Mangsa penipuan "Cyber X"

Posted by TUPAI


Isu penerbit filem tidak menjelaskan bayaran kepada pelakon dan krew filem bukan satu isu baru di dalam industri perfileman tempatan. Terbaru, beberapa pekerja filem yang pernah terlibat di dalam filem aksi sains fiksyen "Cyber X: Ancaman Penggodam" terbitan produksi baru, Pentas Opera turut mengetengahkan perkara yang sama.

Menurut cerita yang disampaikan, produksi terlibat, Pentas Opera masih belum menjelaskan baki terakhir pembayaran kepada krew produksi terlibat. Baki pembayaran yang mencecah kira-kira RM100,000
sepatutnya dibayar kepada sekumpulan krew terlibat kerana penggambaran "Cyber X: Ancaman Penggodam" telah pun selesai sekitar November tahun lalu.

Lebih tujuh bulan menunggu, akhirnya mereka memutuskan untuk membawa isu ini ke tengah. Wakil krew terbabit menjelaskan: "Kami sudah puas bersabar dan beri tempoh kepadanya. Jawapan yang dikemukakan si penerbit adalah tidak wajar kerana sebagai krew filem tugas kami sudah selesai selepas filem itu tamat penggambaran. Justeru, penerbit seharusnya bertanggungjawab untuk melunaskan baki pembayaran tidak kira apa jua masalah yang dihadapinya."

Bagi mendapatkan kesahihan cerita itu, Cinema Online telah menghubungi produksi terbabit yang diwakili penerbitnya, Ambali. Melalui perbualan telefon, Ambali mengakui kebenaran dakwaan yang dikemukakan itu. Bagaimanapun, dia sama sekali tidak berniat untuk melarikan diri atau sengaja menangguhkan pembayaran krew terlibat.

Bercerita mengenai situasi sebenar yang berlaku, Ambali menerangkan: "Bukan pihak Pentas Opera sengaja menangguhkan bayaran atau melarikan diri, cuma pada ketika ini, pihaknya tidak mempunyai wang sebanyak itu untuk melunaskan pembayaran. Kami memohon kepada mereka agar bersabar sehingga dan tambahan filem ini diluluskan.

Episod ini bermula Pentas Opera selaku penerbit baru sudah menjadi mangsa keadaan apabila filem yang diarahkan oleh Amith Abidin itu tidak lengkap sama sekali. Malah, sebagai pemilik filem, pihaknya terpaksa menanggung semua kos meminda dan memperkemaskan filem itu.



"Memang saya ada membuat permohonan dana tambahan untuk filem ini, sekaligus dapat menjelaskan baki bayaran kepada krew terbabit. Malangnya, ketika pratonton salinan asal filem itu kepada FINAS, kualiti filem itu amat mengecewakan. FINAS menjelaskan jika dana tambahan filem ini ingin diluluskan, suntingan filem ini perlu diperkemaskan. Dari situ, barulah saya mengetahui bahawa selama ini Amith tidak menyempurnakan tugas yang diamanahkan kepadanya walaupun bayaran untuk semua kerja-kerja berkaitan telah saya jelaskan dari awal lagi.

Pasrah dengan ujian yang menimpa, Ambali membuat keputusan untuk menyiapkan suntingan dan pindaan filem itu dengan sendiri.

"Saya kecewa dengan sikap tidak amanahnya itu. Dia tidak selesaikan tugas seperti yang dijanjikan. Maka, saya meminta Amith pulangkan semula semua salinan asal filem itu. Biarlah saya bersusah payah sendiri untuk lakukan kerja-kerja suntingan dan pindaan kesan khas filem ini dengan sendiri."

Mengeruhkan lagi keadaan, krew produksi terbabit pula tampil ke depan dengan dakwaan tersebut yang hanya memburukkan lagi keadaan dan kesukaran yang dilaluinya kini.

"Saya anggap ini ujian kepada saya sebagai orang baru. Semasa proses pra-produksi "Cyber X" dulu, saya terlalu gelojoh membuat keputusan. Tanpa mengenali dan mendalami selok belok industri ini, saya dengan mudahnya memberi kepercayaan itu bulat-bulat kepada Amith. Akhirnya, saya diperdaya dan lebih buruk, saya terperangkap dengan isu yang ditimbulkan krew produksi pula."

"Ingin saya jelaskan di sini, saya bukan mahu lari atau sengaja menangguhkan pembayaran, malah situasi yang menimpa ini ibarat "sudah jatuh ditimpa tangga". Berilah saya tempoh untuk menyiapkan suntingan dan pindaan kesan khas filem ini. Insyaallah, selepas salinan asal ini siap, saya akan pertontonkan kepada Finas untuk permohonan dana tambahan bagi menjelaskan semua baki bayaran yang tertangguh," jelas Ambali mengakhiri perbualan.

Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada pengarahnya, Amith Abidin menemui jalan buntu kerana dia gagal dihubungi.

, | edit post

CARIAN

Memuatkan ...

SELAMAT DATANG KE TUPAI

Jika ada sebarang pendapat atau cadangan mengenai artikel atau apa saja, sila hantar kepada tupaimy@gmail.com / editor@cinema.com.my

Sebarang pertanyaan mengenai peraduan yang dijalankan di TUPAI, email-kan saja kepada peraduan@tupai.com.my

VIDEO

Tupai @ Twitter

Tupai @ Facebook