Haliza MisbunPelakon Haliza Misbun mengejutkan banyak pihak apabila dia dikatakan tidak kisah berpakaian seksi sehingga menampakkan lurah dada di dalam filem romantik komedi terbitan sulungnya, "Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Cinta".
Haliza menganggap tiada salahnya jika dia memberikan sesuatu yang tidak biasa dilihat sebelum ini ketika dia berlakon drama.
"Kalau sama sahaja penampilan saya di dalam filem, tidak berbaloilah dengan harga tiket yang dibayar oleh penonton. Saya tak kisahlah dengan apa yang orang nak cakap. Kita bukannya boleh puaskan hati semua orang," kata Haliza.
Pelakon berusia 36 tahun ini sudah berkecimpung dalam bidang lakonan selama 14 tahun dan masih belum berkahwin. Malah filem "Andartu Terlampau" yang menelan kos belanja RM1.1 juta ini dikatakan hampir sama dengan kehidupan Haliza. Mengakui kebenaran tersebut, Haliza sebenarnya ingin mengubah persepsi orang ramai terhadap anak dara tua atau lebih dikenali sebagai andartu.
"Saya bukan nak merendah-rendahkan golongan andartu, sebaliknya untuk mengingatkan orang ramai bahawa gelaran andartu bukanlah sesuatu yang boleh diperlekehkan."
Filem yang diterbitkan oleh syarikat produksinya, Big Productions Sdn. Bhd mengisahkan Nik Melati Sukma atau Nikki diberi tempoh selama 21 hari oleh ibunya untuk mencari bakal suami. Jika gagal, Nikki akan dikahwinkan dengan pilihan ibunya. Enggan terima pilihan ibunya, Nikki berusaha berkenalan dengan ramai lelaki sehinggalah dia bertemu dengan Omar Shariff (Fahrin Ahmad), lantas bersetuju berkahwin dengannya. Namun di hari pernikahannya, Nikki dilamar oleh bekas kekasihnya.
"Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Cinta" diarahkan oleh Din C.J ini turut dibarisi pelakon yang mempunyai nama besar seperti Azhar Sulaiman, Abby Abadi, Fizo Omar, Mamat Khalid, Datuk Rahim Razali, Awie, Erra Fazira dan juga pelakon dari Indonesia yang pernah digosip bersama Haliza, Ari Wibowo.

