana yang anda selesa memainkannya?
Saya selesa dengan semua watak yang saya bawa kecuali ketika dalam "Tujuh Perhentian". Saya tidak mendapatkan kepuasan maksimum melakonkannya. Namun saya rasa puas ketika memegang watak yang melakukan aksi seperti dalam filem ini dan juga "Anak Halal" (2007).

Barisan pelakon "Lembing Awang Pulang Ke Dayang" bersama pengarah Majed Salleh (duduk)
Apa status filem arahan anda "Rempit V3"?
Filem ini masih lagi dalam pemantauan Lembaga Penapisan Filem. Banyak adegan lumba haram yang dipotong. Secara tidak langsung, ia mengganggu perjalanan filem ini. "Rempit V3" masih lagi belum dapat kelulusan sepenuhnya. Walaupun susah untuk saya menerima pemotongan babak itu tapi terpaksalah daripada filem saya diharamkan terus.

Ada sebarang projek terbaru?
Untuk drama, saya terlibat dalam "Mertua Vs. Menantu" dan "Cinta Setikar Sejadah". Manakala sebuah filem daripada Osman Ali yang bertajuk "Lencun". Saya juga ada perancangan untuk mengarah sebuah filem romantik komedi yang bertajuk "Counting On Love... 3,2,1 Cinta". Namun ia masih dalam perbincangan.


, , , , | edit post

CARIAN

Memuatkan ...

SELAMAT DATANG KE TUPAI

Jika ada sebarang pendapat atau cadangan mengenai artikel atau apa saja, sila hantar kepada tupaimy@gmail.com / editor@cinema.com.my

Sebarang pertanyaan mengenai peraduan yang dijalankan di TUPAI, email-kan saja kepada peraduan@tupai.com.my

VIDEO

Tupai @ Twitter

Tupai @ Facebook