Ahmad Idham kembali dengan cinta

Posted by TUPAI



Di awal pembabitannya sebagai krew belakang tabir, nama Ahmad Idham cukup sinonim dengan filem dan drama yang mengangkat tema percintaan dan romantik. Malah, filem pertama arahannya, "Mr. Cinderella" (2002) yang mengetengahkan genre yang sama juga pernah menobatkan Ahmad Idham sebagai Pengarah Harapan di Festival Filem Malaysia ke-16 pada tahun 2003.


Tujuh tahun selepas itu, Idham kembali ke kerusi pengarah dengan cinta terbarunya "Semerah Cinta Stiletto", sebuah filem romatik komedi yang menampilkan gandingan ikon pasangan cinta remaja popular, Farid Kamil dan Lisa Surihani sebagai teraju utama.


Ditemui di majlis pelancaran filem itu yang berlangsung di Restoran Lemon, The Mines baru-baru ini, Idham mengakui bahawa dia sudah terlalu lama tidak mengarah filem cinta dan romantik selepas "Mr. Cinderella". Popular menerusi sentuhan filem seram dan komedinya kebelakangan ini, Idham yang sudah terlalu lama tidak mengarah filem cinta teruja dengan projek terbarunya.


"Kali pertama dan terakhir saya mengarahkan filem cinta ialah "Mr. Cincerella" pada tahun 2002, lebih 7 tahun lalu. Sejak itu, saya mula mencipta nama menerusi filem aksi, seram dan komedi. Itu tidak bermakna saya tidak berminat untuk mengarah filem cinta. Apabila penerbit David Teo menawarkan peluang ini, saya begitu teruja untuk kembali dengan sentuhan lama saya," katanya.


Ujar Idham lagi, peluang sebegini adalah waktu paling sesuai untuknya kembali dengan sentuhan filem cinta yang sudah lama tidak dilakukannya.


Merasakan detik ini adalah masa yang paling sesuai baginya untuk kembali dengan filem cinta, Idham menerima tawaran itu dengan besar hati.


"Sebelum umur semakin tua, sebelum saya hilang sentuhan filem cinta, lebih baik saya terima tawaran ini sekarang," tambah Idham sambil berseloroh.



Yakin dengan keserasian dan bakat yang ada pada gandingan bintang muda Farid dan Lisa, Idham tidak ragu-ragu untuk menyunting kedua-duanya sebagai pasangan kekasih di dalam "Semerah Cinta Stiletto". Terdahulu, Farid dan Lisa yang pernah digosipkan bercinta berjaya memikat penonton menerusi gandingan serasi mereka di dalam "I'm Not Single" pada 2008.


Selain Farid dan Lisa, filem ke-37 MIG Production ini turut menampilkan Cat Farish, Nanu Baharudin, Shaharudin Thamby, Datuk Jamali Shadat dan ramai lagi. "Semerah Cinta Stiletto" bakal memulakan penggambaran pada 12 Ogos ini di sekitar Kuala Lumpur.

, , , , | edit post

CARIAN

Memuatkan ...

SELAMAT DATANG KE TUPAI

Jika ada sebarang pendapat atau cadangan mengenai artikel atau apa saja, sila hantar kepada tupaimy@gmail.com / editor@cinema.com.my

Sebarang pertanyaan mengenai peraduan yang dijalankan di TUPAI, email-kan saja kepada peraduan@tupai.com.my

VIDEO

Tupai @ Twitter

Tupai @ Facebook